Ikuti Blog ini

Polis rentap 'mayat AUKU' selepas demo



Patung mayat, sebesar saiz manusia, yang dikafankan dengan kain putih diusung dalam keadaan renyai-renyai dari depan pintu bangunan Parlimen ke pinggir Tugu Peringatan Negara selepas selesai bantahan selama dua jam sekumpulan aktivis pelajar.

Menurutnya lagi, seorang anggota polis merentap patung mayat itu, yang dijadikan lambang bantahan hampir 100 pelajar terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), sambil berkata "tolong beri kerjasama."



Penyelaras GMMA Ridzuan Mohammad memberitahu selepas perhimpunan itu, kejadian berlaku secepat kilat dan "mayat AUKU" dibiarkan dalam simpanan polis tanpa sebarang pergelutan.

Beliau menambah, patung itu gagal dipertahankan di tangan GMMA kerana beberapa pelajar yang sedang memegangnya untuk dibawa pulang masih baru dalam kegiatan ini.

Sewaktu kejadian yang tidak semena-mena itu, kumpulan pelajar itu bergerak kembali ke arah monumen bersejarah itu, hampir satu kilometer dari Parlimen, selepas bersurai kira-kira 11.15 pagi untuk menaiki kenderaan mereka yang diletakkan di sekitar kawasan itu.

Menurut Ridzuan, mereka diekori empat kereta peronda polis dari bangunan Parlimen dan tiga anggota polis yang merampas patung AUKU keluar dari salah sebuah kenderaan itu.
Perhimpunan anjuran gabungan tersebut, yang disertai tujuh perkumpulan mahasiswa, bermula kira-kira jam 9 dalam cuaca lembab.

Mereka yang berpakaian serba hitam berkumpul bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang mengusulkan pindaan akta kontroversi tersebut minggu ini.

Selain mengusungkan "mayat", mereka juga berbaring selama beberapa minit di atas jalan depan pintu masuk Parlimen dengan kain rentang hitam bertulisan "Akta Untuk Kuburkan Universiti" sebagai makna lain bagi akronim AUKU.

Sementara beberapa orang lagi membawa kotak yang menggambarkan penjara - sambil diperhatikan oleh kira-kira 20 anggota polis pencegah rusuhan yang mengawal keadaan.

Ridzuan berkata, gimik kumpulan pelajar itu dilakukan untuk menarik perhatian wakil-wakil rakyat yang memasuki bangunan itu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .