Ikuti Blog ini

Dr. M gesa ahli Umno paksa Abdullah undur segera


KUALA LUMPUR: Dalam kritikan terbaru terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad "mengaku bersalah kerana" memilih penggantinya itu, tetapi menegaskan, kini yang salah meneruskan kepimpinan beliau adalah "ahli-ahli Umno sendiri."

"Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Abdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," katanya.

"Saya terima saya bersalah kerana memilih Abdullah sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean," kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya hari ini.

Dr. Mahathir yang telah banyak kali mengkritik dan mengecam cara Abdullah mengepalai kerajaan dan Umno sejak lebih tiga tahun lalu berkata: "Saya percaya ahli Umno dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama."

Bagaimanapun tegas beliau, hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno pada 19 Mei lalu atas alasan tidak mahu berada dalam parti yang dipimpin oleh Abdullah dan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Tambah beliau, ahli-ahli Umno tidak harus menunggu sehingga pilihan raya umum ke-13 untuk mengalahkan BN dan Umno supaya Abdullah berundur.

"Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah. Jika ahli Umno hendak melihat Umno dan BN dipulih semula, paksalah Abdullah letak jawatan sekarang.
"Jangan calon (mencalonkan) Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.
"Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri," katanya lagi.

Ahli-ahli Umno, menurut beliau, akan bertanggungjawab terhadap kehancuran Umno dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.

Kata Dr. Mahathir, setiap kali beliau mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata "awak yang lantik dia".
"Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya.
"Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," katanya.

Sambil memberikan latar belakang Abdullah sejak pemilihan 1987 dengan panjang lebar, Dr. Mahathir memberitahu "saya jelaskan latar belakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya."

"Saya rela dihukum jika saya salah," kata beliau yang menyerahkan kuasa pada Oktober 2003.
"Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.
"Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir," katanya.

Kata bekas Presiden Umno itu, jika Abdullah benar-benar menyayangi Umno, beliau harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno.

"Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab Umno dan Barisan Nasional jadi lemah," katanya.

Konsert Inul dibatalkan - Alhamdulillah



Konsert “Ratu Gelek Indonesia” Inul yang dijadualkan pada 27 Julai 2008 ini telah dibatalkan. Pihak Pemuda Wilayah telah menghubungi syarikat IMS Prima Sdn Bhd, yang menguruskan konsert berkenaan. Pegawai syarikat berkenaan yang enggan memberitahu namanya, memberitahu bahawa konsert tersebut telah dibatalkan.

Konsert tersebut dibatalkan kerana tidak mendapat permit daripada pihak DBKL ekoran ramai yang membantah dan tidak bersetuju dengan konsert tersebut, termasuk bantahan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Selain itu ia dikhuatiri akan menimbulkan kekacauan dan gangguan awam.

Pada 23 Julai 2007 yang lepas, rombongan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Sdr Kamaruzaman telah menghantar memorandum bantahan kepada konsert Inul. Memorandum tersebut telah diterima oleh pegawai khas Datuk Bandar Wilayah Persekutuan.

Sejurus selepas itu Kamaruzaman mengumumkan Pemuda Wilayah akan turun ke Stadium Bukit Jalil bagi mengedarkan 10 000 risalah bagi memberi mesej kesedaran kepada orang ramai.

Saudara Kamaruzaman yang dihubungi tadi melahirkan rasa gembira dengan berita pembatalan konsert ini. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berharap agar konsert-konsert seperti ini, tidak lagi dibenarkan kerana ia akan mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada negara kita.

Penyelenggaran Kereta Exco RM 1.1 juta, AMK buat laporan polis


Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu memohon agar suatu siasatan segera dilakukan oleh pihak polis keatas kos ‘terlampau’ penyelenggaraan kereta
Proton Perdana V6 eksekutif yang digunakan oleh exco kerajaan negeri Terengganu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua AMK Terengganu, Mohd Fariz Musa dalam laporan polis yang dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu jam 3.02 petang hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan akhbar kelmarin, Menteri Besar Terengganu menyatakan kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Eksekutif bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh selama lima tahun bermula 2004 hingga 2008 berjumlah RM235,123.08.

Menurut beliau ia adalah satu jumlah yang amat banyak, membelanjakan wang rakyat dan wang kerajaan negeri Terengganu.

”Walaupun telah dibetulkan (oleh SUK) menjadi RM131,449.83, ia masih satu jumlah yang amat besar,
”dalam keadaan rakyat terbeban dengan isu kenaikan harga minyak sekarang, ia adalah keterlaluan,
”perlu dijelaskan secara terperinci,”katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Beliau yang juga Timbalan Ketua AMK Malaysia berkata walaupun BPR telah melakukan penyiasatan, tetapi ia belum berbaloi (belum ada tindakan apa-apa).

Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong menyatakan berdasarkan rekod perbelanjaan menyelenggara kereta rasmi Idris yang menggunakan nombor pendaftaran TS 12, sebanyak RM2,303.48 dibelanjakan pada 2004; RM18,378.76 (2005); RM33,261.37 (2006); RM49,582.81 pada tahun lalu dan RM27,923.41 tahun ini.

”Manakala Perbelanjaan keseluruhan penyelenggaraan 16 kereta digunakan Exco serta pegawai tinggi kerajaan negeri dalam tempoh empat tahun berjumlah RM1,071,668.82,"ujar Mokhtar semalam

Sehubungan dengan itu, Fariz berharap Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya bersikap telus dan profesional serta menyiasat perkara tersebut hingga ke akar umbi.

"Jangan sampai ikan bilis tertangkap, ikan jerung (pula) terlepas,"tambahnya.

Turut menemani beliau adalah Timbalannya AMK Terengganu, Muzafeq Affyulzalfuzam Mohamad dan dua exco AMK Terengganu yang lain.

TG NIK AZIZ RAIH ANUGERAH KEAMANAN NOBEL VERSI ASIA


Berita sehebat ini TIDAK AKAN DISIARKAN MEDIA ARUS PERDANA kerana anugerah ini di menangi oleh TGNA, walau bagaimanapun kita mesti tahu dan berbangga dengan anugerah kepada pemimpin yang tersayang ini.

Tahniah buat TG Nik Aziz dengan pemberian anugerah daripada Gusi Peace Price Foundation yang beribu pejabat di Manila. Anugerah keamanan Gusi ini diadakan setiap tahun dan dikatakan 10 hingga 15 tokoh akan dipilih untuk mendapat anugerah yayasan itu.

Anugerah ini akan disampaikan oleh Ketua Yayasan Gusi, Barry Gusi , Insyaallah pada bulan November ini di Manila, Filipina.Menurutnya, TG Nik Aziz adalah tokoh kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah ini.

Sebelum ini, anak Kelantan, Datuk Ismail Mohammad dianugerahkan pada 2006 menggantikan Tun Dr Mahathir yang dikatakan tidak boleh hadir untuk menerima anugerah itu pada tahun tersebut. Ini kerana peraturan yayasan mengatakan bahawa penerima anugerah hendaklah menghadirkan diri dan terima sendiri anugerah yang diberikan.Untuk tahun ini, sebanyak 1,490 orang tokoh dicalonkan di seluruh dunia sebagai penerima anugerah itu. Anugerah ini boleh dikatakan sebagai anugerah Keamanan Nobel versi Asia, menurut Barry Gusi.

Sekali lagi, tahniah diucapkan buat TG Nik Aziz. Semoga dengan pemberian anugerah ini dapat membuka mata Malaysia secara amnya dan dunia, khasnya. Orang kita mengharapkan media arus perdana berbahasa Melayu dapat menyiarkan artikel anugerah yang diperolehi oleh TG Nik Aziz ini di dada akhbar mereka. Biar semua orang nilai sendiri ketokohan TG Nik Aziz ini.

Tolong jangan diamkan cerita begini wahai media arus perdana khasnya 'Utusan Meloya' dan 'Berita Hairan'.

Akhir Qalam : Hanya jauhari kenal manikam - KJ, Paklah, UMNO dan Media Arus Perdana Buta Tuli dan Pekak.

PAS kekal dengan Pakatan tidak dengan UMNO

























Pemimpin tertinggi PAS menegaskan tidak pernah berbangkit PAS hendak bergabung atau berkongsi kuasa dengan Umno bahkan akan kekal dalam Pakatan Rakyat.
Apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PAS adalah bersemuka (muqabalah) dengan para pemimpin Umno untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Tujuh daripada 13 anggota anggota Majlis Syura Ulamak Rabu lalu mengambil masa kira-kira sejam lima minit membincangkan kekeliruan berhubung ‘muzakarah’ yang dikatakan telah berlaku antara pemimpin PAS dan Umno baru-baru ini.

Pertemuan tertutup itu dipengerusikan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bermula kira-kira pukul 4.05 minit petang di JKR 10, kediaman rasmi MB Kelantan.

Hadir sama dalam pertemuan itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Harun Din, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Muhammad Daud dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Ketika bertemu dengan media, tiga pemimpin utama PAS, Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi dan Datuk Dr Harun Din berkata, PAS tetap komited dengan Pakatan Rakyat.

Muqabalah bukan Muzakarah


NIK Abdul Aziz Nik Mat (tengah) dikerumuni wartawan selepas menghadiri mesyuarat tertutup pemimpin tertinggi parti itu di Kelantan. Hadir sama Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din (kiri), Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang (belakang) dan timbalannya Nasharudin Mat Isa (dua, kiri).

Khir Toto berusaha jatuhkan Pakatan Rakyat Selangor


Pendedahan mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mendakwa Umno dan PAS Selangor ada usaha pakatan untuk membentuk kerajaan negeri merupakan strategi Umno untuk terus memecahbelahkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor II, Iskandar A. Samad menegaskan, apa perlu Khir mengungkit pertemuan itu kerana PAS bertemu Umno hanya untuk mendengar apa yang dikehendaki oleh Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau,pengakuan Khir menunjukkan bahawa beliau hendak memecahbelahkan Pakatan Rakyat sebab Umno sedang dilanda masalah kurang mendapat sokongan daripada orang Melayu.

Sebab itu katanya, Umno menggunakan pendekatan ‘muzakarah’ untuk menarik PAS berbincang tentang perpaduan Melayu atau Islam.
Beliau menegaskan jika benar Umno ikhlas untuk berbincang perkara tersebut sepatutnya sudah dilakukan ketika Umno mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum tahun 2004.

“Umno tidak ikhlas untuk membincangkan masalah orang Melayu tetapi muzakarah itu hanya mahu dijadikan medan menaikkan imej Umno supaya mendapat sokongan semula daripada orang Melayu,” tegasnya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat Suk semalam.
Iskandar berkata, kononnya selepas pentadbiran Pakatan Rakyat orang Melayu tertindas tetapi jika dilihat banyak polisi-polisi Umno yang meminggirkan orang Melayu.

“Bagaimana dengan polisi perumahan, siapa yang merobohkan masjid dan surau bukankah itu semua kerja Umno?
“Umno tidak layak untuk bercakap soal perpaduan Melayu sebab Umno merupakan parti yang memecahbelahkan perpaduan orang Melayu,” katanya.

Beliau berharap sebelum PAS mahu bergabung dengan Umno perlu dilihat sejarah lalu seperti tragedi Memali begitu juga dengan Akta Hasutan Dalam Negeri (ISA) yang membuktikan bahawa Umno sememangnya jahat.

“Sia-sialah pengorbanan kita kalau kita hendak bergabung dengan Umno,” katanya.
Mengulas tentang media yang sengaja membesarkan isu muzakarah katanya, memang Umno buat untuk mengucar kacirkan keadaan Pakatan Rakyat.

Sebelum isu muzakarah katanya, Umno membesarkan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang akan dihapuskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tetapi tidak berjaya.
Tambahnya,Umno terpaksa menggunakan isu liwat oleh Ketua Umum KeADILan, Dato’ Anwar Ibrahim tetapi menimbulkan banyak masalah dan akhirnya muzakarah dijadikan gelanggang untuk memecahbelahkan kesepakatan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, Umno akan serang satu demi satu untuk melemahkan Pakatan Rakyat dan isu muzakarah merupakan strategi Umno untuk terus memerangkap PAS.
“Ini adalah rentetan perangkap yang sengaja dibuat oleh BN kepada parti -parti komponen dan PAS tidak sepatutnya terpedaya dengan perangkap ini,” katanya lagi.

Beliau mengingatkan rakyat khususnya ahli PAS jika hendak mengetahui tentang apa yang berlaku di Selangor tanya dengan orang yang terlibat dalam pentabdiran kerajaan negeri.
“Jangan dengar kata-kata orang luar bahawa berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat dan PAS dianaktirikan oleh kerajaan. Dengar sendiri daripada exco dan Adun Selangor,” jelasnya.

Beliau mendakwa ada pihak yang cuba memberi laporan yang tidak tepat terhadap PAS negeri Selangor dengan mendakwa bahawa PAS telah terpinggir dan sebagainya dalam kerajaan Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu Iskandar berharap ahli PAS di Selangor perlu bertenang dan tetap dengan pendirian bahawa sebelum dan selepas pilihan raya ahli PAS Selangor tetap berdiri di belakang Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Muzakarah: Umno diseru masuk PAS



Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman menyeru orang-orang Umno supaya masuk ke dalam PAS dan meninggalkan Umno yang jelas telah hilang halatuju dalam memperjuangkan Islam serta bangsa Melayu.

"Kalau nak muzakarah dengan Umno ini kita tidak bersetuju tetapi dalam masa yang sama kita menyeru mereka supaya masuk ke dalam PAS, kerana kita pernah ditipu dulu.

"Isu muzakarah ini sudah lama dari zaman Dato' Asri dulu yang menjadi masalahnya sekarang ini mengapa mereka mahu bermuzakarah setelah mereka berada di dalam keadaan tersepit dan lemah," kata Ustaz Ghani.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Umno yang tidak mahu bermuzakarah pada tahun 2004 ketika pada kedudukan yang cukup selesa pada masa itu dan hanya menganggap PAS sebagai parti nyamuk sahaja.

"Ini hanya sekadar sandiwara daripada Umno, bila mana kerajaan Umno Selangor kalah mereka ajak PAS berbincang kerana mereka mengakui PAS sebagai parti penentu.

"Ianya mesti dibincangkan oleh peringkat tertinggi PAS Pusat tetapi kalau sekadar untuk bertemu sesiapa pun boleh bertemu, itu tidak menjadi halangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek menyarankan supaya pemimpin Umno berubah sikap seperti boros berbelanja dan menekan Pakatan Rakyat kerana ini yang menyebabkan rakyat merubah sokongan mereka.

"Ketua Menteri Melaka jangan berlagak untuk menjadi juara dalam isu muzakarah ini kerana beliau tidak layak disebabkan kezaliman yang dilakukannya ke atas PASTI di Melaka, kontraktor dan klinik panel dahulu," tambah Ustaz Kamaruddin.

"Perkara begini sudah lama dibuat di dalam PAS dan keadaan sekarang ini mengambarkan kepada kita bahawa Umno sudah semakin tenat," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man berkata, Umno sengaja mencipta isu ini kerana ingin menutup pelbagai isu yang melanda negara seperti pembunuhan Altantuya, tuduhan liwat ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya.

Pemuda PAS Wilayah akan turun edar risalah



Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan turun ke Stadium Bukit Jalil untuk mengedarkan risalah kesadaran kepada orang ramai. Ini berikutan konsert Inul yang akan diadakan pada 27 Julai 2008 di Stadium berkenaan.
Konsert Goyang Gerudi Inul telah diluluskan di Stadium Bukit Jalil selepas dibatalkan di Stadium Larkin pada 19 Julai lepas selepas tidak mendapat kelulusan permit daripada Pejabat Daerah Johor Bahru.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan memorandum bantahan melalui ketua pemudanya Sdr. Kamaruzaman Mohamad pada pukul 10 pagi tadi. Sejurus selepas itu Kamaruzaman memberitahu media, Pemuda Wilayah Persekutuan akan turun mengedarkan risalah kesedaran pada hari konsert berkenaan dilangsungkan.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah diarahkan untuk turun beramai-ramai di Stadium Bukit Jalil untuk bersama-sama mengedarkan risalah pada hari tersebut. Orang ramai yang hendak menyertai program ini juga dialu-alukan. Edaran tersebut akan diketua oleh Sdr. Kamaruzaman sendiri.

Untuk itu, semua diminta berkumpul di pintu utama stadium, yang berdekatan dengan LRT pada hari itu, sebelum menjelang waktu maghrib. Pemuda akan bersolat jemaah maghrib disitu sebelum memulakan edaran risalah. Oleh yang demikian semua peserta dinasihatkan datang dalam keadaan berwuduk pada 27 Julai ini.

AHLI PAS LEGA DENGAN KEPUTUSAN MAJLIS SYURA



Rata-rata ahli PAS lega dengan keputusan mesyuarat Majlis Syura hari ini. Mesyuarat Majlis Syura yang berlangsung petang tadi di kediaman Menteri Besar Kelantan, JKR 10 di Kota Baharu mengambil ketetapan bahawa, saf kepemimpinan atasan PAS menegaskan "tidak pernah berbangkit parti itu hendak bergabung atau berkongsi kuasa dengan Umno", malah bersedia kekal dalam Pakatan Rakyat.
Mursyidul Am Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Datuk Prof. Dr Harun Din dilaporkan sepakat menyatakan PAS tetap komited dengan kerjasamanya bersama PKR dan DAP. Tidak berbangkit soal PAS keluar dari Pakatan Rakyat.

"Apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PAS adalah bersemuka (muqabalah) dengan para pemimpin Umno untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat," laporan suatu blog akhbar mingguan dipetik.
Beberapa pemimpin kanan PAS menghadapi kesukaran menjelaskan kepada ahli dan penyokong parti apabila Abdullah mendedahkan beliau sendiri terlibat dalam tiga pertemuan dengan PAS.

Laporan-laporan media kemudiannya menyebut usaha PAS mendekati Umno termasuklah rundingan tentang kerajaan campuran di Selangor dan pengagihan jawatan penting negeri, beberapa hari selepas pilihanraya umum 8 Mac.
Keputusan majlis syura hari ini boleh meredakan kekecewaan penyokong dan ahli parti. Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, baru-baru ini menggesa muzakarah dengan Umno dihentikan kerana ia akan memecah-belahkan PAS.

Beliau berkata PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno. Kelmarian, Nik Abdul Aziz berkata, "apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.
"Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua. "Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti."Itu perangkap namanya," katanya, lapor Harakahdaily.net.
Adalah diharapkan ahli, penyokong, simpatisan PAS dan Pakatan Rakyat tidak bimbang dengan isu ini kerana ia telah diputarbelitkan oleh media dan pemimpin Umno. Ketegasan dan penjelasan Tuan Guru Mursyidul Am dan Presiden PAS selepas mesyuarat Majlis Syura hari ini sudah cukup untuk menjawab segala kekeliruan dan tohmahan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin melihat PAS dan Pakatan Rakyat berpecah.

Syabas pemimpin PAS yang bertindak pantas menyelesaikan masalah ini. Diharapkan selepas ini isu muzakarah PAS-Umno tidak akan dibangkitkan lagi.

Radovan Karadzic diberkas



BERBEZA... Dua gambar kombinasi ini menunjukkan penjenayah perang, Radovan Karadzic yang diberkas oleh pasukan keselamatan Serbia di luar Belgrade, kelmarin. Gambar kanan diambil semasa Karadzic menghadiri sidang Parlimen Republik Srpska di Bosanski Samac pada 13 Februari 1995, manakala gambar kiri adalah gambar terbaru Karadzic yang memperlihat wajahnya yang berjanggut, berambut panjang dan memakai cermin mataa


Penjenayah perang yang paling dikehendaki Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Radovan Karadzic akhirnya berjaya diberkas oleh pasukan keselamatan Serbia semalam.

Pemimpin Serb Bosnia itu, yang didakwa terlibat melakukan pembunuhan etnik di Bosnia pada 1992-1995, berjaya ditahan selepas hampir 13 tahun melarikan diri daripada tribunal jenayah perang PBB.

“Radovan Karadzic berjaya dikesan dan ditangkap malam tadi.

“Karadzic telah dibawa kepada hakim siasatan Mahkamah Jenayah Perang di Belgrade mengikut undang-undang selaras dengan peruntukan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY),” menurut kenyataan pejabat Presiden Serbia, Boris Tadic.

Pejabat Presiden Serbia dan pendakwa raya jenayah perang enggan memberi penjelasan lanjut mengenai kenyataan ringkas tersebut yang tidak menyatakan maklumat lengkap mengenai masa dan tempat Karadzic ditangkap.

Seorang pegawai jenayah perang bagaimanapun berkata, bekas panglima perang Serb Bosnia berusia 63 tahun itu “tidak menentang” penangkapannya dan berada dalam “keadaan tertekan”.

Penangkapan itu menyusul dua minggu selepas penubuhan kerajaan baru Serbia yang dikuasai Parti Demokratik pimpinan Tadic yang pro-Barat dan Kesatuan Eropah (EU) dengan sokongan Parti Sosialis yang pernah dipimpin oleh bekas Presiden Slobodan Milosevic.

Karadzic dan bekas komander tenteranya, Ratko Miladic berjaya mengelakkan diri daripada ICTY sejak 1995 selepas didakwa melakukan jenayah perang, pembunuhan kaum dan jenayah kemanusiaan semasa Perang Bosnia 1992-1995.

Lebih 11,000 orang telah terkorban sepanjang perang di wilayah Balkan itu. Di bawah pimpinannya, pasukan tentera Serb Bosnia dipercayai telah membunuh lebih 8,000 orang Islam yang terperangkap dalam wilayah Grbavica yang dikuasai puak Serb.

Tanpa kuota saya menang - Ku Li


Setiap kali berlakunya pertandingan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO, nama Tengku Razaliegh Hamzah pasti menjadi sebutan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli UMNO tetapi juga orangramai.Tengku Razaliegh (Ku Li) pernah mencabar dan hampir-hampir menyingkirkan Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam pertempuran yang sangat sengit pada tahun 1987 sehingga mewujudkan Team A dan Team B dan membawa kepada pengharaman UMNO melalui proses mahkamah.Kini, dalam usia 71 tahun iaitu usia orang lain mencari jalan keluar dari gelanggang politik, Ku Li masih mahu bertanding merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember ini. Berbeza dengan pemilihan sebelumnya di mana beliau hanya mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri iaitu Gua Musang, Ku Li yakin kali ini beliau akan dapat melepasi halangan utama itu.“Halangan yang paling besar ialah sistem kuota. Tanpa kuota, sekarangpun saya dah boleh menang,’’ kata Ku Li kepada Agendadaily dalam satu pertemuan di kediamannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Beliau juga melihat kod-etika pemilihan kali ini sangat ketat dan merupakan satu lagi rintangan untuk calon-calon merapati ahli-ahli atau perwakilan. Namun, beliau mengingatkan bahawa kod-etika itu juga boleh menjadi perangkap kepada para pemegang jawatan.

Amy Seach akan muncul di Muktamar PAS 54 di Ipoh


Amy Search akan muncul di Ipoh sempena Muktamar PAS 54 yang akan diadakan di Stadium Indra Mulia pada pertengahan Ogos ini nanti.

Demikian dimaklumkan oleh Saudara Badrain selaku ketua Jawatankuasa Pelaksana Muktamar tersebut.Sekretariat Jamaei akan menguruskan program tersebut yang diberi nama Malam Expresi Kesenian Islam.

“Kehadhiran Amy akan memberi tarikan kepada anak-anak muda; untuk bersama dalam majlis seumpama ini supaya mereka tidak kekok dengan majlis-majlis anjuran PAS dimasa-masa yang akan datang.Kami mahu mereka dapat mencari jalan pulang, Insya’Allah,” katanya.

Ditanya, apakah nanti tidak akan timbul kesan negatif sebagaimana yang baru-baru ini sebagaimana konsert; PROTEST yang baru lalu, beliau berkata, persembahan Amy hanya menggunakan musik unplug ; lagi pun Amy sangat berpengalaman dan kami akan pastikan persembahannya bersesuaian dengan majlis tersebut.

Saudara Badrain menjelaskan, selain kemunculan Amy, pihak penganjur; telah mendapat persetujuan lain-lain artis untuk hadir membuat persembahan.

“Antaranya ialah kumpulan nasyid terkenal Far-East dan juga kumpulan Saff One.Selain itu ada juga persembahan deklamasi sajak oleh sasterawan dan penulis terkenal Dinsman, Muhaimin & Zuar XPDC dan HM Salleh.”

Apabila ditanya kenapa tidak dijemput sama Akil Hayi, seorang selebriti tempatan yang seketika dulu sering bersama program anjuran PAS ; beliau berkata, program tersebut lebih bersifat persembahan amal kerana kami tidak mengenakan apa-apa bayaran ; Kami sangat berterima kasih kepada mereka yang sudi bersama menyumbangkan; amal; bakti dengan kos yang sangat sederhana dan sesuai dengan bajet kami.

Pemudawilayah bantah konsert Inul!



Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (PemudaWilayah) membantah sekeras-kerasnya konsert Inul Darastista atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 27 Julai 2008. Tindakan membenarkan konsert berkenaan adalah satu penghinaan kepada rakyat kerana sebelum ini, konsert berkenaan telah dibatalkan selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru enggan mengeluarkan permit.

Untuk itu, PemudaWilayah akan menghantar memorandum bantahan kepada pihak DBKL dan Kementerian Wilayah memandangkan konsert berkenaan akan berlangsung dalam kawasan pentadbiran DBKL.

Seharusnya pihak Kerajaan peka terhadap kehendak rakyat dan tidak melayani artis ini yang sehingga kini masih ditolak oleh Ulama’-ulama’ Indonesia yang mengganggap aksi goyang pinggulnya sebagai aksi erotik dan berbaur pornografi.

Sebelum ini artis ini juga pernah mengadakan konsert di Stadium Merdeka. Walaupun dibantah oleh PemudaWilayah tapi pihak DBKL berdegil. Semasa konsert berkenaan berlangsung, Inul tetap mempersembahkan aksi goyang pinggul walaupun beliau berjanji tidak melakukannya.

Jadi adakah ada lagi mana-mana pihak boleh menjaminkan perkara yang sama tidak berlaku?

PemudaWilayah juga ingin mengingatkan semua pihak terhadap aksi tunjuk punggung oleh penyanyi kumpulam Caburateor Dung yang dibelasah oleh penonton yang menyaksikan konsert mereka di Stadium Kelana Jaya sempena Himpunan Protes awal bulan ini.

Suasana menjadi panas bilamana penganjur gagal mengawal aksi penyanyi berkenaan dan akhirnya diselesaikan dengan cara yang negatif oleh penonton. Situasi yang sama tidak mustahil akan berlaku lantaran kuatnya bantahan yang ditujukan terhadap Inul akhir-akhir ini.

Walaupun apa jua alasan yang dilontarkan, PemudaWilayah mengingatkan bahawa rakyat tempatan menolak konsert ini. Rata-rata penonton yang hadir pada siri konsert beliau sebelum ini adalah dari kalangan warga Indonesia yang kempunan melihat aksi beliau ditanahair sendiri.

Jika konsert ini berlaku maka negara ini akan ‘dilacurkan’ kedaulatannya bagi melampiaskan keinginannya warga Indonesia yang tidak tercapai ditanahair mereka.

Diharapkan agar pihak Kerajaan mengambil serius terhadap perkara ini bagi menjaga imej negara sebagai anggota OIC.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Anwar serah 8 dokumen pada BPR babitkan Gani dan Musa



Ketua Umum Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan lapan dokumen kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di ibu pejabatnya di Putra Jaya hari ini berhubung dakwaannya terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pasukan mereka.

Dakwanya, Gani Patail dan Musa terlibat memalsukan keterangan beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Anwar yang bercakap kepada kira-kira 50 wakil media yang menunggunya di luar pintu di Bangunan BPR sejak 10 pagi tadi berkata beliau, turut membawa kes jenayah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor terhadapnya.

Selain itu katanya, beliau juga mengemukakan dokumen mengenai ujian DNA beliau yang diambil pada tahun 1998 untuk menghina beliau.

"Saya berpuas hati kerana BPR mencatat semua keterangan dengan profesional dan mereka meminta dokumen dan saya berikan semua dokumen yang ada di tangan saya," katanya yang ditemani dua peguamnya, Sivarasa Rasiah dan Dato' Parakumarasan.

Beliau memberi keterangan selama lebih tiga jam kepada BPR.

Anwar yang hadir di Ibu Pejabat BPR pada jam 9.30 pagi tadi memberi keterangan kali kedua selepas beliau hadir pada Rabu lepas berhubung laporan polis dibuatnya 1 Julai lalu.

Beliau memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam pada itu, ditanya mengenai fail saman RM5 juta terhadapnya oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, hari ini, berkata beliau dengan senang hati beliau akan berhadapan kes tersebut di mahkamah.

Dalam sidang media yang sama, Anwar menafikan beliau "mempolitikkan" isu beliau dibogel ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagaimana didakwa Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar.

"Saya ditelanjang sewaktu pemeriksaan doktor dan kemaluan saya diukur.

"Saya diminta mengisi "borang mangsa rogol" di HKL minggu lepas semasa saya dibawa polis untuk pemeriksaan dalam siasatan dakwaan meliwat pembantu saya," ulanginya mengenai dakwaan beliau dibogel oleh HKL baru-baru ini.

Sementara itu, bercakap mengenai isu muzakarah PAS dan Umno, katanya, beliau menerimanya dengan baik.

Bagaimanapun katanya, beliau menyerahkan isu tersebut kepada Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .