Ikuti Blog ini

Najib perlu buka laluan untuk Muhyiddin – Husam


KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus memberikan laluan kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negara kerana keputusan PRU13 yang mengecewakan.

“Pada 2008, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Puad Zarkashi dan lain-lain pemimpin Umno telah buat kenyataan – meminta Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) untuk bertanggungjawab dengan kegagalan di PRU12.

"Kalau logik singkir Pak Lah ialah universal, logik yang sama perlu dipakai pada Najib. Morally, Najib harus buka laluan untuk Muhyiddin untuk ganti beliau sebagai Perdana Menteri,” kata Husam semalam.

Menurut Husam, Najib mencatat keputusan yang lebih teruk daripada Pak Lah di mana BN kalah dalam undi popular kepada Pakatan Rakyat buat pertama kalinya dan juga kehilangan tujuh kerusi parlimen kepada 133 daripada 140 daripada apa yang dicapai Pak Lah.

Husam juga menyentuh ungkapan ‘Tsunami Cina’ yang diguna Najib untuk mencari kambing hitam atas prestasi BN yang semakin merosot.

“Isu itu dibangkitkan untuk sambung hayat politik Najib yang terumbang-ambing dengan keputusan PRU13. Ungkapan itu juga menandakan konsep 1Malaysianya telah gagal. Konsep itu adalah satu-satunya modal Najib – sekarang modal ini sudah gagal, maka beliau harus berundur,” tegas Husam.

Husam juga menolak hujah politik Najib mengenai ‘Tsunami Cina’ yang menyebabkan kemerosotan BN kerana BN hampir-hampir kehilangan Terengganu yang peratus undi Melayunya 95 peratus.

“Saya menolak politik perkauman dan anti-Cina. Saya yakin ada cetusan lain untuk mengekalkan beliau (Najib) sebagai Perdana Menteri,” kata Husam. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .