Saya tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan
pilihanraya secara sepintas lalu menjadi polimik hangat beberapa hari.
Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu
perbezaan diantara wajib mudoyyak dan wajib muwassa yang tidak ada dalam
pelajaran fardu ain.
Apabila Ketua Penerangan PAS, Ustaz Dato'
Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran
serangan media UMNO yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka
UMNO tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya,
kerana UMNO tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Tuan
Haji Subki Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara
ini ketika menjadi ketua penerangan PAS.
Media jurubicara UMNO
mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan
kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada
dikalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan
jasadnya bersama UMNO. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah
kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan
maqasid syariah.
PAS tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan
politik daripada agama Islam, walaupun politik tidak termasuk dalam
rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah
juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia,
perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak
dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan
bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap
termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh
dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.
Dalam perkara wajib,
para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan
fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar
waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh,
yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa ramadhan dan sembahyang
diakhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya
dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang
lama masanya diawal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassaa.
Apabila
bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada
menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib
menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang
ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu
menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam.
Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di
rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya
muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu
juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa
yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah
membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah,
maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun
perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.
Rasulullah
SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada
kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang
menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan ditahun
ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah)
daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan
menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak
harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk
bulan syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa
menunaikan haji. Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A
supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah.
Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh
hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa
wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW
mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang
datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.
Dalam
peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai
pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah
dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya
menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa
menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian
Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.
Kepada
PAS, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih
pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam,
walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Passport dan visa
haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam
syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa
perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak
melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara
memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua
mazhab Islam dengan nas dan ijmak, kecuali mazhab yang sesat. Al Quran
menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih
pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat
nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan
umrah.
PAS tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik
tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh
dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama
tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan(politik)
adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas,
hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana
politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti
Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan
berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih.
Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong UMNO di Johor, sila cari buku
fatwa ini.
PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi
kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak
rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah,
kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah
SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab
berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya.
Akhirnya
percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan, kerana
bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri
sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa
kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan
pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti
bersuluh dan dipelihara Allah. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam
pasti tersungkur akhirnya.
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS