Ikuti Blog ini

Doa Tok Guru iringi kempen Anwar di Permatang Pauh


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa agar Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim diberikan kemenangan oleh Allah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos depan.

Di sebalik keuzuran dan kesibukan beliau menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke 54 di Ipoh, Tok Guru bergegas ke Permatang Pauh seusai menunaikan solat subuh, untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar.

Menteri Besar Kelantan itu tiba di Pusat Penamaan Calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun yang terletak di sisi Lebuhraya Butterworth-Kulim Express (BKE) kira-kira jam 9.30 pagi, disambut pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Akibat kesesakan lalu lintas, kenderaan rasmi yang membawa Tok Guru terpaksa diletakkan berjauhan daripada pusat penamaan dan beliau dibawa masuk dengan menaiki proton wira milik seorang penyokong PAS.

"Ambo (saya) terlekat dalam jam (kesesakan lalulintas) lama, dari pukul berapa tadi tak boleh masuk," ujarnya yang datang bertongkat ketika disambut penulis.

Image "Ya Tok Guru, sejak subuh lagi, jam 6.30 pagi orang dah mula berkumpul," kata penulis.

"Pelik ni, ramai sungguh ore (orang)," kata Tok Guru merujuk kepada sambutan yang diberikan kepada calon Pakatan Rakyat.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dengan jadual beliau yang begitu padat, beliau berasa amat letih untuk berjalan jauh.

Namun katanya di sebalik kekangan jadual dan kesihatan, beliau tetap berkunjung ke Permatang Pauh kerana amat komited dengan agenda Pakatan Rakyat.

Selain Tok Guru, pemimpin PAS yang hadir memberikan sokongan ialah Naib-naib Presiden, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu; Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr Dzulkefli Ahmad, Dr Lo'lo Mohd Ghazali, Dr Siti Mariah Mahmood dan Dr Mujahid Yusof yang juga Pengarah PAS untuk pilihan raya kecil tersebut.

Image Mereka disertai oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man dan Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Bagi pihak KeADILan, Anwar diiringi isteri Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden KeADILan serta keluarga, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta lain-lain pemimpin utama mereka.

Turut sama ialah veteran DAP, Dr Chen Man Hin; Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta lain-lain.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .