MACHANG: Ribuan rakyat Kelantan mengiringi perjalanan akhir bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, almarhum Datuk Ustaz Yahya Othman, 73 di Kampung Labok pagi tadi.
Sejak pagi lagi orang ramai datang bagi merakamkan ucapan takziah sambil menunggu menunaikan solat jenazah. Di kiri kanan jalan sesak dengan kenderaan.
Turut hadir Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan, Datuk Abu Bakar Chik dan wakil-wakil rakyat serta pegawai kerajaan.
Solat ke atas jenazahnya kali pertama diadakan kira-kira jam 8.30 pagi di rumahnya diimamkan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud.
Rumahnya terletak tidak jauh daripada Masjid Labok, kemudian solat kali kedua diadakan di masjid diimamkan Menteri Besar.
Ramai terpaksa menunaikan solat di luar bangunan masjid kerana sesak. Jenazahnya kemudian diusung ke tanah perkuburan Islam yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berjalan kaki mengiringi jenazah bersama orang ramai.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Habshah Hussin Rahimin dan empat anak iaitu Dr Salwa, Najwa (guru), Suraya dan Nidana (pensyarah).
Anak saudaranya, Kamaruddin Omar, 56 berkata, petang semalam Allahyarham memanggil seorang pembantunya, Ustaz Rosli Ismail bagi menulis kata-kata akhir bagi menyiapkan bukunya yang sedang dikarang.
“Ustaz memanggil Rosli untuk menulis kata-kata akhir, pesan dan wasiatnya. Tidak lama selepas selesai memberi pesanan beliau tiba-tiba menghempus nafas terakhir.
"Turut berada di sisinya ketika itu, isteri dan anaknya Suraya yang tinggal bersama di rumah,” katanya yang menyifatkan perjalanan akhir bapa saudaranya begitu mudah.
Empat buku terakhir yang sudah dicetak juga kelihatan diletak di kawasan masjid antaranya Sebahagian Taujid Tarbiah Gerakan Islam dan Himpunan kertas kerja tarbiah.
Menteri Besar ketika takzirah ringkas berkata, Allahyarham Ustaz Yahya seorang yang banyak berjasa kepada Islam sama ada di Kelantan dan Malaysia.
“Di atas dunia sekarang kita boleh buat apa sahaja, tetapi kena ingat ada pembalasan di akhirat kelak. Ahli ekonomi, ahli demonkrasi tidak pernah memberitahu apa yang akan berlaku selepas mati,” katanya.
Turut merakam ucapan takziah Ikhwanul Muslimin Mesir melalui laman webnya.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman menyifatkan Allahyarham seorang idola bagi anak muda dan kehilangannya sukar dicari ganti.
Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Amran Ab Ghani berkata, Ustaz Yahya begitu dikenali dalam gerakan Islam di peringkat dunia.
“Biar pun saya tidak kenal rapat namun banyak mendengar cerita keilmuan yang ada pada Ustaz Yahya. Lagi pula mertua saya mempunyai hubungan keluarga,” ujarnya.
Bekas Presiden Abim, Dr Yusri Muhamad berkata, pemimpin muda Abim begitu menghormati ketokohannya kerana disiplin ilmu tarbiah yang begitu mantap.
Menurutnya, Allahyarham sangat rapat dengan pemimin Ikhwan Muslimin di Mesir sejak menuntut di negara terbabit. -Hrkh