Ikuti Blog ini

Peralihan Kuasa: Hanya Agong boleh lantik PM

KUALA LUMPUR - Hanya kuasa Yang Dipertuan Agong sahaja mampu memilih dan melantik seorang Perdana Menteri setelah mendapat majoriti di Parlimen. Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar, Abdullah bakal mengulangi kesilapan beliau sebelum ini dengan pihak istana kerana melakukan keputusan sesuka hati. “Yang Dipertuan Agong dan majoriti parlimen sahaja mampu melantik Perdana Menteri. Abdullah tidak boleh menamakan sesiapa sebagai pengganti,” katanya. Mengulas mengenai beberapa laporan media perdana yang membayangi Najib Tun Razak bakal menggantikan kerusi beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Mahfuz berkata, Abdullah hanya berhak berundur.

“Sekiranya beliau mahu berundur, dia boleh lakukan. Bukannya dengan membayangi Najib sebagai pengganti. Abdullah sepatutnya menyerahkan kepada bahagian-bahagian Umno untuk mencalonkan jawatan Presiden,” katanya lagi. Jelasnya, melalui percalonan di peringkat bahagian, Presiden Umno hanya boleh dipilih oleh perwakilan seterusnya menggantikan Abdullah. “Kerusi Perdana Menteri pula hanya boleh dilantik oleh Yang Dipertuan Agong setelah mendapat mandat dari majoriti Parlimen,” katanya.

Tindakan berkenaan, sekiranya gagal, Abdullah dilihat akan mengulangi kesilapan yang sama seperti mana yang berlaku pada pilihanraya lepas di Terengganu dan Perlis. Kesilapan Abdullah ketika itu adalah melantik menteri besar, Terengganu dan Perlis tanpa mendapat perkenan pihak istana. Walaubagaimanapun pihak Istana membelakangi kehendak Abdullah, dengan melantik menteri besar yang mendapat perkenan Raja dan Sultan kedua-dua negeri berkenaan.

“Tragedi itu, menunjukan kebiadapan Abdullah serta pengikut Umno yang memprotes perkenan Yang Dipertuan Agong selaku Sultan Terengganu,” katanya yang merujuk insiden kata-kata kesat terhadap Agong sewaktu protes perlantikan Menteri Besar Terengganu. Jelas Mahfuz lagi, sebelum berundur, Abdullah sepatutnya membersihkan imejnya yang telah dicemari oleh dirinya sendiri. “Abdullah harus berundur dengan membersihkan imej beliau sebagai seorang pemimpin dan bakal bekas Perdana Menteri,” katanya.

[Ini bermakna, biarpun Najib dilihat bakal menjadi Presiden UMNO tapi belum tentu beliau berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri. Rakyat semua tahu apakah yang telah dilakukannya selama ini. Berbagai skandal yang menimpa beliau mencerminkan bahawa Najib bukanlah calon yang paling sesuai untuk jawatan nombor satu itu. Siapakah yang akan bersaing dengan Najib dalam hal ini. Pastinya Anwar atau pun Ku Li. Jika Ku Li menang, sudah pasti Kerajaan Perpaduan akan dibentuk dan Anwar pasti akan berada di dalam. Jika Anwar menang pula sudah pasti Ku Li turut akan berada di dalam. Maka mana satukah akan berlaku dulu, Ku Li menang menerusi UMNO atau Anwar pula menang menerusi peralihan kuasa kerajaan pusat]




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .