Ikuti Blog ini

Mohd Sabu Tetap Saman Semula Utusan Malaysia

Peguam mewakili Mohamad Sabu, Mohamed Hanipa Maidin sedang menimbang sama ada akan membuat rayuan atau memfailkan semula saman anak guamnya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

Ianya ekoran saman tersebut dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana ketiadaan butir-butir yang mencukupi berhubung penerbitan yang didakwa berunsur fitnah bagi menyokong tuntutan saman itu.

Hanipa berkata, rayuan atau memfail semula boleh dibuat kerana saman tersebut dibatalkan kerana masalah teknikal, bukan merit kes.

"Kita mempunyai dua pilihan samaada nak buat rayuan atau nak fail semula kerana saman ini dibatalkan kerana hakim kata ada masalah prosedur,"
kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Hakim Datuk John Louis O’hara berkata, Mohamad perlu mengesahkan butiran penerbitan yang mencukupi dalam samannya seperti yang diperlukan di bawah undang-undang.

Katanya, kenyataan sokongan itu merupakan satu keperluan serta membentuk prasyarat yang dikehendaki di bawah Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dalam writ saman fitnah.

Hanipa berkata, beliau menunggu kata putus daripada Mohamad untuk tindakan seterusnya.

"Saya sedang berbincang dengan Mohamad Sabu dan menunggu kata putus daripada beliau samaada nak buat rayuan atau nak fail semula," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Keputusan hakim semalam dibuat ketika membenarkan permohonan yang difailkan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan penerbit akhbar tersebut untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan Mohamad.

Utusan Melayu dan Aziz yang diwakili dua peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun pada 27 Oktober lalu telah memfailkan permohonan membatalkan saman Mohamad terhadap mereka yang dinamakan sebagai pihak defendan.

Mohamad, 57, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 14 September lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, pihak defendan dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel pada 27 Ogos lalu dan dua bahan terbitan pada keesokan harinya yang berbaur fitnah.

Penerbitan ketiga-tiga artikel terbabit adalah berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

Mohamad mendakwa, penyiaran bahan-bahan tersebut telah secara tidak langsung menggambarkan bahawa beliau penyokong pengganas komunis, telah terkeluar daripada ajaran Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera. -Hrkh



JAWAPAN TUAN GURU NIK AZIZ KEPADA FITNAH PUTAR BELIT UMNO MENGENAI SAMAKAN DIRINYA DENGAN NABI


Sehari dua ini, hangat juga cerita Ustaz Budak yang didakwa berceramah dan mengaitkan saya, kononnya saya "Nabi." Ada pihak pula yang 'putar' dalam internet tentang ceramah itu. Justeru ada bemacam-macam ulasan.

Saya turut menjawab perkara ini bila ditanya wartawan. Di sini saya ulangi:

"Saya hendak jawab begini, kalau orang menyamakan saya dengan Nabi adalah kufur. Sama juga, orang Islam tolak Islam, ia kufur. Sama ada tolak Islam itu diganti dengan demokrasi atau kebangsaan. Serupa jugalah."

Wang Royaltinya Kamu Rompak, Kini Kamu Burukkan Kelantan Hanya Bina Sebuah Masjid

PAS akui hanya bina sebuah masjid di K'tan

Kerajaan PAS Kelantan mengakui hanya membina sebuah masjid, iaitu Masjid Jubli Emas Sultan Ismail Petra, di Rantau Panjang daripada wang sendiri tanpa bantuan kerajaan pusat sejak mentadbir negeri itu lebih 20 tahun lepas.

Gambar: MASJID Jubli Emas Sultan Ismail Petra yang terletak di Rantau Panjang, Kelantan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun berkata masjid lain di seluruh negeri dibina oleh kerajaan pusat.

"Masjid Jubli Emas atau lebih dikenali Masjid China yang menjadi kebanggaan PAS ini dibina dengan perbelanjaan kerajaan negeri sendiri, tanpa satu sen dari kerajaan pusat," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, bagi masjid mukim yang lain di seluruh negeri, kerajaan negeri hanya bertanggungjawab mengeluarkan peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pemimpin parti pembangkang di Kelantan, bahawa sejak mentadbir negeri ini lebih 20 tahun, PAS tidak membina sebuah masjid pun di negeri itu.

Malah, mereka mendakwa semua masjid yang ada di negeri ini dibina oleh kerajaan persekutuan atau peninggalan pembangunan yang dibawa oleh Barisan Nasional ketika mentadbir negeri itu pada 1978-1990.

Abdul Fatah berkata, Masjid Jubli Emas yang berharga RM9.5 juta itu dibina pada 2005 dan siap sepenuhnya pada 2009 hasil ilham Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas melawat Beijing, China sebelum itu. - Bernama

"PAS akui hanya bina sebuah masjid di K'tan"
Begitulah tajuk jahat dari Bernama.

Cuba merendah-rendah dan memburukkan kerajaan negeri Kelantan apabila mengulas mengenai kewujudan Masjid Jubli Emas atau Masjid China yang dibina dengan perbelanjaan kerajaan negeri sendiri, tanpa satu sen dari kerajaan pusat.

Memang Kelantan hanya membina sebuah masjid. Kerana wang royalti milik Kelantan telah dirompak oleh kerajaan UMNO pusat. Setelah wang milik Kelantan kamu rompak kini kamu hinakan kerajaan Kelantan kononnya hanya mampu dirikan sebuah masjid sahaja.

Begitulah teruknya perangai yang dibawa oleh penulis berita BERNAMA ini.

Kita ingin nyatakan, biar masjid yang dibina itu cuma satu, tetapi ia dibina berasaskan taqwa dan masjid itu diimarahkan daripada mempunyai beratus masjid tetapi terbina di atas dasar bermegah kemudian terkunci rapat tanpa jemaah sepertimana berlaku di kebanyakan masjid di negara ini.

Di dalam Al-Quran, tiada arahan untuk mendirikan masid sebaliknya terdapat banyak arahan supaya mendirikan solat!

Mendirikan masjid belum tentu mendirikan solat, tetapi mendirikan solat dengan sendirinya masjid akan terdiri sekalipun tanpa bangunan. -GB

Kenapa PAS Tidak Bergabung Dengan UMNO

Soalan keempat dari mahasiswa yang tidak sempat dijawab sewaktu Forum di UIAM bersama Ust Fathul Bari Mat Jahya dan Dr. Roslan Mohd Nor tempohari. Soalan itu berbunyi : Kenapa PAS Tidak boleh bergabung dengan UMNO.

Jawapannya :
1. Penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh.
2. Namun .... sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.
Surah Aali Imran 103

3. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt :

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مَّآ أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Surah al Anfaal 63

4. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt :

 ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.
Surah al Maaidah 2

5. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

6. Demikian asas yang perlu difahami oleh semua mengenai konsep perpaduan. Apabila ditanya mengenai penggabungan antara PAS dan UMNO, maka saya harap semua dari kalangan kita merujuk kepada prinsip dan konsep yang telah saya jelaskan di atas dengan jujur dan adil.

7. ...... pun begitu, untuk aman, damai, sejahtera, harmoni dan sebagainya buat masa ini, jika UMNO mahu terus kekal dengan dasar partinya hari ini, maka  PAS dan UMNO terus menjadi parti yang berbeza lalu wujudkan suasana check and balance.

8. Keperluan utamanya ialah kematangan dalam berpolitik. Elakkan politik fitnah dan adu domba. Begitu juga dengan politik dedah aib dan politik caci maki. Sebaliknya amalkan politik yang diperkaya dengan akhlak. Politik berteraskan hujjah dan fakta. Politik yang matang dan berhikmah.

9. Saya mengharapkan generasi muda hari ini boleh memulakan politik jenis ini. Politik baru ke arah masa depan negara dan ummah yang lebih bertamadun. Hentikan persengketaan dengan menamatkan pencabulan dan penindasan. 

10. Sebagai satu contoh mudah, Kerajaan persekutuan yang ditulang belakangkan oleh UMNO mestilah mengembalikan semula royalti minyak yang menjadi hak rakyat Terengganu dan Kelantan kerana ini antara punca persengketaan antara UMNO dan PAS. Lebih klasik, persengketaan antara PAS dan UMNO ialah pada perbedaan dasar dan manhaj perjuangan. Maka janganlah UMNO mempersendakan hasrat PAS untuk melaksanakan syariat Islam khasnya di Kelantan.

Shahrizat makin terdesak, cuba lepas diri.


(Oleh: Nazar Hashim)

PULAU PINANG 7 Dis: Wanita KEADILAN Pulau Pinang menyifatkan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semakin terdesak berhubung skandal Perbadanan Fidlot Kebangsaan yang dimilik keluarganya.

Ketuanya, Norhayati Jaafar berkata, lantaran itu, Shahrizat cuba mengalih perhatian dengan menyerang pimpinan Pakatan Rakyat pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno minggu lalu.

“Beliau bukan saja cuba mengheret Wanita Umno melindungi hipokrasi yang ada, malah berusaha untuk menukar isu ini menjadi persoalan peribadi dengan membuat pelbagai serangan peribadi terhadap kepimpinan Keadilan seperti YB Saifuddin Nasution, YB Zuraida Kamarudin dan Rafizi Ramli.

“Usaha terdesak seperti cuba memalitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr.Wan Azizah juga merupakan satu lagi taktik melepaskan diri dari kemelut yang sedang dihadapi oleh beliau membabitkan NFC, ” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Yayasan Aman, Penanti, petang semalam.

Menurut Norhayati, Wanita KEADILAN juga kesal dengan ucapan begitu emosional oleh Shahrizat yang tidak sedikit pun menggambarkan keperibadian pemimpin wanita Islam.

Jelasnya lagi, pendedahan yang dibuat Ketua Audit Negara melalui laporannya terhadap penyelewengan dana RM250 juta oleh NFC bukan dongengan atau palsu, tetapi merupakan fakta.

“Penyalahgunaan dana rakyat ini adalah suatu penyelewengan, penipuan dan kezaliman terhadap rakyat yang mengharapkan pembelaan dari kerajaan yang memerintah.

“Menyedari hakikat ini, sekiranya Shahrizat berasa bertanggungjawab dalam isu yang telah mencalarkan nama beliau sebagai menteri kabinet yang dipertanggungjawabkan, seharusnya beliau segera melepaskan jawatan, agar tidak menjadi liabiliti kepada rakyat dalam negara ini,” tambahnya lagi.

Dasar Selangor Banyak Ditiru BN - MB Selangor

 Usaha Kerajaan Pakatan Rakyat mengangkat taraf hidup rakyat Selangor diakui berkesan hinggakan Barisan Nasional meniru program-program yang tersedia, menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Ada program jom shopping dengan warga emas. Seratus ringgit kita bagi kepada warga emas, bersama-sama wakil kerajaan negeri membeli-belah di gedung membeli-belah. Mereka rasa seronok dan terbela bila kita bersama-sama mereka."

"Kerajaan Persekutuan pun nak tiru. Dia kumpulkan orang untuk diberi hamper. Saya periksa melalui rakan-rakan dalam pengurusan pusat beli-belah.

Kerajaan Persekutuan belanja RM200 untuk beri hamper bernilai RM100 ringgit. Kalau itu yang berlaku dalam Jom Shopping, saya pecat pegawai tu. Itu cara mereka, cara yang kita hendakkan adalah dari duit RM100 itu, kita dapat belanja seperti RM200,"katanya.

Abdul Khalid berkata demikian di program Rapat Rakyat di Shah Alam, 4 Disember lepas.

Beliau menjelaskan sikap boros Barisan Nasional ini antara faktor mengapa kemewahan negeri Selangor tidak dapat diagihkan kepada rakyat dengan lebih meluas.

Beliau juga melahirkan rasa marah kerana Barisan Nasional tetap membelanjakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

"Itu sebab terpaksa berhutang sebab tak tahu jaga duit. Ini duit rakyat, dan duit rakyat harus diurus dengan cermat supaya ia 100% sampai ke tangan rakyat,"
jelasnya.

Dilancarkan pada 15 Julai tahun ini, program Jom Shopping membolehkan warga emas membeli barangan keperluan untuk kesejahteraan dan keselesaan keluarga dan diri sendiri.

Dengan peruntukan kira-kira RM10 juta ringgit, program ini sebahagian dari agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Di majlis tersebut, Khalid berkata beliau tidak mahu membazirkan masa memarahi Umno-Barisan Nasional kerana Pakatan masih mempunyai banyak gerak-kerja reformasi yang perlu diuruskan.

"Kita ada program Ceria, dimana kita mengecat semula rumah pangsa lama supaya ia lebih selesa untuk didiami.

Di satu rumah pangsa Samudra di Batu Caves, BN pun bergegas turun kata nak cat rumah pangsa itu selepas mendengar program kita ini.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak kata dia peruntukkan RM1.5 juta untuk projek itu. Saya terkejut, kerana perkiraan kita hanya memerlukan RM400,000",katanya.

Apa yang lebih mendukacitakan, sikap boros Barisan Nasional ini dikhuatiri meneruskan amalan memperkayakan kroni.

"RM400,000 bandingkan dengan RM1.5 juta...RM1.1 juta pergi ke mana? Rakyat dah bangun dari mimpi. Kita mengigau sudah lama,"jelasnya lagi. -tvsnews


Mahasiswa demo bantah akta perhimpunan aman di putrajaya

HARI ini kira-kira 50 orang wakil mahasiswa mengadakan satu demonstrasi di Putrajaya bagi menyatakan bantahan terhadap akta perhimpunan aman yang diluluskan di parlimen baru-baru ini.

Inilah wajah-wajah pemimpin masa hadapan, ini wajah-wajah orang bijak pandai yang bakal diberi amanah memimpin negara pada masa hadapan.

Bila orang bijak dipijak, mereka akan bangkit mereka akan bangun dan lawan!



Lihat pemimpin negara yang hadir hari ini. Mereka menjana pengalaman dari zaman kampus. Lihat Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan lain-lain, mereka pemimpin pelajar suatu masa dahulu.

Kini mereka yang asalnya memimpin pelajar, sudah menjadi pemimpin hebat di kalangan masyarakat. Namun kerajaan zalim hari ini cuba "memenjarakan" mahasiswa daripada berpolitik. Ini kerja gila!

Tahniah dan salute kepada mahasiswa yang berani!




ReJaM© "Mahasiswa dihalang berpolitik, maka lembu-lembu akan berkuasa..."

Ribut monsun mula badai Putrajaya

Desakan dan tekanan rakyat yang dahagakan perubahan seperti tercetusnya ‘Arab Spring’ dan seterusnya merebak ke Singapura dan Thailand (seperti mana terbukti dalam keputusan pilihan raya mereka baru-baru ini) menjadikan Perhimpunan Agung Umno fokus utama.

Para pemerhati sedang mencari isyarat bagi menjawab soalan yang kritikal ketika berdepan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi. 

Adakah Umno – salah sebuah parti politik di dunia yang paling lama memerintah – juga akan tumbang dilanda 'arus ribut monsun' kebangkitan rakyat kali ini?

Isyaratnya banyak. Setelah menonton siaran langsung sesi perasmian perhimpunan itu baru-baru ini, gambaran pertama yang saya perolehi ialah para pemimpin utama parti itu yang berada di atas pentas kelihatan resah dan bimbang.

Perasaan kurang keyakinan diri tidak dapat dipadamkan yang terbit dari ucapan pembukaan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ucapannya hambar, tidak mengandungi isi yang konkrit, yang boleh memberi keyakinan bahawa segala-galanya berjalan dengaan baik dan Umno mempunyai kekuatan untuk membawa negara ini menuju masa depan yang lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam tempoh beberapa hari mereka berhimpun, para pemimpin Umno seperti biasa memainkan sentimen perkauman dan membelasah pemimpin-pemimpin pembangkang.

Namun pada perhimpunan ini kelihatan agak unik di mana para pemimpin sesama mereka merayu supaya tidak bertindak menikam dari belakang dan melakukan khianat dari dalam. Justeru semua perwakilan bersatu dalam melafazkan ikrar taat setia kepada parti dan presiden parti.

Dalam ucapan penutup, Najib memberi amaran kepada para perwakilan bahawa jika Umno tewas kali ini, bermakna masa depan orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja menjadi gelap.

Mengalih sasaran ucapannya kepada “28 juta rakyat Malaysia”, secara spontan beliau menegaskan, sama ada mereka (rakyat) memilih semula kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan yang lebih cerah atau menghadapi saat kehancuran di bawah pembangkang.

Semboyan perang

Mengimbau kembali episod ini, kesimpulan yang dapat saya buat ialah perhimpunan ini merupakan satu bentuk latihan untuk memukul gendang perang dan mengajak ahli-ahli supaya bersiap siaga untuk terjun ke medan perang.

Tidak ada perbahasan berhubung cabaran semasa yang kita hadapi, atau bagaimana BN boleh menyelamatkan negara ini dari terus dilanda kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dan krisis hutang Eropah yang memberi kesan buruk kepada ekonomi dunia dan bagaimana BN dapat membantu rakyat dalam menghadapi keperitan hidup dewasa ini.

Walaupun Najib ada menyentuh tentang perkara ini dengan merujuk kepada pelbagai program transformasi yang diperkenalkan tetapi beliau tidak membentangkan sesuatu program yang konkrit selain dalam bentuk slogan semata-mata.

Najib cuba untuk mengharumkan nama Umno dengan mendakwa kononnya mempunyai rekod yang cemerlang. Namun dakwaan beliau itu lebih banyak menimbulkan kesangsian dari keyakinan memandangkan Malaysia sudah jauh ketinggalan dalam semua bidang berbanding Singapura, Korea Selatan ddan Taiwan.

Malahan, Malaysia sekarang ini sedang berhempas pulas untuk menyaingi negara-negara yang dahulunya mundur seperti Indonesia dan Thailand dalam bidang ekonomi dan pasaran bebas.

Satu perkara yang tidak dapat disembunyikan ialah dari perbahasan yang berlangsung kini ternyata Umno sedang bergelut untuk terus menyabung nyawanya sendiri; bukan untuk membawa kesejahteraan kepada negara ini maupun untuk membantu orang-orang Melayu.

Jika sekiranya semua berjalan dengan baik seperti yang didakwa, kenapa hutang kerajaan Malaysia semakin parah dengan mencatat rekod belanjawan defisit selama 15 tahun berturut-turut walaupun memperolehi keuntungan yang lumayan hasil dari harga minyak yang melambung tinggi?

Kenapa nisbah pelaburan swasta berbanding Keluaran Negara Kasar (GDP) masih tersangkut pada takuk lama iaitu 10% (antara paling rendah di rantau ini) sejak tahun 90-an walaupun kita berada pada tahap tinggi 37%.

Kenapa rakyat hidup sengsara berikutan kos sara hidup dan harga barangan semakin meningkat manakala jumlah pendapatan dan gaji masih tidak berganjak dan statik?

Tansformasi, satu ilusi

Jika program Najib berjaya dilaksanakan kenapa gejala rasuah semakin buruk di negara ini seperti laporan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dan ketirisan terus berlaku dalam pentadbiran BN seperti dilaporkan dalam keluaran terbaru Laporan Ketua Audit Negara.

Jika benar BN mengambil berat tentang kehidupan semua lapisan masyarakat dan bangsa seperti yang mereka dakwa, kenapa ketegangan agama dan bangsa secara mendadak semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Para pemimpin Umno pula menggunakan perhimpunan itu sebagai medan untuk membelasah pembangkang dan menakut-nakutkan orang-orang Melayu bahawa bencana bakal menimpa bangsa dan agama, malahan mala petaka akan menimpa negara ini, jika Umno tidak dipilih semula memegang kuasa.

Umno mendakwa jika Pakatan Rakyat berkuasa, orang Cina akan memerintah negara ini melalui DAP dan orang Melayu akan hidup merempat, Islam diganti dengan Kristian dan nasib raja-raja Melayu tidak terbela.

Tetapi dakyah Umno ini dengan mudah dipatahkan oleh DAP dengan merujuk kepada pilihan raya umum (PRU) 2008. Pada PRU 2008, DAP hanya meletakkan 47 calon sahaja, berbanding 97 calon PKR dan 66 PAS untuk merebut 222 kerusi parlimen.

Di samping itu, ahli PAS semuanya Melayu dan PKR didominasi oleh Melayu. Jadi, bagaimana mungkin DAP menewaskan PKR dan PAS – termasuk Umno – untuk muncul sebagai kuasa besar dalam politik Malaysia?

Hakikat bahawa Umno terpaksa menimbulkan isu-isu yang tidak berasas bagi menakut-nakutkan rakyat untuk mencapai matlamat politik mereka adalah jelmaan dari rasa kecewa dan terdesak.

Pakatan terus cemerlang

Najib dalam ucapan penutupnya berkata Pakatan, jika dipilih, akan menghancurkan negara ini.

Tetapi bagaimana mungkin perkara ini boleh terjadi apabila negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan mendapat pengiktirafan dan pujian dari Ketua Audit Negara berdasarkan pengurusan kewangan berhemah dan bebas rasuah serta mentadbir dengan kebertanggungjawaban dan ketelusan?

Bukankah hakikatnya mereka telah mengurus dengan baik apabila terbukti dengan kemasukan pelaburan asing yang semakin meningkat walaupun didera dan dianaktirikan oleh kerajaan BN?

Bukankah negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan melayan semua bangsa secara adil dan saksama?

Memandangkan para pemimpin Pakatan berjaya mentadbir dengan baik, bukankah ini yang Malaysia perlukan untuk mengembalikan keyakinan para pelabur asing dan menjamin masa depan yang lebih baik?

Saya pasti rakyat mampu berfikir secara waras bagi membuat pilihan yang betul, jika segala maklumat yang benar didedahkan kepada mereka. Makanya, pertarungan dalam pilihan raya umum akan datang merupakan sebuah medan peperangan dari segi penyampaian maklumat.

Jika Pakatan berjaya memberi gambaran yang sebenar kepada majoriti rakyat walaupun BN mencekam media masa dengan ketat sekali, pada masa yang tepat bagi menghadapi pilihan raya nanti, maka Perhimpunan Agung Umno itu akan menjadi sia-sia belaka.

Perhimpunan ini amat sesuai dimasukkan dalam lipatan sejarah sebagai kenangan kerana menjadi medan bagi menimbulkan kesedaran rakyat betapa buruknya jika terus bergantung kepada sistem politik feudal yang lapuk.

Kesedaran sebegini akan menjadi penentu kepada perubahan dengan menggantikan politik perkauman kepada politik rakyat dan memberi kuasa kepada Pakatan untuk membawa era baru untuk negara ini.
- Kim Quek (Free Malaysia Today)

Pilihanraya Mesir: Ada Usaha Manipulasi Keputusan, Ikhwanul Muslimin Ancam Demo

Kaherah: Ikhwanul Muslimin yang meraih undi terbanyak dalam pusingan pertama pilihan raya Mesir, mengancam mengadakan tunjuk perasaan sekiranya terdapat sebarang cubaan memanipulasi keputusan.

Pergerakan Islam yang berfahaman sederhana itu yang diharamkan selama puluhan tahun sepanjang pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak, memperoleh 36.6 peratus undi pada pilihan raya 28 dan 29 November lalu untuk parti bagi Dewan Rakyat.

Kami akan mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya jika berlaku penipuan dalam pilihan raya atau tindakan memanipulasi perlembagaan,” kata pemimpinnya, Mohammed Badei kepada televisyen Mesir ketika mengulas mengenai keputusan itu.

Satu perlembagaan baru akan dirangka tahun depan sebaik saja Dewan Rakyat dan Dewan Negara dibentuk menjelang Mac.

Kerajaan awam baru dijangka berdepan dengan perebutan sengit dengan tentera yang sudahpun membayangkan keinginan untuk mengekalkan beberapa keistimewaan seperti yang mereka nikmati ketika era pemerintahan Hosni.

Ia termasuk hak menyemak undang-undang yang ada kaitan dengan tentera.

Mohammed menegaskan, Ikhwan tidak inginkan kuasa monopoli, mengulangi kenyataan bahawa pergerakan itu mahukan penyertaan parti lain dalam kerajaan yang akan dibentuknya.

Pengundian pusingan pertama dalam pilihan raya pelbagai peringkat berakhir Selasa lalu dengan parti berhaluan Islam, termasuk Ikhwan dan Al-Nur yang berpendirian ekstrim memenangi dua pertiga undi.

Pilihan raya itu, yang pertama sejak penggulingan Hosni pada Februari lalu, berdepan dengan beberapa masalah.

Isnin lalu, suruhanjaya pilihan raya menurunkan peratusan jumlah pengundi daripada 62 kepada 52 peratus dan berkata keputusan daripada beberapa pusat mengundi akan ditahan kerana berlaku pelanggaran syarat. - AFP

Siapa Berani Dengan Mamat Ni..Hartanya RM 4.6 Billion Beb...

Kekayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Malaysia sahaja dilapor sebanyak U$1.46 bilion (RM4.6 bilion), melalui pemilikan aset korporat di 14 syarikat.

Maklumat itu didedahkan sebuah NGO berpengkalan di Switzerland, Dana Bruno Manser (BMF) yang berkempen menentang rasuah di Sarawak.

Dakwa BMF lagi, Taib, empat anaknya, lapan adik-beradik dan sepupu pertamanya, Abdul Hamed Sepawi, memiliki kepentingan dalam 332 syarikat-syarikat di Malaysia, lapor Malaysiakini.

Antara tiga syarikat terbesar yang dikuasai mereka, adalah Cahya Mata Sarawak atau CMS (84 peratus daripada aset bersih RM2.4 bilion), Custodev Sdn Bhd (25 peratus daripada RM1.6 bilion) dan Ta Ann Holdings Bhd (sekurang-kurangnya 35 peratus daripada RM1.4 bilion).

CMS, yang popular dengan jolokan ‘Chief Minister’s Sons’, disenaraikan sebagai konglomerat yang terbabit dengan sektor pembinaan, simen, keluli, hartanah, pendidikan, swasta dan kepentingan broker saham. Custodev pula adalah sebuah syarikat pembangunan hartanah.

Manakala Ta Ann pula bergiat dalam bidang pembalakan dan perladangan, khususnya, minyak sawit.
BMF juga mendakwa keluarga Taib adalah pemilik tunggal Achi Jaya Holdings, pemegang monopoli ke atas eksport balak, dengan aset sebanyak RM550 juta.

Penemuan ini bercanggah dengan dakwaan Taib bahawa saudara-mara dan keluarganya cuma memperolehi kekayaan di luar Sarawak, hasil kepakaran dan bakat keusahawanan mereka.

Taib juga sebelum ini menafikan ahli keluarganya bertindak sebagai proksi beliau. Sebaliknya, dakwa beliau saudara-mara dan ahli keluarganya kaya-raya kerana mereka adalah “bijak” dan “cekap”.

“Kami anggap kepentingan korporat keluarga Taib sebagai aset haram. Terdapat banyak petunjuk bahawa Taib telah menyalahgunakan kedudukannya bagi membina empayar perniagaan berbilion ringgit berdasarkan rasuah dan penipuan,” dakwa pengarah BMF, Lukas Straumann dalam kenyataan akhbar dikeluarkan di peringkat antarabangsa pada hujung minggu lalu.

“Kami terkejut melihat keluarga Taib sebegitu kaya manakala rakyat Sarawak perlu bergelut dengan kemiskinan yang berleluasa dan kekurangan infrastruktur dan bantuan kerajaan,” katanya.

Banglo milik Khairul Fahmi siap



[HM] KOTA BHARU: Banglo hadiah kerajaan Kelantan kepada Khairul Fahmi Che Mat sebagai penghargaan kerana membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki tahun lalu sudah siap, namun ia belum diserahkan kepada penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan itu kerana belum menemui masa sesuai.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Abdul Latiff Ab Rahman berkata, mengikut perancangan banglo itu akan diserahkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek.

Menurutnya, sehingga kini majlis penyerahan rasmi banglo itu masih tertangguh berikutan Menteri Besar masih mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan manakala Khairul Fahmi pula sibuk menjalani latihan.

“Kita (kerajaan negeri) akan menyerahkan rumah banglo itu kepada Khairul Fahmi seperti yang dijanjikan kerana rumah terbabit sudah siap sepenuhnya, malah majlis ringkas akan diadakan sempena penyerahan itu.

“Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua pihak masih sibuk dengan urusan masing-masing, kita tangguhkan penyerahan rumah berkenaan sehingga tiba waktu sesuai. Namun kita akan berusaha mempercepatkan proses penyerahan banglo itu,” katanya.

ADUN Pakatan demo bantah lawatan sambil belajar


NONEKira-kira 15 anggota Pakatan Rakyat Melaka, termasuk beberapa wakil rakyat DAP, mengadakan demontrasi secara aman di hadapan Bangunan Graha Makmur, Ayer Keroh yang menempatkan Pejabat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) hari ini.

Mereka membantah tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu yang menghantar beberapa ahli majlis masing-masing ke luar negara, kononnya atas urusan lawatan sambil belajar.

Ketua Pembangkang Melaka yang juga ADUN Kesidang, Goh Leong San berkata, bantahan itu diadakan kerana tidak mahu PBT terbabit menggunakan wang rakyat, terutama dari hasil cukai digunakan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk melancong.

"Hari ini kita buat bantahan terhadap rombongan sambil belajar itu dan ini adalah perkataan yang sering digunakan oleh PBT di Melaka setiap kali membuat lawatan ke luar negara.

"MBMB membawa beberapa ahli majlisnya ke Perth, Australia manakala Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya ke China," katanya.

Menurut Goh, perkara itu juga sudah sering kali dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

"Dulu mereka kata nak buat lawatan sambil belajar untuk menyelesaikan masalah banjir tetapi malangnya masalah itu tidak selesai-selesai sehingga kini.

"Tapi perkataan sambil belajar masih lagi digunakan, kita tidak tahu apa yang mereka belajar di luar negara.

"Saya dengar kata, mereka membawa keluarga sekali, jadi saya hendak tahu bagaimana perbelanjaan mereka di sana adakah mereka gunakan wang pembayar cukai. Kita nak tahu bagaimana mereka menguruskan perbelanjaan itu.

"Kita kesal sedangkan dalam masa sama kerajaan negeri sudah menaikkan harga lesen perniagaan dan sepatutnya mereka gunakan wang lebihan cukai ini untuk kebaikan dan kemudahan rakyat bukan gunakannya untuk tujuan persendirian dengan sesuka-hati.

"Justeru, kita mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena terhadap pengurusan kewangan ini," katanya.

Selain Goh, turut menyertai demonstrasi itu ialah ADUN Bachang, Lim Jak Wong, ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him.

Manakala PAS disertai Yang Dipertua PAS Kota Melaka, Harun Mohamed dan Ketua Penerangan PAS bahagian Bukit Katil, Yusof Wahab.

Demonstrasi tersebut yang diadakan selama lima minit hampir mencetuskan ketegangan apabila segelintir yang dikatakan penyokong BN, didakwa cuba melakukan provokasi.
Namun kebijaksanaan polis berjaya mententeramkan keadaan dan perhimpunan kemudiannya bersurai. -M'kini

PAKATAN RAKYAT JANGAN TERPEDAYA HELAH ZAID IBRAHIM

 
SEDIKIT pun tidak mengejutkan apabila Presiden KITA, Zaid Ibrahim mula bersikap positif terhadap Pakatan Rakyat setelah beliau mengumumkan sebelum ini tidak akan mengganggu kawasan Najib dan Muhyiddin di dalam PRU akan datang. 
 
Bukan beliau tidak tahu perjuangan Pakatan Rakyat adalah untuk menguburkan Umno khususnya yang menjadi tunggak kerajaan sekarang, dan Umno sekarang dipimpin oleh Najib dan Muhyiddin.  Menyelamatkan Najib dan Muhyiddin bererti ingin menyelamatkan Umno walaupun tewasnya Najib dan Muhyiddin tidak bererti tewasnya Umno atau sebaliknya.  Ini yang Zaid mahu lakukan sebelum ini.  Dan, sekarang Zaid menyebut mahu menunjukkan solidariti dengan Pakatan Rakyat, bukan bererti Zaid ingin menarik balik hajatnya untuk tidak mengganggu Najib mahu pun Muhyiddin. 
 
Zaid Ibrahim terbaru menyebut, " Untuk menunjukkan solidariti kita dengan pembangkang, dan penolakan kita terhadap idea fasis dan autoritarian, KITA ingin menyatakan semula bahawa kita akan terus menyokong pembangkang dengan harapan untuk perubahan sebenar," katanya. 
 
Sesiapa yang mengenali politik Zaid tidak mudah termakan dengan apa yang diucapkan oleh bekas pemimpin PKR ini.  Jika dahulu beliau ahli Umno dan menyanjung Umno, kemudiannya tidak lagi mempercayai Umno dan menyertai PKR atas kepercayaan kepada kepimpinan DS Anwar, kemudiannya keluar dari PKR atas sebab tiada lagi keyakinan kepada DS Anwar.  Beliau menerajui KITA yang awalnya dilihat pro kepada Umno/Bn apatah lagi apabila beliau menyebut tidak akan meletakkan calon di kawasan Najib dan Muhyiddin bertanding.  Siapa yang masih sempit akalnya boleh yakin dengan kata-kata beliau yang terkini itu? 
 
Bagi saya, selagi Zaid atau KITA tidak berada di dalam saf Pakatan Rakyat, KITA perlu kita anggap sebagai musuh seperti juga Umno/Bn dan calon-calon yang bertanding atas tiket Bebas di dalam PRU nanti.  Sehubungan itu, Pakatan Rakyat diharapkan tidak terpedaya dengan helah Zaid yang mungkin mulai merasa Umno bukan lagi harapan untuk parti beliau bergantung nasib./wfauzdin.blogspot.com

DSAI Jawab!!!!! Najib dan Umno Keparak!!! (video)


Tentera Iran tembak jatuh pesawat risik Amerika


TEHERAN - Tentera Iran menembak jatuh sebuah pesawat risik tidak dipandu manusia milik Amerika Syarikat yang menceroboh ke ruang udara sebelah sempadan timur negara Teluk itu, kata laporan agensi berita rasmi Irna, lewat kelmarin.

Seorang pegawai tentera yang tidak mahu namanya didedahkan telah dipetik dalam laporan itu sebagai memberi amaran mengenai tindak balas yang keras dan memusnahkan berikutan pelanggaran ruang udara negara tersebut oleh pesawat dron Amerika itu.

'Sebuah pesawat risik RQ170 (gambar) Amerika tidak dipandu manusia telah ditembak jatuh oleh tentera Iran.

'Ia mengalami kerosakan kecil dan kini dimiliki tentera Iran,' kata laporan Irna itu sambil memetik pegawai berkenaan.
Tidak ada butir lanjut yang didedahkan.

Tentera bersekutu yang dipimpin Amerika di Afghanistan dalam satu kenyataannya berkata bahawa pesawat itu mungkin sebuah pesawat dron Amerika yang gagal menjalin hubungan dengan pengendalinya minggu lalu sedang ia menjalankan misi penerbangannya di barat Afghanistan.

Seorang pegawai Amerika yang bercakap dengan syarat tidak didedahkan namanya kerana insiden itu dianggap rahasia, berkata bahawa Amerika 'tidak mempunyai apa-apa tanda' dron itu ditembak jatuh.
Iran sedang bertikai dengan Amerika dan sekutu-sekutunya berhubung program nuklear Teheran, yang dipercayai pihak Barat bertujuan membangunkan senjata nuklear.

Iran menafikan dakwaan itu sambil berkata bahawa program nuklearnya adalah bagi tujuan kedamaian dan ia sedang mencari jalan menjana kuasa elektrik dan menghasilkan isotop bagi tujuan perubatan.
Jenis pesawat yang didakwa Iran ditembak jatuh ialah pesawat RQ-170 Sentinel.

Pesawat berkenaan dihasilkan oleh Lockheed Martin dan dilaporkan pernah digunakan untuk mengawasi pekarangan kediaman Osama bin Laden di Pakistan sedang serbuan ke atasnya dijalankan pada awal tahun ini.

Dalam satu perkembangan lain di Berlin, Menteri Luar Iran, Encik Ali Akbar Salehi, kelmarin menyuarakan rasa kesalnya berhubung serangan ke atas kedutaan Britain di Teheran.

Beliau berikrar akan mencegah serangan sedemikian pada masa depan, kata kementerian luar Jerman.
'Mengenai isu serangan ke atas kedutaan di Teheran, menteri luar Iran menyuarakan bahawa beliau amat mengesali atas apa yang berlaku,' kata satu kenyataan kementerian itu sambil mengimbas semula mesyuarat antara Encik Salehi dengan rakan sejawatannya, Encik Guido Westerwelle.

'Beliau memberi jaminan akan berbuat apa sahaja bagi mencegah insiden itu daripada berlaku,' kata kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Inggeris.

Encik Salehi menghadiri satu sidang antarabangsa utama bagi masa depan Afghanistan di Bonn, Jerman.
Di Bonn, Iran berkata ia akan menentang kehadiran tentera asing di Afghanistan selepas 2014, kata Encik Salehi, semalam, sambil menyatakan pengerahan itu tidak akan membantu kestabilan Afghanistan. AP, AFP, Reuters.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .