Zahid Hamidi berpaling tadah?
Kini, pergelutan dalam UMNO sendiri menjadi menarik. Kenyataan Zahid Hamidi yang mendakwa dirinya bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah - dengan syarat dibenarkan kabinet - juga menarik. Beliau meletakkan semua beban atas bahu Najib, sebagai Ketua Kabinet - untuk menentukan sama ada beliau boleh atau tidak untuk tampil di mahkamah Perancis.
Baru-baru ini Zahid dikatakan calon yang bakal memainkan peranan "Muhyiddin Yassin" dalam usaha menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi - seandainya usaha baru diperlukan untuk menjatuhkan Najib Razak. Ini kerana Najib berdepan dengan cabaran untuk mengembalikan majoriti dua pertiga dalam PRU ke-13, malah kuasa kerajaan negeri Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Cabaran buat Najib
Najib kini perlu berhati-hati untuk membuat percaturannya. Soal selidik yang diumumkanMerdeka Center pada 4 Disember 2010 menunjukkan bahawa sejumlah 59% rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi Najib membanteras rasuah. Lebih-lebih lagi, ketiga-tiga kaum menganggap kerajaan Najib perlu mendahulukan isu membanteras rasuah. Apa yang menarik, seandainya perbicaraan kes pembelian kapal selam ini menunjukkan bahawa Najib turut terlibat dalam amalan rasuah - maka beliau semestinya berdepan dengan tekanan rakyat dan UMNO agar beliau berundur.
Dalam keadaan sedemikian, mungkinkah Najib mengambil langkah untuk mempercepatkan pilihan raya umum, menggunakan kuasa yang ada pada Presiden untuk melantik calon, lantas menyingkirkan orang yang tidak taat kepadanya? Dan seandainya beliau berbuat demikian, apakah keadaan seperti PRU ke-12 bakal berulang - iaitu sabotaj daripada peringkat akar umbi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden UMNO?
Saf pimpinan PAS yang baru lahir dari pemilihan mungkin menjadi faktor pertimbangan Najib. Seandainya PRU diadakan tahun ini, mungkin PAS belum sempat mengatur langkahnya untuk bersedia.
Justeru itu, tempoh antara September hingga Oktober mungkin masa yang sesuai, kerana pantai Timur sering dilanda banjir mulai November.
Menurut pemimpin di akar umbi UMNO, mereka telah bersiap sedia 24 jam untuk PRU sejak dua, tiga bulan yang lalu. Namun tarikh PRU ke-13 kekal menjadi teka-teki.
Untuk Najib, bukan senang untuk mencari satu tarikh yang menjamin kemenangan BN. Kenaikan harga barang, ketegangan hubungan antara sekta dalam UMNO, saf pimpinan baru PAS yang menyuntik semangat kepada Pakatan Rakyat, cetusan isu perkauman dan agama yang mencungkil ketidakpuasan masyarakat... Sehingga bila "suasana baik" boleh dikekalkan dengan Program Transformasi yang direkacipta Najib?
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disunting dan diterjemah dari teks asal.













