Ikuti Blog ini

1103 BERSIH: Puluhan Ribu Rakyat Berhimpun Biarpun Hujan Rahmat Mencurah Turun



Seremban: Biarpun hujan lebat turun tidak berhenti-henti sejak jam 5 petang tadi, namun ianya tidak menghalang ribuan rakyat hadir ke pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya di sini malam ini.

Dianggarkan sehingga jam 9.30 malam, 10,000 orang dari pelbagai kaum memenuhi ruang padang dihadapan pentas dan jumlahnya semakin bertambah menjelang ucapan pemimpin utama Pakatan Rakyat di penghujung program malam ini.

Mereka tetap hadir walaupun terpaksa berpayung, berbaju hujan dan berada dalam becak di tengah padang, semata-mata mahu mendengar amanat dari pimpinan mereka. (Angka meningkat kepada 30,000 pada jam 10.30 mlm - GB)

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang dijangka akan menyampaikan amanat khas malam ini.

Tirai program malam ini dimulakan dengan ucapan wakil-wakil NGO rakyat termasuk NGO 'R' yang memperjuangkan tuntutan royalti, NGO Anti-Lynas, NGO Anak yang memperjuangkan nasib peneroka, NGO Bersih yang memperjuangkan tuntutan pilihan raya bersih dan adil serta wakil NGO Kase yang membantah saman ekor termasuk penggunaan AES.

Sesuai dengan nama Himpunan Kebangkitan Rakyat, warna tema pada himpunan kali ini juga mewakili warna tema NGO-NGO tersebut.

Empat warna tema malam ini adalah warna kuning sebagai menyokong perjuangan Bersih, Oren untuk Anak, merah untuk Royalti dan hijau untuk Anti-Lynas.

Turut berucap diawal program malam ini termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Taufek Ghani, Pengerusi DAP Negeri Sembilan Lok Seiw Fok, serta Pengerusi PKR Negeri Datuk Kamarul Bahrin Abas.

Ketika ini antara pemimpin Pakatan Rakyat yang duduk di pentas utama termasuk Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali serta Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof.

Selain itu, turut kelihatan pemimpin ketiga-tiga parti Negeri Sembilan, pemimpin pakatan rakyat di segenap peringkat serta Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Ucapan oleh pemimpin utama dijangka bermula jam 10 malam ini.

Ketika ini kelihatan Bas Merdeka Rakyat yang membawa ketiga-tiga ketua pemimpin parti, Anwar, Kit Siang dan TG Abdul Hadi tiba di tapak program. -HD











Video : Wakil rakyat Pakatan Rakyat dihalang membantu mangsa ribut


PELIK, hairan, bodoh dan kejam, namun inilah yang berlaku di Negeri Melaka. Penguatkuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah, telah menghalang seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk membantu mangsa ribut, di Taman Air Keroh, Melaka.

Lihat dengan mata kepala anda sendiri bagaimana penguatkuasa digunakan untuk menghalang pemberian bantuan kepada rakyat yang ditimpa musibah akibat bencana ribut. Pelbagai alasan diberikan untuk merobohkan booth kecil yang dibina oleh wakil rakyat itu.


Difahamkan pihak penguatkuasa telah memberikan notis untuk menutup booth kecil yang didirikan dalam masa sejam. Jika tidak pihak penguatkuasa yang diperalatkan ini akan merampas segala barang-barang di booth tersebut.Lihat rakaman video di atas.
 
Bila sudah terdesak, nampak sangat otak mereka sudah tidak berfungsi dengan baik. Sifirnya mudah, selepas ini wakil BN pula akan datang kepada mangsa ribut dan berkata hanya BN yang membantu rakyat. Tengok wakil rakyat Pakatan Rakyat, mana ada nak bantu rakyat? Milosuam

Ubah kepada cara Pakatan Rakyat - Presiden PAS





SEREMBAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak rakyat Malaysia mengubah cara berpolitik di negara ini kepada cara baru iaitu cara yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat.

"Cara BN cara lama. Cara parti dibentuk dari bangsa-bangsa. Berbeza dengan cara Pakatan Rakyat. Parti-parti kita semua berbilang kaum dan agama.

"PAS parti islam dari pelbagai kaum. Ada juga bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. PKR parti pelbagai kaum dan agama. Begitu juga DAP.

"Berbeza dengan BN. Semua partinya dari parti kaum," kata beliau di Himpunan Kebangkitan Rakyat dekat Taman Seremban Jaya, Senawang malam ini.

Puluhan ribu rakyat pelbagai kaum dan agama berhimpun di sini bagi menyertai perhimpunan yang penuh sejarah itu. Padang usang itu penuh dengan keghairahan rakyat untuk memperjuangkan hak mereka.

Tepukan dan laungan reformasi bersatu dengan teriakan Allahuakbar dari para penyokong PAS, PKR dan DAP.

Pelbagai barangan kempen dijual oleh penyokong PAS, PKR dan DAP di perhimpunan ini. DAP membawa treler dan lori kempennya manakala PKR membawa bas dua tingkat jelajah rakyatnya.

Selain Ustaz Hadi, turut berucap adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Penyanyi Ito yang berasal dari Negeri Sembilan telah diberikan penghormatan untuk melancarkan lagu Pakatan Rakyat bertajuk 'Ubah Sekarang' di perhimpunan ini.

Ustaz Hadi dalam ucapannya menyatakan sekali lagi komitmen Pakatan untuk mematuhi perlembagaan negara tetapi membawa mesej yang berbeza sama sekali dari BN.

"Kita memegang perlembagaan yang sama tetapi penghayatan yang lain dari BN," kata Ustaz Hadi.

Dalam ucapannya juga, Ustaz Hadi berkata, memang PAS bersekongkol dengan DAP dalam Pakatan Rakyat "tetapi kita mentafsirkan Islam secara yang sebenar."

"Kerajaan tidak boleh berlagak sebagai Tuhan, pemimpin bukan juga bukannya manusia suci," tegas beliau ketika mentafsirkan sistem pemerintahan yang dikehendaki Pakatan.

Beliau juga memberitahu, PAS tidak pernah memaksakan Islam kepada orang lain kerana "tiada paksaan dalam agama."

Oleh itu, katanya, tidak berbangkit PAS menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana pihak termasuk DAP apabila PAS tidak memaksakan Islam kepadanya kerana ia sememangnya hak yang dberikan oleh Islam.

Beliau juga menegaskan, PAS akan sentiasa komited untuk mempertahankan hak bumiputra kerana mereka sememangnya tertinggal dari segala segi selepas disusun sedemikian rupa oleh penjajah.

"Namun dalam masa yang sama kita juga perlu memberikan hak istimewa kepada kaum Cina dan India yang miskin kerana mereka juga mesti dibela.

"PAS akan memperjuangkan hal ini dan ini adalah tanggungjawab kita," tegasnya dengan disambut teriakan takbir dan tepukan gemuruh dari para hadirin yang pelbagai kaum, agama dan jantina itu. -Hrkh

Siapa curi lori DAP nie?

Salah satu daripada tiga trak kempen pilihan raya DAP yang baru dilancarkan didapati hilang pagi ini di Johor, kata ketua DAP negeri Dr Boo Cheng Hau.

Boo berkata trak tiga tan yang diparkir di luar sebuah rumah kedai di Taman Tun Aminah itu dipercayai dicuri.

 "Ia diparkir di luar rumah kedai ketua Wanita saya, apabila mereka pulang pada 11 malam, mereka dapati ia masih ada di situ tapi pada jam 7 pagi apabila anak perempuannya keluar, dia dapati trak itu sudah ghaib," katanya.

Boo berkata, trak yang mudah dikenali – dengan gambar besar maskot Ubah itu menjadi sasaran walaupun berada berdekatan dengan trak lain di jalan tersebut.

Oleh yang demikian, beliau menganggap bahawa kejadian itu bermotif politik kerana trak lain di kawasan itu tidak terjejas. -M'kini

FAKTA SEJARAH: Najib Pernah Hampir Tewas Di Parlimen Pekan Pada PRU 1999


Semalam, Presiden PAS membuat kejutan bahawa beliau sedia bertanding di Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Sebenarnya Pekan bukanlah kubu kuat UMNO BN seperti yang digembar-gemburkan kerana Najib sendiri hampir tewas di Parlimen Pekan pada PRU 1999 di tangan calon PAS yang tidak terkenal iaitu Ramli Mohamed.


Malah kemenangan Najib dengan majoriti 241 undi itu pun diragui - kerana kemenangan hanya diumumkan apabila beberapa peti undi yang "sampai lewat" dikira.

Berikut ialah ulangsiar wawancara Editorial Harakah bersama bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz:
Najib, pemimpin Umno dan PM yang gagal

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak disifatkan hilang punca, begitulah kesimpulan yang dibuat oleh bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz kepada Harakah ketika sesi 'Cakap-cakap Bersama Harakah' di Pejabat Editorial baru-baru ini. Ikuti temubual sidang Editorial Harakah, antaranya AHMAD LUTFI OTHMAN, TAUFEK YAHYA, MOHD RASHIDI HASSAN, TARMIZI JAM dan WAN NORDIN WAN YAACOB serta Jurugambar, NASIR SUDIN bersama bekas ADUN Pulau Manis itu.

HARAKAH: Penyeberangan yang di luar kotak jarang-jarang dilakukan, boleh saudara nyatakan mengapa tinggalkan Umno dan sertai DAP?

DATO' MOHD ARIFF SABRI: Pertamanya terima kasih kerana Harakah jemput saya ke sini. Banyak yang tanya saya persoalan kenapa saya daripada Umno ke DAP, dan bila pindah pula tu tidak pilih parti lain tetapi DAP yang 100 peratus bertentangan dengan falsafah Umno. Kenapa tidak PAS atau Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

KeADILan ini DNA-nya Umno masih ada di situ, cara dia beroperasi itu masih ada cara Umno, bila ada perubahan nanti barulah boleh bertukar.

Saya tidak masuk PAS ini sebab saya kesian kepada PAS, sebab nak masuk PAS ini, ia mesti menangguh imej nak bawa PAS yang keagamaan dan saya tahu kekurangan diri saya. Saya nak elak PAS rosak saya tidak masuk, tetapi saya terus menyokong perjuangan PAS dan semasa dalam Umno dahulu lagi pun, saya menyokong PAS terutama dalam isu Umno fokuskan untuk merampas Kelantan yang dikuasai Melayu dan PAS, kenapa Umno beria-ia sangat nak rampas, saya tidak setuju dengan hal ini.

Sekarang ini apabila Umno dan pemimpinnya menyerang tokoh kepimpina PAS dengan kata nista, ini saya tidak setuju sangat.Jadi suatu parti yang nyata bertentangan dengan Umno ialah DAP yang secara lengkapnya tidak sama dengan Umno, justeru saya sertai DAP yang budayanya sangat bertentangan dengan Umno. Saya ada keserasian kerana DAP kini tiada berbaur perkauman sangat mutakhir ini.

Saya sendiri telah berbincang dengan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang, misalnya dalam persoalan jawatan Perdana Menteri Malaysia, dia mengakui realiti Malaysia ini tidak membenarkan orang selain Melayu menjadi Perdana Menteri, dan jika orang selain Melayu jadi PM, dia kata akan berlaku huru hara dan pertumpahan darah.

Orang Cina tak hendak benda itu, mereka hanya mahukan sebuah kerajana yang urustadbirnya baik, kedaulatan undang-undang yang betul, layanan kepada kita sama seperti kepada pembesar negara. Pada saya Umno gunakan undang-undang hanya untuk kukuhkan kedudukan, Umno akan manipuasi undang-undang. Persoalan besar hari ini rasuah, yang tidak dapat dibendung dalam Umno dari atas ke bawah. Ini bukan saya cakap, tetapi jika kita bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pun dia akan cakap begini.

Dalam satu majlis makan tengahari bekas menteri tidak disangka, Mahathir datang dan dia diberi penghormatan sepatah dua kata berucap. Tetapi Tun Mahathir take overlah sesi itu. Kenyataan pertama Tun Mahathir dia sebutkan bahawa 'negara kita ini dah korup dari atas ke bawah', dari Najib hinggalah ke bawah, ini dia cakap, jadi Musa Hitam cakap kepada saya dia pelik, inilah orang yang bertanggungjawab budaya koruspi ini, dari segi 'public statement' dia (Mahathir) nampak menyokong Najib tetapi dalam peribadinya dia tidak, dia banyak yang tidak suka cara Najib mentadbir itu.

Saya lihat umurnya (Mahathir) dah lebih 80 tahun, tetapi dah dia tidak boleh berhenti.Selalu saya bincang mengapa Tun Mahathir tidak boleh berhenti. Saya ada teori bahwa apa yang dia (Tun Mahathir) lakukan dahulu menghambat diri dia, dan dia kena tidak boleh tidak mengawal keadaan daripada jadi lebih teruk. Sebab itulah dari segi trend kemungkinan politik masa depan itu dia cukup gerun jika PR dapat ambil alh kerajaan dan 'nightmare' pada dia, jika Anwar Ibrahim jadi PM, dia rasakan Anwar akan bangkit semua cerita lama dia (Tun Mahathir).

Menyentuh soal kekuatan Pakatan Rakyat, kemungkinan faktor yang menyebabkan rakyat mahu kepada PR adalah Anwar, ataupun sebenarnya kelemahan Umno-BN itu sendiri?

Saya rasa yang faktor Anwar itu 'icing on the cake' sahaja, secara dasarnya rakyat menolak kebejatan Umno-BN. orang Umno pun 'fed up' dengan gelagat kepimpinan, bercakap soal kepentingan Melayu tetapi sebenarnya hanya menjaga kepentingan mereka dan kroni sahaja.Bercakap fasal negara, bagaimana urustadbir negara dengan pengaliran keluar wang negara dan ketirisan, rakyat melihat kepada ini, rakyat berdepan kos hidup yang tinggi, gaji tidak naik kepada tahap yang baik, dan rakyat marah kerana melihat pemimpin BN berbelanja seolah-olah tidak berhemah, dan menghentam sahaja tidak terkawal.

Walaupun bagi projek secara tender tetapi semua itu manipulasi, akhirnya kroni sahaja yang dapat. Rakyat baca yang tersirat, pemimpin seolah-olah sedari masa mereka (mentadbir) yang nak habis, selagi ada masa selagi mereka kaut (kekayaan negara), dan ini yang rakyat lihat. Soal Anwar ini dia penyatupadu PAS dan DAP dan dia 'crowd puller'. Dia boleh tarik massa, bila kita hebahkan rakyat akan mudah fahami berbanding penulisan, ceramah ini jauh cepat dapat. Saya tidak menaruh kepentingan luar biasa kepada Anwar Ibrahim, jika KeADILan menang besarpun dia tidak boleh menjadi PM tanpa persetujuan PAS dan DAP.

Barangkali boleh diceritakan sedikit tentang pengalaman dan latar belakang bagaimana bermula dalam politik dan menyertai Umno?

Saya nak ambil kesempatan nak terangkan, saya bukan kritikal kepada Umno selepas saya tidak menjadi wakil rakyat, tetapi jika ada kesempatan saudara-saudara boleh melihat hansard Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Pahang, boleh baca bahawa saya agak kritikal terhadap pengurusan kerajaan negeri Pahang, misalnya dalam pengurusan anak syarikat negeri pahang (SEDC) saya timbulkan persoalan jika syarikat ini sentiasa tanggung rugi.

Kaedahnya tutup jangan tanggung biawak hidup, jika ada syarikat milik kerajaan tetapi tidak boleh bersaing dengan syarikat Cina yang kecil, kita kena tutup, nak buat apa kerajaan bagi duit tetapi tidak untung. Mesti ada pengurusan yang tidak kena, persoalannya ialah korupsi berlaku, meningkatkan kos pengurusan kerajaan. Bila saya keluar, jadi saya ada kebebasan seidkit menyuatakan lebih terbuka, punca segalanya kepimpinan tertinggi yang tiada kekuatan membetulkan keadaan, sampai bila Umno ini tidak akan betul. Pemimpin sebut soal transformasi, tetapi jika tiada keberanian tidak akan berlaku perubahan.

Kepimpinan tertinggi Umno dipegang oleh Dato' Najib sendiri, dan saya yakin dia tidak ada keberanian dan 'political will' melakukan peruabhan, bercakap bolehlah, tunjukkan dia liberal memang dia pandai dan disokong oleh media massa perdana yang menunjukkan dia hebat, tetapi saya ada pengalaman langsung dengan dia, dan saya berani kata dia tidak berani lakukan perubahan, nak menukar Umno punya 'warlord' dia tidak berani. Kerana apa? kerana sokongan yang dia ada kini adalah daripada yang bawah dia (warlord) ini, takkan dia nak menghancurkan sistem kehidupan yang diketahui iaitu, mendapat projek besar dan menyokong pemimpin.

Jika nak reformlah, mati Umno. Lagi satu saya lihat, keduanya Umno ini tiada perjuangan untuk satu seruan, tiada 'cause of struggle'. Macam DAP walaupun dia sekular, tetapi dia ada dasar yang mahu negara ini diurustadbir dengan baik (good governance). PAS pula ada prinsip perjuangan Islam. Ini beza, Umno tiada cause, Umno ini kata mereka pragmatik, mereka kata mereka boleh sesuaikan diri ikut apa sahaja. Sebab itulah peribadi Najib sentiasa cuba membentuk klik, dia baik dengan sana sini, dan mengisi wawasan dia tak ada. Itu kelemahan Najib.

Boleh terangkan latar belakang saudara, bila menyertai Umno dan pengalaman dalam Umno?

Semasa di Universiti saya tak sokong Umno, dan kita di sana (Universiti) sama ada akan menyokong Islamik atau sosialis, masa saya di England, saya lihat pelajar kaum Cina ini mereka bersatu, senantiasa serang kerajaan Melayu dan secara umumnya dia serang Melayu. Secara umumnya masa itu saya seorang Melayu kena respons dengan tindakan mereka itu dengan bersatu dengan Umno dan buatlah apa sumbangan yang boleh kita buat.

Itulah asalnya saya dampingi Umno. Yang paling kuat sekali ialah semasa saya dibawa oleh Najib ke Umno Bahagian Pekan itu sendiri, masa itu tahun 1991 dsaya berhenti daripada Shell, dan masuk ke Umno dengan balik ke Pekan saya jadi AJK Bahagian. Daripada situlah saya bermula aktif dalam Umno. Pada 8 Januari 2012 saya sertai DAP. Di situlah bermulanya perjuangan saya menentang Umno.

Pengalaman dalam AJK Bahagian hingga Adun?

Saya ingat, karier politik saya meningkat pada tahun 1999 apabila Najib hampir-hampir kalah kepada calon PAS ketika itu dengan majoriti lebih kurang 200 undi sahaja. Itupun, calon PAS ketika itu telah pergi sujud syukur di masjid dan menjangkakan telah menang, namun katanya ada beberapa peti sampai lewat dan saya tidak tahulah apa yang berlaku hingga Najib menang 200 undi sahaja.Saya tidak tahu apa yang berlaku.

Selepas itu Najib sedar Umno Pekan ini tiada etika kerja yang betul, bagaimana nak yakinkan orang dan nak lakukan aktiviti, dan pada 199 dia lantik saya jadi ketua Penerangan Umno Pekan.

Bermula sahaja saya jadi Ketua Penerangan, saya susun strategi bagaimana nak menarik pengundi ini sebab di bahagian Pekan tidak ada aspek ini. Sebelum itu budak-budak dia tidak buat kerja hanya bagi tahu okay-okay-okay. Masa itu budak-budak dia hanya tahu sambut Najib sahaja ketika sampai di Pekan, sebab Najib dah pegang kementerian masa itu. Itu sahaja, dia tokoh penting yang akan naik ke atas, kerja Umno Pekan balik ke sana baut aktiviti dan tiada gerak kerja.

Bila saya ambil alih Ketua penerangan, saya lihat bagaimana dia mampu untuk menarik semula sokongan dan menimbulkan rasa sayang pengundi Pekan kepadanya. Saya tanya kepada dia, saingan dia di Pekan adalah PAS, saya tanya dimana kekuatan PAS?.

Sebab Najib tidak pernah terfikir pada masa itu. Saya cakap pada dia, kekuatan PAS adalah di surau dan masjid. Orang Umno ini dia liat sikit ke masjid, jawatan jawatankuasa surau dan pengerusi surau orang Umno nak, tetapi mereka tak mahu ke masjid. Jadi saya cadang dan rancangkan program di surau dan masjid dengan menjemput ulama-ulama dan tokoh agama, bila kita buat program kita jangan maki hamun, kita hanya buat program berasaskan pembicaraan mengenai kerohanian, dan saya panggil semua ulama daripada mesir dan indonesia yang boleh cakap Bahasa Melayu buat program di masjid. Tujuan saya ialah, nak tunjukkan ketika itu bahawa Umno pun tahu juga nak agama, menghormati aktiviti begini. Masa itu orang PAS pun datang, sebab kita tidak ada maki hamun kita panggil orang Arab yang boleh bertutur Bahasa Melayu itu orang PAS pun suka, saya pun bersekali, daripada tidak tahu jadi tahu.

Selama empat tahun saya buat menyeluruhlah. Saya buat lebih 150 program di bawah penerangan yang tidak terbuat oleh mereka di Pekan sebelum ini.Ini jadi rekod. Sebelum ini mereka tidak tahu nak buat apa, lagi pula Najib langsung tidak boleh buat apa-apa. Yang ada hanyalah kekuatan dia pada jawatan selaku Perdana Menteri, dan dia tiada kekuatan. Pada 15 Mac ini saya akan ke Pekan bersama Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) untuk saya ceramah menerangkan apa kelemahan dan siapa Najib sebenarnya.Orang Pekan mungkin tidak tahu siapa Najib sebenarnya. Dia tidak akan kalah sebab dia ada duit tetapi jika majoritinya turun, dia akan malu, Orang Umno ini kemantapannya tiada sebab tiada pengisian, sebab dia fokus kepada duit.

Pada tahun 2004 Najib dapat 22,000 majoriti selepas saya buat kerja. Masa Anwar kena mata lebam itu, orang Umno pun sokong Anwar. Di Pekan ini saya tahu apa yang berlaku, bayar akan dapat sokongan.

Najib tak kata apa Dato' masuk DAP, dia tahu ke?

Dia tidak tahu, sebab dia tidak dapat kesan waktu saya nak masuk DAP. Sebab itu dia pening, macam mana dia tak boleh agak, dia ingat mungkin saya masuk KeADILan, tetapi akhirnya saya ke DAP. DAP ini bukan 'Jembalang' seperti Umno sangkakan. Ramai yang tanya saya, mengapa PAS boleh bekerjasama dengan DAP, sebab ramai yang tak tahu, saya jawab mudah PAS bekerjasama dengan DAP nilainya Umno berpakat dengan MCA, apa masalahnya PAS pakat dengan DAP. PAS dan DAP pakat atas dasar prinsip, ini dibenarkan, tidak ada masalah. Saya rasa PAS dan DAP tidak berani nak diguguat apa dasar masing-,masing, cuma persamaannya adalah menjatuhkan kerajaan yang korup dan zalim, ini mereka bekerjasama dan walaupun saya Melayu Islam dalam DAP, saya tetap Melayu juga.

Saya beritahu kepada Umno dan MB Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob, saya tukar wadah sahaja bukan akidah. wadah itu penting..... Tetapi akidah tidak tukar, keMelayuan saya tidak kurang berbanding Umno.

Ini bukan masalah. Yang Umno takut ialah Umno hilang punca gunakan eleman gangster, gunakan Perkasa dan NGO yang nampak ekstrim, Rela dan sebagainya beri peruntukan ini menunjukkan Umno tengah risau. Yang Umno risau, rakyat ada pilihan selain Umno dan lebih baik daripada Umno. Saya komen Menteri MITI, Mustafa Mohamed kata aliran masuk pelaburan luar ke dalam negara (FDI) masuk ke Malaysia bagus, tetapi saya sebutkan itu semua FDI yang masuk ke negeri Pakatan Rakyat. Mustafa Mohamed nampak risau bila kita sebutkan hal ini. Tengok Pulau Pinang, Selangor dan Kedah semuanya tinggi FDI. Kerajaan BN ini FDInya jatuh.

Demam PRU 13, DAP katanya akan banyak menang, dan KeADILan akan menang besar, masalah yang dihadapi bagaimana kedudukan PAS yang akan ambil tempat dimana Umno bertanding, PAS akan bertanding, apa pandangan?

Penerimaan kepada PAS sangat bagus.Yang betul-betul parti Melayu ini hanya PAS sahaja. PAS ada dua kekuatan Melayu dan Islam. Umno sendiri dah tiada Melayu semua. Jika orang Umno sedar, mereka kena sokong PAS dan mana-mana kawasan yang PAS sertai dimana ada kawasan campuran, PAS pastinya akan menang kerana respon bukan Melayu samada India dan Cina cukup tinggi kepada PAS.

Saya ada tanya orang India, mereka banyak menyokong Pakatan Rakyat, mereka sokong DAP pertama, kedua PAS dan ketiga KeADILan. Prioritinya adalah DAP dan PAS, seterusnya KeADILan. Mereka suka keperibadian Tok Guru (Menteri Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat).... Orang Cina sendiri saya tengok di sebuah restoran pakai baju Nik Aziz, saya tanya kenapa pakai, dia jawab ini orang baik..... Dia buat kerja dia, tetapi penerimaan dan pengiktirafan orang yang baik mereka terima. Saya lihat orang Melayu tidak lagi bergantung harap dengan Umno.

Apa sebenarnya faktor orang Melayu terhalang sokong PAS?

Saya rasa satunya yang saya lihat di Pekan.Jentera PAS di Pekan sebagai contoh, mereka tidak buat program yang menyeluruh dan berterusan, jika berterusan ini mereka boleh atasi kesetiaan orang Umno di Pekan.

Saya selalu fikirkan jika saya jadi Ketua Umno Pekan, saya selalu bayangkan apa yang saya nak buat dalam mengambil sokongan orang Umno di Pekan, saya buat begini program berterusan di Pekan, minggu ini saya bawa Tok Guru Nik Aziz, minggu depan saya bawa Mat Sabu dan seterusnya untuk setiap masa orang di Pekan didatangi pimpinan PAS.

Saya yakin kaedah ini akan dapat menarik sokongan mereka di sana.Nak lawan duit memang kita tidak mampu sebab Umno ada duit. Saya tidak mustahil PAS boleh gerakkan orang Melayu, mereka seagama dengan kita, kita kena gerak kerja yang sentiasa, berbeza dengan Kelantan ada sahaja program Tok Guru di sana, sebab itulah mereka boleh faham. Arwah ayah saya sentiasa sokong PAS.

Bagaimana saudara boleh meyakinkan orang Melayu untuk sertai DAP, sebab ramai di luar sana masih bimbang untuk menyertai DAP?

Saya orang Melayu. Malah selepas bersama DAP, saya lebih bebas untuk nyatakan kepentingan Melayu ini yang terpinggir, dalam Umno mereka nak tahu tentang Melayu yang tak terpinggir sahaja, sedangkan dalam DAP mereka mahukan perjuangan mereka yang terpinggir.

DAP tiada halangan orang dalam DAP nak cakap tentang masalah kepentingan Melayu yang terpinggir ini,DAP tidak halang. ereka menyokong benda yang harus disokong. Satu lagi kita jangan risaulah tokoh seperti, Karpal Singh ini cakap selalu mengenai anti Islam, bangkang ini itu, dalam DAP pun orang biarkan sahaja dia begitu, sebab ada juga yang bangkang dia, cuma mereka diamkan sahaja sebab menghormati dia sebagai Pengerusi DAP, dia tokoh yang menyumbang kepada imej DAP dan beri ruang kepadanya untuk bercakap, tetapi tidak semestinya disetujui ahli DAP sendiri.

Selaku bekas ahli Umno dan pimpinan Umno, bagaimana saudara melihat propaganda yang dimainkan oleh Umno, jika PAS menang, orang Cina akan huru-hara, propaganda ini dimainkan di kawasan Melayu seperti di Perak, PAS jadi 'kuda tunggangan'?

Kalau orang Melayu konservatif yang baca Utusan Malaysia dan televisyen akan termakan (propaganda itu). Tetapi Pakatan Rakyat sendiri dah buat gerak kerja dan tulisan penerangan alternatif yang dapat dilihat oleh rakyat. Seterusnya saya rasa di kampung ini anak-anak mereka yang berlajar di luar, mereka ada cerita yang sebaliknya mengenai persepsi yang didoktrin Umno. Memang dan kita lihat, kos hidup tinggi dan salah urus tadbir negara tiada kena-mengena dengan DAP atau PAS. Mereka tak boleh tipu sepanjang zaman.

Merompak Dengan Bawa Bas Sekolah



.KUALA LUMPUR : Sekumpulan penjenayah, sebahagian besarnya bermotosikal turut menggunakan sebuah bas sekolah untuk mengangkut pelbagai kelengkapan penunggang motosikal berkuasa besar terutama jaket kulit yang dicuri daripada sebuah kedai di Jalan Genting Klang, di sini, awal pagi semalam.

Jenayah berlaku pada jam 5.30 pagi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, Alpinestars Shop Malaysia menunjukkan sekurang-kurangnya lapan lelaki terbabit kejadian itu.

Rakaman itu menunjukkan tujuh penjenayah terbabit menaiki motosikal serta memakai topi keledar manakala seorang lagi memandu bas sekolah dan mereka mengambil masa hanya tiga minit untuk mencuri barangan bernilai hampir RM70,000.

Pengurus Besar, Alpinestars Shop Malaysia, Rudi Fariq berkata, ini kali pertama kedai syarikat berkenaan dirompak dan beliau percaya ia sudah dirancang kumpulan terbabit.

“Kalau lihat pada rakaman CCTV, cara mereka lakukan rompakan sangat teratur dan hanya beberapa minit diambil untuk melarikan barangan kami bernilai hampir RM70,000. -HM

Konvoi Kembara Oren disekat di Sungai Siput



Satu konvoi yang diketuai pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman dilaporkan disekat oleh sekumpulan individu ketika cuba memasuki kawasan Felda Lasah di Sungai Siput, Perak.

Laman Harakahdaily melaporkan, Mazlan turut dikasari oleh beberapa orang individu dalam kejadian pada kira-kira jam 10 pagi itu.

“Kemungkinan lebih dari 100 orang yang menghalang dan mengepung kenderaan kami dan jumlahnya bertambah ramai.

“Kebanyakan mereka memakai baju berlogo Umno dan BN,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Gambar yang disiarkan bersama laporan itu menunjukkan sekumpulan individu berhimpun di antara beberapa buah kenderaan di atas sebatang jalan.

Ia juga menunjukkan kumpulan tersebut membawa bendera BN dan juga poster yang tertera slogan "Mazlan Aliman jangan rosakkan masa depan Felda".

Laman itu juga melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang anggota polis turut berada di tempat kejadian.

Dilaporkan, konvoi bersama 20 kenderaan dalam program Kembara Oren Selamatkan Felda – satu acara anjuran Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Perak dengan kerjasama ANAK.

Program yang mensasarkan golongan peneroka itu, menurut Harakahdaily, bertujuan memberi penerangan mengenai isu berhubung Felda.

ANAK sebelum ini giat mengadakan siri bantahan ke atas usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holding ke Bursa Malaysia.

NGO berkenaan juga mengadakan satu perhimpunan disertai 5,000 orang pada pertengahan Julai lalu bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung usaha penyenaraian tersebut.

MK

Himpunan Kebangkitan Rakyat bermula meriah





SEREMBAN: Program Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya di sini bermula meriah petang ini.

Biarpun hujan lebat turun sejak jam 2 petang tadi, namun kehadiran orang ramai ke sini tidak putus-putus sejak tenga hari.

Tirai program dibuka kira-kira jam 4 petang ini sejurus hujan mula reda dengan ketibaan hampir 200 motor berkuasa tinggi yang berkonvoi dari Stadium Paroi ke tapak program di sini.

Ketibaan mereka turut disambut dengan paluan gendang dan alat musik tradisional dari tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Pada ketika ini, sudah hampir 5,000 orang memenuhi tapak program biarpun program utama dengan kehadiran pemimpin utama PAS, PKR dan DAP hanya malam ini.

Keadaan padang yang becak tidak sedikitpun menyukarkan orang ramai untuk berada di tengah-tengah padang.

Sementara itu pihak penganjur turut menyediakan kerusi kepada orang ramai yang hadir.

Petang ini juga turut berlangsung ucapan pembukaan dari ketiga-tiga ketua pemuda PAS, PKR dan DAP negeri.

Dan sekarang ini pula berlangsung konsert nyanyian artis-artis yang telah bersama Pakatan termasuk Aisyah dan Dayangku Intan. -Hrkh







PRU13: Presiden PAS sedia bertanding di Pekan

Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi menerima sumbangan untuk dana pilihan raya Muslimat PAS Terengganu.

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat kejutan apabila menyatakan kesediaannya bertanding di Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau akan mengikut keputusan parti sama ada dikekalkan bertanding di Parlimen Marang atau Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang.

“Saya ikut keputusan parti. Saya serah kepada parti dan partilah yang akan buat keputusan. Parti hendak suruh bertanding Marang ke… atau Pekan, termasuklah, jika parti suruh saya bertanding di Pekan, saya bertanding di Pekan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media sama ada kekal bertanding dua kawasan, Dun dan Parlimen selepas Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum (PRU13) Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Rusila, hari ini.

Menurutnya, jawapan muktamad terserah kepada parti yang akan menentukan kawasan yang bakal ditandingi kelak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyatakan kesediaan jentera PAS pada bila-bila masa diadakan pilihan raya kerana persiapan telah dibuat sejak setahun lalu.

“Saya sudah melawat keseluruhan kawasan pilihan raya sejak setahun lalu. Saya buat jadual melawat dan keseluruhannya kerja telah dibuat sejak setahun untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa.

“Bahkan, kebanyakan Dewan Undangan Negeri (Dun) telah membuat culaannya yang terperinci. Ini termasuklah, persediaan jentera pilihan raya secara menyeluruh. Cuma kita menunggu tarikh pilihan raya pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya. -Hrkh

Rafizi gesa Nazri ikut jejak Shahrizat ambil 'cuti'



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz harus mengikut jejak bekas menteri wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang "bercuti" daripada kabinet ketika beliau sedang disiasat berkaitan dakwaan rasuah, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Katanya, ini kerana di kalangan pemimpin Umno dan BN yang banyak mengkritik Shahrizat, yang paling lantang adalah Nazri sendiri.

NONEMenurut Rafizi, sekiranya Nazri yang sebelumnya begitu bimbang
(skandal) National Feedlot Corporation (NFC) akan mengheret dan melemahkan kedudukan Umno dalam pilihan raya akan datang, maka "saya fikir sekarang adalah giliran beliau pula".
Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat PKR hari ini, Rafizi berkata beliau akan membuat laporan terhadap Nazri Isnin ini supaya siasatan dapat dimulakan, juga terhadap jutawan balak, Michael Chia yang didakwa memberi kenderaan mewah (SUV) kepada anak Nazri. -M'kini

TG Nik Aziz ajar solat di mana sahaja


(TG Nik Aziz solat bersama exco dan isterinya di Istana Negeri Kelantan.)


KOTA BHARU: Solat boleh dibuat di mana sahaja. Di dalam belukar, di tepi sungai mahupun di dalam istana.

Inilah yang diajar secara praktikal oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada rakyatnya.

Hatta tanpa memiliki kain sembahyang yang lengkap (baju puteh), beliau mengajar umat Islam boleh menunaikan solat asalkan menutup aurat.

Semalam sewaktu majlis perasmian Ekspo Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) 2012, Tuan Guru berkesempatan menunaikan solat Zohor di Istana Negeri, iaitu di satu sudut ruang pameran sempena ekspo itu.

Turut menunaikan solat Zohor, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood dan isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Sebelum ini, beliau dilihat menunaikan solat di tepi belukar dan di tepi sungai. -Hrkh

Kediktatoran Mahathir Telah Dekatkan PAS, DAP



Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui dalam memoirnya, "Doktor Umum" (2012), bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 "menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran Malaysia dan sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri".

Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, turut menarik balik lesen penerbitan tiga akhbar berpengaruh, dalam tiga bahasa utama, The Star (muka depannya pada hari pertama tangkapan yang membawa kepada pengharamannya, simple tapi menarik dan mudah diingati), Sin Chew Jit Poh dan Watan, atas alasan menyemarakkan api perkauman (yang sebenarnya didalangi Umno-MCA).

Serentak dengan itu, majlis ceramah politik tidak dibenarkan dan Malaysia bagaikan bertukar menjadi sebuah "negara polis".

Saya, yang baru memulakan kerjaya -- pada Mac 1987 -- sebagai pemberita Harakah (dan turut terbabit dalam edisi sulungnya) di bawah tunjuk ajar tokoh wartawan tersohor, Subky Abd Latiff, merasai sendiri situasi sulit cemas-takut sehingga setiap orang gelisah menjangkakan mereka juga boleh diserkup bila-bila masa.

Mendengar nama-nama tahanan yang tidak begitu dikenali dicekup dari hari ke hari (tangkapan tidak dibuat serentak tapi berperingkat-peringkat) membuatkan hampir semua yang pernah "berseteru" dengan pemerintah gerun dan merasakan gerak-geri mereka diintip serta menjadi target.

Bakal disumbat

Bersama hampir 20 rakan serumah yang masih bujang di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kami menanti khabar dengan penuh debar tahanan-tahanan baru yang bakal disumbat. Sepuluh hari sebelum itu, pada 18 Oktober, kejadian amuk Prebet Adam menggunakan senjata M16 di Chow Kit dan Kg Baru mengemparkan tanahair, selain merancakkan lagi pasaran berita angin terutama mengaitkan dengan isu-isu perkauman.

Umno pula memukul gendang mahu mengadakan perhimpunan raksasa sebagai tindak balas terhadap isu-isu pendidikan Cina. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai beraksi garang memanipulasinya. DAP, MCA dan Gerakan digambarkan bersatu menangani isu berkenaan.

Kebetulan saya baru saja menyiapkan satu makalah khas mengenai Peristiwa Memali, diusahakan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, yang juga menerbitkan Harakah, dengan judul "Percikan Darah Syuhada".

Saya bermalam di kampung penuh bersejarah itu, dan mendapat layanan istimewa penduduk setempat, kunjungan kedua saya selepas menziarahinya dua bulan selepas tragedi berdarah pada hujung 1985.

Bimbang turut sama menjadi mangsa ISA yang menggila, helaian pertama majalah tanpa permit itu, terpaksa digunting dan dibuang sebelum diedarkan, dengan penuh hati-hati. Memang benar-benar terasa suasana takut, risau dan penuh curiga.

Tidak pencetak berani

Saya juga merakamkan getar Ops Lalang dalam makalah one-off, berjudul "Demokrasi Zaman Mahathir", diusahakan syarikat sendiri, Penerbitan Pemuda. Tidak pencetak berani mengambil risiko menyebabkan saya -- yang berhutang modal pembelian kertas -- berpindah-randah mencari rakan-rakan yang bersimpati.

Bayangkan, proses binding makalah berkenaan dijalankan di rumah sewa secara manual, dengan bantuan lebih 12 rakan-rakan!

Tragedi penahanan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membabitkan lebih 100 aktivis masyarakat, pemimpin parti politik, penggerak pertubuhan alam sekitar dan tokoh pendidikan Cina itu kerap dikaitkan dengan "era kediktatoran melalui undang-undang" Mahathir.

Antara tokoh-tokoh yang dikurung ialah Mohamad Sabu, Ustaz Halim Arshat, Khalid Samad, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Dr Chandra Muzaffar, Dr Nasir Hashim dan Dr Kua Kia Soong.

Ramai lagi tahanan yang tidak pernah dikenali menjadikan Ops Lalang itu bagaikan lembaga hitam yang cukup menakutkan.

Kini genap 25 tahun

Hujung November lalu, genap 25 tahun peristiwa itu berlalu. Biarpun jelas ia sarat dengan motif politik, terutama bagi menyelamatkan kedudukannya yang cukup terancam, termasuk cabaran dalaman Umno yang begitu sengit dan tajam, namun hingga kini, Mahathir masih cuba untuk merasionalkan tindakan zalimnya itu dengan daleh-daleh longgar.

Beliau juga dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa bersalahnya terhadap satu lagi aksi brutalnya, iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Agung serta satu kempen terancang untuk memusnahkan kebebasan badan kehakiman.

Sampai saat ini, kewibawaan dan integriti hakim-hakim di Malaysia tetap dipersoal, manakala cabang eksekutif masih dilihat campur tangan dalam kes-kes kritikal mahkamah.

PAS, DAP saling mengenal di Kamunting

Apa pun, saya tertarik dengan komentar beberapa pemimpin kanan DAP, khususnya Lim Guan Eng, terhadap episod gelita suku abad yang lalu itu: "Pemimpin PAS dan DAP mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP.

"Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini."

Ya, isu dan krisis yang menyelubungi Umno waktu itu begitu kritikal dan cukup dahsyat sekali. Cabaran Tengku Razaleigh bersama Musa Hitam pada April 1987, yang kemudiannya membawa kes ke mahkamah, sehingga Hakim Harun Hashim tida pilihan lain dan "terpaksa" mengharamkan Umno (atas kemahuan Presidennya, Mahathir sendiri) seterusnya mengakibatkan Tun Salleh dipecat bagi mengelak keputusan Mahkamah Agung yang boleh "menjahanamkan" kerjaya politik Mahathir.

Bagaimanapun, disebabkan parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan DAP, gagal membentuk persefahaman politik dan seringkali bercanggah pendapat -- meskipun mempunyai tujuan murni yang sama -- elit Umno telah menyambar kesempatan itu untuk terus bertakhta, merampok harta rakyat dan mencuri khazanah negara.

Dalam keadaan serba sulit diasak segenap penjuru itu, Mahathir terselamatkan disebabkan saingan politiknya turut berpecah.

Laluan bentuk kerajaan alternatif dirintis

Azab di Kamunting 25 tahun lalu itu rupanya cukup berbaloi. Kesengsaraan dipisahkan daripada anak isteri memang pedih tetapi ia berupaya mendekatkan diri sesama pejuang keadilan, daripada pelbagai kumpulan dan berjaya meletakkan asas persefahaman yang kukuh serta mantap untuk satu proses agak panjang membebaskan negara daripada cengkaman sebuah parti dominan.

Pengalaman di saat sukar itu mahal harganya. Pemimpin muda DAP, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, merumuskan: "Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk semua."

Mohamad Sabu yang dikurung satu kawasan dengan Guan Eng mengingati "detik-detik manis" itu: "Kami yang duduk bersama-sama di Kamunting berpeluang bertukar pandangan mengenai pendirian parti masing-masing terhadap isu-isu rejim Mahathir. Ini termasuklah prinsip DAP yang tidak menolak usaha membantu Bumiputera miskin sebaliknya menentang kecenderungan nasionalisme Melayu yang dieksploitasi hanya untuk mengkayakan pemimpin dan kroni Melayu tertentu sahaja."

Ketika budaya politik baru -- yang menolak sentimen perkauman dan memandang tinggi isu-isu good governance -- makin tumbuh subur di kalangan rakyat Malaysia, Umno dan kerabatnya dalam BN seperti MCA masih ghairah memainkan lagu lama bagi melaga-lagakan parti pembangkang.

Pelbagai jerat cuba dipasang, misalnya melalui kontroversi Hudud mutakhir ini, namun banyak pihak yakin, persefahaman PAS-DAP yang menempuh jalan berliku dan onak berduri tidak semudah itu dapat digoyang.

Perangkap Umno-MCA hanya akan memakan tuan sendiri!

Membilang hari-hari akhir

Umno-BN yang hampir kehilangan kuasa dan mungkin membilang hari-hari akhirnya masih tidak berputus asa untuk mengadu-domba parti-parti dalam Pakatan, khususnya PAS dan DAP.

Jika kedua-dua parti pembangkang yang berkongsi kepedihan dan keperitan panjang itu dapat dipisahkan, seperti Barisan Alternatif pernah dihancurkan selepas pilihan raya 1999, ekoran isu Negara Islam, nescaya Najib tidak ragu-ragu lagi untuk menghadap Agong bagi membubarkan Parlimen.

Ops Lalang 1987 merakamkan sejarah hitam yang pastinya terus menganggu hari-hari tua Mahathir, namun ia menjadi penyambung ikatan berpanjangan buat PAS dan DAP melakarkan sejarah gemilang dalam PRU13 nanti, dibantu KeADILan, dengan teraju utamanya, Anwar Ibrahim, yang turut menerima pendidikan terbaik, bukan saja dari Kamunting di usia mudanya tetapi juga mendekam dalam lokap dan penjara. -Ahmad Lutfi Othman

Jika anak semewah itu, bapanya?

Siapa yang tak kenal menteri mulut celupar (mulut limbah) Nazri Aziz. Menteri yang terkenal mempertahankan setiap undang-undang dan peraturan yang menekan dan menzalimi rakyat. Memang dah sinonim dengan Nazri.
Inilah menteri yang tidak pernah menunjukkan rasa simpati ke atas penderitaan rakyat. Segala undang-undang dan peraturan perlu mengikut telunjuk si mulut celupar ini. 
Bacaan seterusnya di sini:   Kemewahan terlampau anak Nazri...

Aset Tokoh-tokoh Umno dalam Syarikat Judi-- kenyang makan hasil judi.

Judi: Pemimpin Umno!
Elias Hj Idris
Kepentingan Tokoh-tokoh Umno dalam Syarikat Judi.

i) Magnum Corporation Sdn Bhd:


a. Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Mohamed Al-Amin Al-Haj.
- Jumlah saham 1,900,000 unit.

b. Bekas Menteri Pelajaran dan bekas pengarah Magnum Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Khir Johari.
- Jumlah saham 40,843 unit dalam Magnum CO Sdn Bhd.
- Jumlah saham 6,666 unit dalm Magnum 4Digit (ekor).

c. Bekas Peguam Negara dan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman.
- Jumlah saham 1,666,666 unit.

d. Nor Anita Abu Talib, anak perempuan Tan Sri Abu Talib.
- Jumlah saham 680,334 unit.

ii) Genting Berhad

a. Arwah Tan Sri Noah Omar, bekas spekaer Dewan Rakyat, bekas Pengerusi Genting Bhd, iaitu datuk kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
- Jumlah saham 602,318,000 unit (Resort World Berhad)


b. Yayasan Noah yang diwarisi oleh DS Najib dan DS Hishammuddin.
- Jumlah saham 3,334,600 unit.

c. Tun Hanif Omar, bekas Ketua Polis Negara - Pengarah.

d. Tan Sri Amin Othman, bekas Timbalan Ketua Polis Negara - Pengarah.

e. Dato’ Paduka Nik Hashim Yusof, bekas pegawai bank, - Pengarah.

iii) Resort World Berhad

a. Tan Sri Wan Sidek Wan Abdul Rahman, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri - Pengarah.

b. Tan Sri Alwi Jantan - Pengarah dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam - Pengarah.

iv) Sports Toto
(Diasaskan dan dimiliki Tan Sri Vincent Tan pada tahun 1969, kroni Tun Dr Mahathir Mohamad).






a. Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia.
- Jumlah saham - 3,500,000 unit (melalui syarikat nominee iaitu Simsec Nominees)

b. Tan Sri Jaafar Abdul, bekas pegawai kanan polis - Pengarah.

c. Mohamad Salleh Gomu, bekas pegawai kanan polis - Pengarah.

d. Datuk Anuar Zaini dan Datuk Sulaiman Mohd Noor - Pengarah (Berjaya Land Berhad).
- Jumlah saham 292,336,584 unit.

e. Datuk Adnan Shuib dan Arsam Damis - Pengarah (Berjaya Land Berhad)
- Jumlah saham 284,644,046 unit.

Sumber: buku 'Malaysia, Darul Kasino' oleh Datuk Husam Musa, EXCO Kerajaan Negeri Kelantan. dicopy  paste dari blog ikanlepu

Masih ingin mengaku memperjuangkan Islam lagi??
Yang best siap bawak pergi tunai haji lagi.

Awal-awal Kroni Sudah Besar Kepala, Syarikat Konsesi AES Menyamar Pegawai JPJ


Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menuntut penjelasan daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kejadian penyamaran sebagai pihak berkuasa oleh syarikat konsesi Sistem Kamera Automatik (AES).

Penasihat Undang-undang KASE, Zulhazmi Shariff berkata, berdasarkan sumber yang diperolehi, Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd mewarnakan kenderaan mereka seakan-akan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik JPJ.

“Apa yang berlaku sekarang, maklumat yang kami terima, ATES dan Beta Tegap mewarnakan kenderaan milik syarikat sebagai warna seakan-akan warna JPJ.

“Letak logo JPJ, nama ‘Automated Enforcement System’ sedangkan kenderaan tersebut bukan kenderaan JPJ. Ini apa cerita?” katanya di lobi Parlimen.

Tegasnya, penyamaran sebagai pihak berkuasa ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam sidang media sama, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua penerima saman AES agar tidak membuat bayaran kompaun sebaliknya hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Ini kerana KASE akan menyediakan peguam kepada mereka selain penggunaan peruntukkan undang-undang yang salah seperti dinyatakan dalam surat saman.

Tegasnya, kerajaan sepatutnya membatalkan semua saman yang mula dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan penangguhkan perlaksanaan AES seperti yang didesak sebelum ini.

“Kalau kerajaan masih tidak menarik balik saman ini, KASE menyeru kepada semua penerima saman ini agar tidak membayar kompaun.

“Sebaliknya ikut arahan ini (dalam surat saman) ke mahkamah. Kami bersedia menyediakan beberapa peguam bagi membantu mereka yang bersedia ke mahkamah.

“Peguam ini hanya untuk saman AES dan bukannya saman trafik,” katanya.

Surat saman AES yang dikeluarkan menyatakan kesalahan melanggar had kelajuan berada di bawah Seksyen 79 (2).

Seksyen berkenaan sebenarnya bukan berkaitan perlanggaran had kelajuan sebaliknya merujuk pada perlanggaran kepada mengabaikan terhadap arahan dan isyarat lalu lintas.

Dari segi hukuman pula, tidak ada kompaun minimum RM300 sebaliknya tidak melebihi RM 500.

“Undang-undang disini (dalam surat saman) yang digunakan pun pelik. Dia (surat saman) kata miinta kita hadir ke mahkamah sendiri atau diwakil peguam.

“Mana boleh pertuduhan yang ingin disebut di mahkamah diwakili peguam,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, kesalahan AES ini tidak akan melibatkan kesan disenarai hitam sebaliknya penerima boleh membuat saman balas seandainya mereka dikenakan tindakan sedemikian.

Beliau menambah, langkah penyelesaian di mahkamah ini dapat mengurangkan peluang kepada syarikat konsesi memperoleh keuntungan RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan. -selangorku


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .