Ikuti Blog ini

Pengunduran Abdullah bukti tekanan kuat dari dalam Umno - Salahuddin


KUALA LUMPUR - Keputusan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu pada Mac 2009 menggambarkan ternyata tekanan yang begitu kuat dari dalaman Umno sendiri yang memaksa beliau berundur.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berpandangan pengunduran Abdullah dilihat sebagai strategi Barisan Nasional (BN) untuk menarik kembali sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Jelas Salahuddin, kesan kelemahan Abdullah itu telah diterjemahkan oleh rakyat dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Tambahnya buat masa ini Abdullah dilihat sebagai liabiliti kepada BN dan kerajaan kerana kegagalan beliau menghapuskan rasuah, amalan kronisme, penyalahgunaan undang-undang dan juga Islam Hadhari.

Salahhuddin menegaskan, sungguhpun Dewan Pemuda PAS menghormati keputusan Abdullah walaupun mungkin ia berlaku secara 'terpaksa', pihaknya mempunyai pandangan yang berbeza iaitu soal kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

"Adalah hak Abdullah untuk mengekal atau melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno, tetapi pengumuman beliau kelmarin tanpa melepaskan jawatan Perdana Menteri akan memberi kesan buruk kepada politik negara.

"Dewan Pemuda berpandangan bahawa Abdullah wajar melepaskan segera jawatan Perdana Menteri kepada seorang pengganti yang lebih baik untuk mengelakkan krisis politik yang lebih teruk," katanya.

Salahuddin juga tidak menolak kemungkinan adalah tidak mustahil dalam keadaan ini, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri juga sudah tidak dihormati lagi.

"Ahli-ahli dan pemimpin Umno memang terkenal kerana meminggirkan pemimpin yang sudah tidak berkuasa seperti yang dialami oleh Tun Dr Mahathir. Tidak mustahil dalam masa yang singkat ini, semua sokongan akan tertumpu kepada Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Kedudukan politik juga akan lebih kacau-bilau sekiranya kabinet tidak lagi menghormati Perdana Menteri seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Jelas Salahuddin, dalam keadaan Umno yang lemah diikutikepemimpinan yang lemah dan pergolakan dalaman yang kuat, ia akan memberikan kesan yang buruk kepada politik dan ekonomi negara.

Tambah Salahuddin, kesangsian juga timbul tentang strategi sebenar pengunduran Abdullah kerana beliau baru sahaja mengambil alih tugas di Kementerian Pertahanan, yang mana satu langkah yang dilihat penganalisis sebagai mempunyai kaitan dengan isu Altantunya yang sedang dibicarakan sekarang ini.

"Jika berlaku sebarang kemungkinan dalam isu ini dan Timbalan Perdana Menteri dikaitkan, maka tidak mustahil Abdullah akan mengekalkan kuasanya.

"Lebih-lebih lagi apabila menantu beliau begitu mengharapkan 'perlindungan' beliau dalam menduduki kerusi tertinggi Pemuda Umno.

Jika ia satu strategi, mungkin ia akan memberikan imej positif kepada Abdullah dalam menyaingi pengaruh Najib, Ku Li atau Anwar Ibrahim," katanya.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .