Selain itu katanya, kerjasama mantap antara Pakatan Rakyat yang menggambarkan imej perpaduan telah mencipta satu suasana politik yang menyebabkan seluruh masyarakat di Kuala Terengganu terlibat sama dalam proses pilihan raya yang penting.
Di samping itu katanya, pecahan dalaman BN juga merupakan salah satu faktor parti tersebut ditolak oleh pengundi-pengundi Kuala Terengganu.
"Bermula daripada calon pilihan Menteri Besar Terengganu yang tidak dipilih, sebaliknya Dato' Wan Farid yang dipilih mewakili parti tersebut. Di situ kita sudah nampak perpecahan dalam BN. Selain itu juga, pesonaliti Wan Farid yang dilihat tidak mesra rakyat menyebabkan beliau sukar diterima rakyat Kuala Terengganu.
"Jelas sekali papan iklan yang dipasang di seluruh Kuala Terengganu yang menunjukkan beliau sama-sama bersimpuh dengan masyarakat, adalah untuk menghakis imej beliau yang tidak mesra rakyat itu. Masyarakat Kuala Terengganu telah tertanam dalam minda mereka tentang sikap Wan Farid yang kurang mesra dan bersifat 'elitis'," katanya, sewaktu dihubungi.
Jelasnya, sikap elit Wan Farid menyebabkan beliau tidak mempunyai kekuatan dengan 'grass root' dan 'hilang sentuhan' dengan pengundi-pengundi.
Sementara itu, Wan Abdul Rahman turut berpandang salah satu faktor tumpasnya BN di Kuala Terengganu adalah kerana mereka tersilap dalam menyediakan 'peluru' yang mana lawannya mungkin disangkakan antara Dr Syed Azman Syed Nawawi dan Wan Mutallib Embong.
"BN tersilap menyediakan 'peluru' untuk 'menembak' salah seorang individu ini. Rupa-rupanya yang menjadi calon adalah individu yang tidak disangka mereka. BN menjadi keliru dan tidak sempat menyediakan 'peluru' untuk 'menembak' Abdul Wahid," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai peratusan pengundi muda yang dikatakan agak rendah, berdasarkan pengamatannya yang turut terlibat secara langsung dalam tinjauan sepanjang proses pengundian berlangsung, katanya, pengundi muda yang membuang undi merupakan penyokong PAS.