Ikuti Blog ini

PRU13: Presiden PAS sedia bertanding di Pekan

Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi menerima sumbangan untuk dana pilihan raya Muslimat PAS Terengganu.

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat kejutan apabila menyatakan kesediaannya bertanding di Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau akan mengikut keputusan parti sama ada dikekalkan bertanding di Parlimen Marang atau Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang.

“Saya ikut keputusan parti. Saya serah kepada parti dan partilah yang akan buat keputusan. Parti hendak suruh bertanding Marang ke… atau Pekan, termasuklah, jika parti suruh saya bertanding di Pekan, saya bertanding di Pekan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media sama ada kekal bertanding dua kawasan, Dun dan Parlimen selepas Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum (PRU13) Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Rusila, hari ini.

Menurutnya, jawapan muktamad terserah kepada parti yang akan menentukan kawasan yang bakal ditandingi kelak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyatakan kesediaan jentera PAS pada bila-bila masa diadakan pilihan raya kerana persiapan telah dibuat sejak setahun lalu.

“Saya sudah melawat keseluruhan kawasan pilihan raya sejak setahun lalu. Saya buat jadual melawat dan keseluruhannya kerja telah dibuat sejak setahun untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa.

“Bahkan, kebanyakan Dewan Undangan Negeri (Dun) telah membuat culaannya yang terperinci. Ini termasuklah, persediaan jentera pilihan raya secara menyeluruh. Cuma kita menunggu tarikh pilihan raya pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .