Ikuti Blog ini

Kempen R: ADUN BN hina OKU


KOTA BHARU: Tindakan Adun BN Nenggiri, Mohd Yusof Abdul Ghani mengaitkan simbol 'R' untuk Perjuangan Rakyat dalam menuntut Royalti, hak pendaratan minyak dan gas ke bumi Kelantan  adalah menghina bahasa isyarat golongan itu.

(Isyarat jari bersilang adalah untuk huruf 'R' dalam bahasa OKU Pekak-Bisu.)

(Tuan Guru Nik Aziz serta penyokong kempen Royalti semasa melancarkan kempen ini)

Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti,Pendaratan Minyak dan Gas (Royalti), Mohammad Hisyamuddin Ghazali berkata, tindakan berkenaan juga seolah menghina Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yangturut menyokong pendaratan Gas di Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi  bagi mengulas kenyataan Adun Nenggiri  yang mendakwa  Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengangkat dua jari sebagai simbol kristian.

Adun Nenggiri itu berkata Nik Aziz menunjukan simbol tangan sebagai tanda salib sebagaimana posting yang ditulis dalam Umno-tumPAS.

“Ia adalah satu perbuatan yang tidak wajar dilakukan ke atas seorang ulama apa lagi  simbol tangan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru adalah simbol 'R' bukannya simbol salib," kata Hisyamuddin.
Katanya, simbol berkenaan diguna pakai oleh golongan berkenaan di seluruh negara dan mungkin dunia bagi menghubungkan sesama mereka.

"Sebagai seorang Adun yang dipilih oleh rakyat, sepatutnya yang berhormat perlu lebih peka simbol bahasa yang digunakan oleh golongan OKU yang juga ada di kalangannya pengundi yang berhormat.

“Tindakan Adun itu telah menghina kelompok OKU yang juga turut bersama berjuang dalam usaha tuntutan ini,”ujarnya.

Sehubungan itu, katanya tindakan fitnah berkenaan adalah satu tindakan yang tidak wajar dan akan diambil tindakan undang-undang  sekiranya Adun Nenggiri itu tidak menarik balik kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Hak Asasi, Majlis Peguam Malaysia, Mohammad Che Yusoff, menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh Royalti untuk menuntut bayaran royalti pada kerajaan Kelantan.

Katanya, sebagai penggerak kempen Gerakan Bersama Kebangkitan OKU Tahun 2012, beliau menyifatkan penafian pembayaran royalti kepada kerajaan negeri satu penghinaan jelas terhadap rakyat yang selama ini akur kepada sistem demokrasi berparlimen.

“Katanya, pembayaran royalti Petronas kepada kerajaan Kelantan bukan sekadar memenuhi kontrak yang telah ditandatangani pada 1974 yang lalu.

“Namun ianya  suatu tindakan yang perlu disempurnakan sebagai memenuhi tanggungjawab oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dalam amalan federalism yang Malaysia amalkan selama ini," tegas beliau.

Apatah lagi dalam usaha membangunkan OKU, tuntutan mengembalikan pembayaran royalti tersebut tentunya akan menambah keupayaan kerajaan negeri dalam membangunkan golongan OKU di negeri ini ke arah yang lebih sempurna.

“Sebagai mewakili kumpulan OKU, saya amat kesal dengan sikap dangkalpihak-pihak tertentu yang saya difahamkan telah memberi tanggapan salah kepada penggunaan simbul (R) dalam kempen menuntut royalti,”ujarnya.

Tambahnya, mereka seolah-olah tidak cakna kepada OKU apabila mempertikaikan penggunaan isyarat itu yang dikaitkan sebagai lambang agama lain.

“Justeru, saya menyeru untuk seluruh rakyat Kelantan terus sama-sama menyokong dan berpadu suara dalam menuntut hak rakyat Kelantan dalam isu pembayaran royalti oleh Petronas kepada kerajaan rakyat di Kelantan,”ujarnya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .