Sambil menyifatkan kumpulan itu sebagai "samsengan", A Samad mengaku malu dengan tindakan mereka kerana ia "bukan cara untuk mewaraskan demokrasi".
"Belum pun beliau tiba, teman-teman di sana minta supaya (beliau) jangan datang, sebab samseng sudah ada di negari Hang Tuah.
"Sudah ada 'Hang Samseng'. Cuba fikirkan, di negara Hang Tuah, ada Hang Samseng," katanya.
Bercakap dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, tokoh yang lebih dikenali sebagai Pak Samad menegaskan, serangan membaling batu hujung minggu lalu "bukan caranya dan mereka memilih cara lain" untuk menunjukkan bantahan mereka.
Bagaimanapun, PERKASA Melaka dan Umno Jasin menafikan terlibat dalam insiden itu walaupun terdapat anggota masing-masing menyertai perhimpunan membantah kehadiran Ambiga dalam acara itu.
Pak Samad yang juga terkenal dengan novel Salina itu turut menyindir pihak yang melakukan "senaman punggung" dan peniaga yang mahu menjaja di hadapan rumah Ambiga esok dan lusa.
"Kita sudah 50 tahun merdeka dan budaya serta budi bahasa kita adalah punggung. Dan selepas itu guna samsengan cat rumah orang. (Apakah) itu budaya kita," katanya.
Ia dibuat sebagai menunjukkan bantahan kepada Ambiga yang juga seorang peguam terhadap penganjuran perhimpunan BERSIH 3.0 yang didakwa menjejaskan pendapatan peniaga dan merosakkan imej negara.
Tindakan mereka itu mengundang kemarahan dan bantahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar. -M'kini