Ikuti Blog ini

Selangor akan ambil alih urusan air dalam 14 hari


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan pihaknya akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu dibuat dengan berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini yang menyatakan kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air.

"Justeru, dalam surat tersebut kita telah memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata, pihaknya mendapat aduan dari rakyat bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah mengedarkan risalah yang mengkritik kerajaan Selangor dalam isu air.

Hasil dari siasatan awal yang dilakukan ujar Khalid, kenyataan Syabas tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syabas, Ir V Subramaniam.

"Syabas mengeluarkan risalah ini tanpa mendapat persetujuan dan pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah Syabas.

"Sehubungan itu, sebagai pemegang saham dalam Syabas, kerajaan Selangor mendesak supaya diadakan siasatan dalaman terhadap Subramaniam kerana bertindak melebihi kuasa yang dibenarkan," katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerajaan negeri juga akan memantau aduan kekerapan paip bocor yang memberi kesan terhadap pembekalan air kepada rakyat. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .