Ikuti Blog ini

Putar belit perencah kempen BN menghadapi PRU13


KUALA LUMPUR: Pemimpin BN Umno masih lagi bermain taktik lama untuk menghadapi PRU13 dengan memutar belit fakta demi mencapai matlamat kemenangan BN terutama dengan pengundi Melayu.
Contohnya, kata Idris Ahmad isu pengguguran Ustaz Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulamak PAS pada 13 Januari lalu tetapi pemimpin Umno yang kebuluran isu menipu rakyat kononnya beliau dipecat kerana mengiringi Datuk Seri Najib ke Gaza sedangkan pemergian beliau ke Ghaza pada 23 Januari 2013.

“Umno sudah rabun angka, sehingga tidak tahu beza mana tarikh yang terdahulu. Begitu juga mengenai isu penggunaan nama Allah, dan terjemahan Bible.

“Pemimpin Umno cuba menjadi hero mempertahan nama Allah, dan memfitnah PAS bersetuju nama Allah diterjemah,” ujar AJK PAS Pusat itu dalam satu kenyataan.

Pada hal, katanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri telah menyatakan kerajaan akan menarik balik kebenaran mencetak terjemahan Bible, jika langgar syarat pada 20 Januari 2013, ertinya kerajaan pimpinan Umno sudah pun meluluskan.

Beliau juga bertanya di mana pula fatwa ulama pengampu yang menuduh siapa yang mengatakan nama Allah diterjemahkan hukumnya kafir.

Begitu juga, ujarnya pemimpin dan media Umno mengatakan jika Pakatan Rakyat menang, Perdana Menteri ialah orang Cina.

“Macam mana Cina hendak menjadi Perdana Menteri, majoriti kerusi bukan Islam seluruh Malaysia ialah 69 kerusi sahaja, masih memerlukan 53 kerusi supaya mendapat  112 kerusi.

“Inilah hujah yang diputar di kampung-kampung. Konco-konco Umno juga menipu rakyat mengatakan, agama Kristian akan menjadi agama rasmi jika Pakatan Rakyat menang,” katanya lagi.

Justeru, katanya tidak masuk akal langsung kerana penganut Kristian di negara ini hanya 9 peratus sahaja sedangkan Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2009 telah menetapkan bahawa Islam, Melayu, Raja dan Bahasa Melayu akan terpelihara.

Tambahnya, mereka juga membohongi rakyat bahawa Raja-Raja Melayu akan dihapuskan jika Pakatan Rakyat menang. Hakikat yang mengaibkan Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 dan 1993 ialah Umno.

Sehubungan itu, kata beliau rakyat perlu faham bahawa menurut Perlembagaan, kedudukan Raja-Raja Melayu tidak boleh dihapuskan dengan apa cara sekalipun, kecuali persetujuan persidangan Raja-Raja Melayu sendiri yang menghapuskannya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .