Ikuti Blog ini

Kelantan kekal rekod tanpa rasuah selama 18 tahun


KOTA BHARU - Kelantan mengekalkan rekod bersih apabila hampir tiada laporan rasuah dan salah laku di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri sepanjang tempoh 18 tahun.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu tiada laporan salah laku atau kegiatan rasuah di kalangan kakitangan pentadbiran awam sejak 1990 sehingga sekarang.

"Setiapkali mesyuarat Exco bersidang lebih 100 surat dari pelbagai jabatan diangkat ke mesyuarat itu.

"Malah kadang-kadang melebihi 200 kertas berhubung permohonan rakyat dibincangkan," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kualiti Peringkat Negeri 2008 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, di sini semalam.

Menurutnya perkembangan itu membuktikan kakitangan kerajaan negeri tekun melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai penjawat awam.

"Bagaimanapun saya tak boleh la nak kata puas hati, itu terpulang kepada ketua-ketua jabatan mereka," ujarnya.

Image

Beliau juga berkata, bagi mewujudkan budaya kerja kualiti di kalangan kakitangan awam setiap mereka perlu ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya, ikhlas ialah ajaran Islam yang tiada dalam fahaman agama lain kerana perkataan itu menyentuh kalbu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, kempen anti rasuah atau apa sahaja tidak akan berjaya sekiranya perasaan ikhlas tidak bertapak di hati seseorang.

"Kerajaan Malaysia sendiri sejak sekian lama telah memerangi rasuah, tetapi sehingga sekarang tidak berakhir sama ada di peringkat kerajaan atau parti.

"Semua yang berlaku kerana tiadanya rasa keikhlasan dalam jiwa apabila melaksanakan tanggungjawab.

"Apa yang menjadi keutamaan mereka ialah wang," ujarnya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias, Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco dan pegawai-pegawai kanan lain.

Sementara itu, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas mendapat Anugerah Kualiti Darulnaim sempena program berkenaan. Hasil kemenangan itu, pejabat terbabit menerima wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .