Ikuti Blog ini

PM Abdullah Jangan Bertindak ala Diktator : Utamakan rakyat dan negara


 PM Abdullah Jangan Bertindak ala Diktator : Utamakan rakyat dan negara, adakan segera sidang khas Dewan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin memberikan peringatan kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi agar tidak menyamakan kepentingan dan keselamatan politik beliau dengan kepentingan dan keselamatan negara.

Abdullah kini berdepan bukan sahaja dengan Anwar Ibrahim yang sekarang bersedia pada bila-bila masa untuk membentuk kerajaan baru, malah beliau menghadapi cabaran daripada dalam Umno-Barisan Nasional sendiri. Ini terbukti dengan peletakan jawatan seorang Menteri Kabinet, gesaan pemimpin kanan Umno agar Abdullah melepaskan jawatan lebih awal daripada yang dirancang pada tahun 2010 dan tindakan sebuah parti komponenbertindak keluar daripada BN.

Justeru rakyat menolak sama sekali tindakan Abdullah untuk menyelamatkan diri dengan mengisytiharkan Anwar sebagai 'ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara'. Abdullah tidak boleh bertindak ibarat pemerintah kuku besi atau diktator yang cuba berpaut kepada kuasa sekalipun tidak lagi mempunyai mandat untuk memerintah.

AMK menggesa Abdullah untuk meminta Yang DiPertua Dewan Rakyat memanggil segera sidang khas Dewan Rakyat bagi membolehkan BN membentangkan usul yakin (motion of confidence) kepada Abdullah untuk terus menjadi Perdana Menteri. Ini adalah jalan keluar terbaik untuk membuktikan dakwaan Abdullah bahawa beliau masih mempunyai mandat untuk memerintah dan Anwar Ibrahim tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Sekiranya Abdullah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka ia akan menstabilkan keadaan negara. Jika sebaliknya, maka Anwar Ibrahim akan dapat membentuk kerajaan baru dengan aman. Bagaimana sekalipun keputusannya, negara dan rakyat yang akan mendapat manfaat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia memberi peringatan keras kepada Abdullah agar tidak menjerumuskan negara ini ke kancah kekacauan dengan membuat lebih banyak tangkapan-tangkapan tanpa bicara atau tindakan-tindakan lain yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.

Harapan Baru Untuk Malaysia

Shamsul Iskandar Mohamad Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .