Ikuti Blog ini

Kelantan umum hadiah umrah buat TRW

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini telah mengumumkan ganjaran menunaikan umrah kepada para pemain The Red Warriors (TRW) setelah berjaya menjuarai Piala Malaysia Sabtu lepas.

Keputusan kerajaan tersebut telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob selepas mesyuarat exco bertempat di Pejabat Exco negeri sebentar tadi.

"Kerajaan Kelantan mengambil kira kesungguhan pemain dalam memastikan kejayaan pasukan Kelantan dan kita kira amat layak kerajaan memberi sebarang bentuk ganjaran dan kali ini untuk kali kedua kita telah memilih untuk memberi pemain untuk menunaikan umrah" ujar beliau.

Bagi pemain yang bukan beragama Islam pula, mereka akan diberi ganjaran berupa wang tunai.

Sabtu lalu pasukan Bolasepak Kelantan berjaya mengalahkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3 - 2, sekaligus menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, buat kali pertama juga kerajaan bersetuju untuk mengadakan jamuan rakyat tanda kesyukuran pada 3 November ini akan datang.

Ianya akan melibatkan rakyat serta anggota pasukan TRW bagi meraikan kemenangan bersejarah itu.

" Kami harap peminat dan rakyat kelantan dapat hadir untuk menikmati jamuan rakyat yang akan diadakan di perkararangan stadium Sultan Muhammad ke IV nanti yang akan bermula jam 12 tengahari hingga 2 petang" katanya lagi.

Selain Kerajaan Negeri, ganjaran lot tanah juga menanti pemain TRW yang akan disumbangkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ekoran kejayaan itu.

Difahamkan, setiap lot tanah itu bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000, dengan membabitkan kos keseluruhan mencecah hampir RM2 juta. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .