Ikuti Blog ini

MB lawat mangsa ragut, pengelola istana


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menziarahi mangsa ragut Rohaini Abdullah, 36, yang hampir putus tangannya akibat parah ditetak peragut tengah hari semalam.

Turut menziarahi mangsa, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Sulit Menteri Besar, Ahmad Shargowi.

(Gambar: Tuan Guru bercakap kepada media selepas melawat mangsa ragut.)

Tuan Guru meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertanya khabar mangsa ragut di samping mendapat penerangan dari pihak Hospital Raja Perempuan Zainab ll berhubung perkembangan mangsa.

Beliau juga turut mendapat penerangan berhubung jumlah mangsa ragut yang cedera di Kelantan tahun ini dari Jalaluddin.

Tuan Guru ketika memberitahu media mengingatkan kaum wanita mempelajari ilmu mempertahankan diri untuk menyelamatkan diri daripada diserang peragut.

Katanya, sekurang-kurangnya apabila mereka mempunyai ilmu berkenaan dapat mempertahankan diri dari diserang sehingga mengakibatkan luka yang parah.

Sambungnya, Islam mengajar penganutnya supaya menjaga lima perkara, iaitu harta jangan sampai dicuri orang, aqidah jangan sampai diri murtad, nyawa juga kena jaga jangan sampai manusia berbunuhan antara satu sama lain.

Selain itu, jelasnya keturunan juga kena jaga jangan sampai adanya keturunan yang lahir dari saluran tidak baik disamping menjaga akal fikiran agar tidak didorong oleh perkara yang memabukkan.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana walaupun kesibukan tetapi memberi ruang untuk menziarahi orang sakit, khususnya mangsa ragut.

“Kita diajar dalam Islam supaya bersimpati dengan orang lain dan insyaallah orang lain juga akan bersimpati dengan kita.

“Datuk Ketua Polis tadi ada memberitahu saya, jumlah mangsa ragut yang cedera tahun ini lapan orang,” ujarnya.

Katanya, apa yang berlaku itu kerana adanya nafsu buruk untuk melakukan perkara yang tidak diredhai Allah walupun ianya terpaksa membabitkan nyawa orang lain.

Tambahnya, nafsu itu tidak ada sesiapa yang boleh kawal sama ada ibu bapa atau polis, melainkan keimanan diri sendiri.

“Yang boleh control diri hanyalah rasa taqwa pada Allah, rasa takut untuk melakukan perbuatan jahat, kerana hujung setiap kehidupan manusia sama ada neraka atau syurga,” ujarnya.

Katanya, kejadian ragut ini bukan hanya kerana tidak ada rasa taqwa pada Allah, tetapi mungkin juga hasutan kawan, hutang yang banyak atau hutang along.

Beliau berharap semoga rakyat Kelantan menjadi seorang hamba Allah yang bertaqwa, mana ada orang lain sentiasa boleh menjaga diri kita sentiasa termasuk anggota polis.

“Mereka juga letih dan banyak tanggungjawab, jadi saya ucap takziahlah pada mangsa dan keluarganya, mudah-mudahan mereka bersabar dengan apa yang berlaku,” ujarnya.

Beliau juga berkata pihak hospital akan menjaga mangsa sebaik mungkin.

Pada masa yang sama Tuan Guru menghulurkan sumbangan kepada mangsa.

Kejadian berlaku pada jam 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa Rohaini sedang berjalan kaki seorang diri di hadapan pusat jualan tudung untuk ke tempat letak keretanya, yang tidak jauh dari situ.

Ketika melalui jalan tersebut, dua peragut menghampiri mangsa dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan salah seorang dari peragut tersebut bertindak menetak mangsa menggunakan objek tajam.

Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Pintu Geng di sini baru sahaja menamatkan kerja shif siang sebelum kembali semula untuk shif malam.

Mangsa hampir putus pergelangan tangan kirinya selepas ditetak salah seorang daripada dua peragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab.

Di kesempatan yang sama, Tuan Guru turut menziarahi Pengelola Istana, Datuk Ahmad Mahmood, yang baru membuat pembedahan berhubung masaalah buah pinggang. (Gambar kiri)

Tuan Guru mengambil masa kira-kira 25 minit bertanya khabar Datuk Ahmad berhubung kesihatannya setelah pembedahan dibuat dua hari lalu.

“Harap-harap cepat sihatlah lepas ni,” ujar Tuan Guru sambil tersenyum. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .