Ikuti Blog ini

Desak PM undur boleh redakan ketegangan dalaman BN - Husam

Biar pun pemimpin Barisan Nasional (BN) mendakwa parti itu tidak tergugat dengan cabaran dibuat Parti Maju Sabah (SAPP), namun mesyuarat tergempar diadakan juga bagi membincangkan isu tersebut.

Tidakkah itu menggambarkan kenyataan Presiden SAPP, Dato' Yong Teck Lee kelmarin telah meletakkan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kedudukan paling tidak selesa sekarang.

Mengulas perkembangan tersebut, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, biar pun mesyuarat tergempar BN diadakan namun tidak ada langkah konkrit diambil.

"Anggota parti kompenan BN sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan kerajaan pakatan mereka dengan mendesak Abdullah berundur.

"Langkah seperti itu dilihat cukup penting bagi Umno dan BN kalau mereka mahu terus survive dalam politik dan dapat bertahan.

"Setidak-tidaknya pertukaran kepimpinan boleh membantu wujudnya keyakinan baru terhadap pengukuhan semula BN," katanya ketika dihubungi di Teheran, hari ini.

Semalam Perdana Menteri terpaksa memanggil mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN membincangkan tindakan SAPP yang membuat kenyataan sudah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinannya.

Bagaimanapun mesyuarat tergempar itu tidak pula mengambil sebarang tindakan konkrit dan pengerusinya hanya membuat kenyataan akan bertindak ke atas SAPP selepas mendapat pendirian rasmi parti tersebut.

Malah kata Perdana Menteri, kenyataan Teck Lee yang sudah hilang kepercayaan terhadapnya tidak dibuat oleh parti SAPP sebaliknya pendirian presidennya sahaja.

Husam yang dalam rangka lawatan ke negara Timur Tengah berkata, mesyuarat tergempar BN tanpa keputusan konkrit, memperkuatkan lagi tanggapan parti itu tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mendisiplinkan anggotanya.

Malah katanya anggota kompenan BN sedang berdepan dengan pilihan yang terhad dalam mepertahankan survival mereka.

Oleh itu kata beliau anggota BN perlu membuat desakan supaya pengerusinya berundur yang dianggap boleh meredakan sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.

"Dato' Seri Abdullah sepatutnya diminta meletak jawatan dan bukannya mendengar keputusan longgar seperti diumumkan Perdana Menteri semalam," ujarnya yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun apa yang berlaku, pemimpin parti kompenan BN terus bersandiwara dengan membuat kenyataan menyokong Abdullah, biarpun ia sudah acap kali dilakukan.

Pemerhati politik berhujah mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN itu sebenarnya bagi membolehkan 14 kompenan berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Kata mereka kenyataan menyokong Abdullah adalah langkah terdesak sekarang yang akhirnya akan menjadi sokong membawa rebah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .