Ikuti Blog ini

Hudud: Tak timbul soal PAS-DAP berpecah



KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa orang Islam sama sekali tidak boleh menolak hukum hudud kerana ianya adalah hukum yang ditetapkan oleh agama dan bukan ideologi ciptaan manusia.

"Isu ini tidak perlu dibincang kerana ia adalah hukum agama, bukan ideologi, kalau hukum dunia, kita boleh tolak, tetapi sebagai orang Islam, (jika) tolak agama bermakna akan terima pembalasan di akhirat kelak," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Pas Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama, di sini, semalam.

(Gambar: Tuan Guru sedang megambil juadahnya ketika majlis Aidilfitri PAS Kawasan Pengkalan Chepa di sini semalam)

Sementara itu ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh yang mempertikaikan keupayaan hukum hudud untuk mengatasi jenayah, Tuan Guru Nik Aziz berkata berbanding undang-undang ciptaan manusia, hudud jauh lebih baik.

Jika dibandingkan dengan hukuman gantung sampai mati, hudud jauh lebih baik walaupun pencuri dipotong tangannya atas kesalahan itu.
"Sekurang-kurangnya, dia (pesalah) masih boleh bekerja dan hukuman yang diterima, boleh jadi pengajaran kepada masyarakat. Undang-undang Islam sudah semestinya cukup adil. Buat salah, terima hukuman yang setimpal dengan kesalahan," katanya lagi.

Beliau juga yakin kenyataan Pengerusi DAP itu tidak menjejaskan hubungan kedua-dua parti itu dalam Pakatan Rakyat.

"Tidak timbul soal perpecahan kerana sekarang kita tidak menghadapi masalah dan perkara ini hanya diperbesar-besarkan bagi menimbulkan kekeliruan," katanya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .