Ikuti Blog ini

Pengundi Pasir Mas jangan Salahkan Tok Guru


 Rakyat dan pengundi-pengundi di Parlimen Pasir Mas kini telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri apa yang dilakukan oleh wakil mereka di Parlimen. Saya tidak mempersalahkan pengundi-pengundi di Pasir Mas yang memilih calon yang tidak berparti itu, dalam masa yang sama saya juga tidak mempersalahkan pimpinan PAS Kelantan yang men`sedekah'kan kerusi milik PAS itu kepada Ibrahim Ali. Semua tahu, pimpinan PAS terutamanya Tuan Guru Hj Nik Aziz bukan lah seorang yang pendendam atau suka berburuk sangka, atas sebab itulah PAS memberi peluang kepada Ibrahim Ali untuk mewakilkan rakyat di Pasir Mas.

Meskipun secara peribadi, saya sejak awal lagi tidak bersetuju dengan pemilihan Ibrahim Ali sebagai calon di Parlimen Pasir Mas semasa Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu. Tetapi, sebagaimana yang lain demi menunjukkan kesetiaan kepada pimpinan maka saya hilangkan syak wasangka dan buruk sangka terhadap Ibrahim Ali.

Akhirnya, telahan ramai rakyat di Pasir Mas terbukti benar dan mereka telah saksikan sendiri bagaimana Ibrahim Ali menggunakan kerusi yang di `sedekah'kan oleh PAS ini untuk menghentam PR, lebih-lebih lagi peribadi DS Anwar. Ibrahim Ali juga telah memalukan Tuan Guru Hj Nik Aziz apabila beliau berhujah di Parlimen dengan menyokong Akta ISA meskipun kununnya akta ini hendaklah dipinda sedikit. Tidakkah beliau tahu Nik Adli anak kepada Tok Guru pernah dizalimi oleh akta ini? Akta ISA terang-terang akta yang haram dan zalim di sisi Islam walaupun dipinda banyak mana pun kerana dasar kepada akta ini adalah hak menahan seseorang tanpa bicara dan membela diri itu adalah jelas bertentangan dengan Islam. Meminda akta ini umpama `menyembelih babi' untuk menyatakan ianya boleh dimakan dan halal.

Semua manusia tentu punyai kesilapan dan dosa-dosa terdahulu yang boleh mengajarnya untuk berubah. Saya tidak mahu mengingatkan kembali kisah-kisah Ibrahim Ali sewaktu di dalam UMNO terutamanya kata-kata beliau menghina peribadi seseorang lawan politiknya. Sikap bermuka-muka beliau telah lama diketahui semenjak dalam UMNO lagi, kemudian semasa di dalam S46, kemudian kembali kepada UMNO semula sehinggalah setelah diterajang dari UMNO, sikap beliau tidak pernah berubah. Penentangan atau kritikan beliau terhadap kerajaan kini adalah semata-mata untuk mengkaburi mata rakyat kununnya beliau pejuang rakyat, tetapi dalam masa yang sama beliau menikam kawannya dari belakang termasuk yang memberinya tempat sekarang. Siapa yang tidak pernah dihina oleh Ibrahim Ali? Untuk lebih senang kita mengenalinya, sesiapa sahaja musuh politik Mahathir itulah juga musuh ketat Ibrahim Ali.

DS Anwar adalah orang yang paling sinonim dengan mulut celupar Ibrahim Ali. Kalau dahulu, Almarhum Ustaz Fadzil Noor dihina dan dikeji oleh beliau sehinggakan beliau menggelarnya `Moshi Daya' (bekas PM Israel bermata satu) kerana mata Almarhum Ustaz Fadzil Noor sepet sebelah. Beliau juga pernah menghina Tn Guru Nik Aziz dengan menyatakan beliaulah yang mengajar Tn Guru Nik Aziz memakai `semutar' atau serban. Kita tidak akan mengungkit kisah-kisah buruk beliau kerana seperti dikatakan awal tadi semua manusia punyai kesilapan dan dosa. Tetapi, Ibrahim Ali tidak pernah insaf dan menyesal bahkan semakin ego dan sombong.

Saya tidak kisah sekiranya Ibrahim Ali memusuhi peribadi DS Anwar kerana ianya tidak memberikan kesan sedikit pun kepada Wira Rakyat ini. Tetapi, apa yang dikesalkan sangat adalah Ibrahim Ali ini telah `menggigit' tangan Tuan Guru Nik Aziz serta berkongsi tenaga bersama musuh-musuh PR untuk menghancurkan PR. Saya amat bersetuju sekiranya ada kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan tertentu untuk menjalankan gerakan agar Ibrahim Ali meletakkan jawatan beliau sebagai MP Pasir Mas.

Jika tidak, Ibrahim Ali harus sedar bahawa beliau tidak akan merasa selesa dengan gaji atau elaun MP nya yang diterima sekiranya rakyat di Pasir Mas tidak lagi redha kepada beliau.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .