Ikuti Blog ini

Hina Nabi: 3,000 demo di Rusila


MARANG: Bantahan terhadap penerbitan video yang menghina Nabi  Muhammad SAW melalui filem berjudul ‘Innocence of Muslims’ turut disertai kira-kira 3,000 umat Islam di Marang, Terengganu semalam.


Perhimpunan Aman tersebut diadakan selepas solat Jumaat diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dengan kerjasama Ketua Pemuda PAS Marang, Mohamad Khalil Abdul Hadi.

Sehubungan itu, satu amanat penting disampaikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang melarang mana-mana pihak menghina batang tubuh Nabi Muhammad SAW.

Katanya, ada pendapat ulama’ di Mesir yang menegaskan jika menghina batang tubuh Nabi SAW bermakna melanggar ‘lampu merah’ dan tidak dibolehkan sama sekali.

Bahkan, kata Ustaz Abdul Hadi, ada ulama’ lain berpendapat jika menghina batang tubuh Nabi SAW boleh ‘bertindak’ tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

“Hari ini kita (umat Islam) berkumpul bersama seluruh umat Islam untuk menyatakan bantahan kepada satu filem yang sengaja diterbitkan untuk menghina peribadi Nabi Muhammad SAW dan menghina umat Islam.

“Manusia yang dipilih oleh Allah SWT, bukan dipilih melalui pilihan raya. Tuhan (Allah) sendiri yang pilih, bila kita (manusia) tolak orang yang Tuhan pilih bermakna tolak Tuhan. Ini satu dosa yang sangat besar.

“Saya bagi pihak PAS telah buat kenyataan rasmi semalam (13 September) meminta dihantarkan (bantahan) ke Kedutaan Amerika supaya yang pertama yang melakukan kesalahan mesti meminta maaf.

“Kedua, kerajaan Amerika mesti bertindak supaya membatalkan filem itu dan bertindak terhadap mereka yang melakukan kejahatan (hina) ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 3,000 umat Islam yang menyertai Himpuan Aman membantah penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’ oleh musuh Islam di Perkarangan Masjid Rusila, Marang, 14 September lalu.

Sehubungan itu, katanya Islam turut melarang umatnya melakukan perkara yang sama termasuk tidak boleh menghina Tuhan-tuhan kepercayaan agama lain.

“Kita orang Islam dilarang menghina Tuhan-tuhan agama lain sehingga dia (bukan Islam) menghina Tuhan kita semula. Walau pun, kita kata Islam kita betul tetapi tidak boleh menghina Tuhan agama lain.

“Berhujah (debat) dibolehkan untuk mencari kebenaran. Sehingga hari ini, mereka (agama lain) tidak boleh berhujah dan kalah jika berhujah dengan Islam,” jelasnya.

Namun, kata Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang insiden penghinaan itu telah menyatukan umat Islam di seluruh dunia bangkit mempertahankan Nabi SAW. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .