Ikuti Blog ini

Isu hudud tidak jejas sokongan bukan Islam - PAS




KUALA TERENGGANU: PAS yakin sokongan kepada parti itu khususnya daripada kalangan pengundi Cina tidak akan merosot meskipun undang-undang hudud menjadi isu sejak dua minggu yang lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, dasar parti itu yang mahu melaksanakan undang-undang hudud tidak menjadi satu isu utama dalam pilihan raya kecil ini.

"Bukan satu isu dan tidak akan menjejaskan sokongan (kepada PAS)," kata beliau pada taklimat harian kepada wartawan di Markas PAS Terengganu di sini hari ini.

PAS yang menjadikan pelaksanaan undang-undang hudud sebagai dasarnya, kembali menjadi tumpuan kontroversi pertengahan bulan lalu.

Pendirian parti itu menjadi kritikan banyak pihak dalam Barisan Nasional dan turut dipersoalkan oleh parti komponen Pakatan Rakyat seperti DAP.

Bahagian Parlimen Kuala Terengganu terdiri daripada 70,703 pemilih Melayu, 8,787 (Cina), 525 (India) dan lain-lain (214).

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil PAS berkata, pihaknya yakin akan memperoleh lebih daripada 51 peratus pengundi Cina di sebalik isu hudud yang menjadi hangat.

Kata beliau, undang-undang hudud sudah diluluskan di Kelantan dan Terengganu, cuma tidak boleh dilaksanakan disebabkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, kata beliau, bukan Islam di Terengganu juga faham bahawa undang-undang itu adalah bagi masyarakat beragama Islam sahaja.

Pada taklimat itu, beliau juga memberitahu, pihaknya sudah menerima maklumat bahawa ada pihak sudah mula membeli kad pengenalan dengan bayaran RM500 seorang bagi memancing undi pada 17 Januari ini.

"Sudah ada satu dua kes... ini maklumat yang saya terima malam tadi dan kami masih menyiasat dengan mencari maklumat tambahan," kata beliau.

Kata beliau, PAS akan mengambil tindakan apabila mengumpulkan maklumat yang lebih tepat berhubung perbuatan tersebut.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .