Ikuti Blog ini

Majlis Doa Selamat Perpisahan di Kediaman Rasmi


Satu majlis doa selamat telah diadakan di Dewan Serbaguna, Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak. Walaupun makluman mengenainya agak suntuk, ramai yang hadir untuk bersama-sama menjayakannya.

Majlis Doa selamat diketuai oleh Ust Ahmad Awang bersama dengan pimpinan yang lain seperti Ust Misbahul Munir, Drs Khalil Idham Lim, Ust Norazli Musa, YB Zainuddin, Tuan Haji Ismail Yusof serta MB Nizar sendiri.


Selesai doa selamat, ucapan oleh pimpinan buat hadirin dimulai dengan pengerusi majlis iaitu Ust Misbahul Munir.



Beliau menceritakan bagaimana keadaan di Pejabat Menteri Besar yang kini sunyi dan murung tanpa kunjungan orang ramai yang sepatutnya berduyun-duyun memberikan tahniah dan kunjungan hormat kepada MB yang baru dilantik. Keadaan tidak lagi seceria semasa MB Nizar dipejabat MB.

Ust. Misbah juga mendedahkan maklumat bahawa pejabat Menteri Besar telah ditukar karpet dan perabutnya. Sedangkan semasa kita masuk dulu kita berjimat dengan mengguna perabut yang sedia ada.



Drs Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong pula membacakan beberapa petikan daripada perlembagaan negeri Perak yang ternyata menyebelahi tindakan yang diambil oleh Pakatan Rakyat. Begitu juga tindakan Speaker Dun Perak, Sivakumar yang mengikut bidang kuasa yang ada padanya dan tidak boleh dicabar dimana-mana mahkamah di Malaysia.

Beliau juga memberitahu bahawa akan membuat satu lagi laporan polis terhadap laman web umno yang menggunakan perkataan berbaur ugutan seperti 'akan mengnyahkan speaker dun perak, sivakumar'. Perkataan 'nyah' yang digunakan boleh membawa maksud membunuh sepertimana yang terdapat didalam kamus dewan.



Pengarah pilihanraya PKR Perak, Tuan Haji Ismail Yusof pula menegaskan bahawa perjuangan yang ditempuh oleh MB Nizar dan Pakatan Rakyat hari ini adalah satu perjuangan diantara yang hak dan bathil. Pilihanraya kecil Bukit Gantang pula menurut beliau bukanlah hanya semata-mata kerana rebutan kerusi parlimen tersebut tetapi lebih kepada suara rakyat Perak yang akan mengadili perbuatan khianat adun lompat dan juga umno/bn.


YB Zainuddin pula menceritakan pengalaman bersama MB Nizar ke mahkamah di Kuala Lumpur untuk kes saman terhadap Zambry. Bagaimana 12 peguam mewakili MB Nizar telah berhujah dengan bijaksana manakala peguam bela Zambry yang diwakili oleh hanya seorang iaitu penasihat undang-undang negeri Perak, hanya terkedu tiada terkata.

Beliau juga menegaskan bahawa Pakatan Rakyat akan membela hak rakyat dengan menggunakan saluran yang betul menerusi undang-undang dan perlembagaan.



Ust Ahmad Awang menjelaskan bahawa PR tidak berbalah dengan istana kerana kita mendokong perlembagaan negeri. Umno/bn telah meracuni fikiran rakyat dengan mengatakan bahawa MB Nizar menderhaka kepada Sultan Perak. Masalah menderhaka tidak timbul sama sekali, ianya hanyalah permainan umno/bn bagi memburukkan PR pada fikiran rakyat.




Maklumat serta penerangan yang diberikan pada hari ini hendaklah disebar-luaskan oleh mereka-mereka yang hadir hari ini kepada rakyat agar mereka menerima laporan yang tepat terhadap apa yang berlaku di Perak ini, demikian kata MB Nizar didalam ucapannya.
Beliau juga tidak mahu rakyat Perak mengambil tindakan sendiri serta membelakangi undang-undang. Biarlah pimpinan PR menggunakan segala ruang perundangan yang sedia ada bagi menangani permasalahan yang melanda negeri Perak hari ini.


Beliau juga menegaskan sekali lagi bahawa tindakannya berpindah ke kediaman yang lain bukanlah tanda mengalah sebaliknya sebagai memenuhi surat tuntutan daripada pejabat pentadbiran SUK yang memberi tempoh sehingga 27/2/2009 untuk beliau mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar.


Selesai majlis, jamuan makan disediakan kepada hadirin dan disudahi dengan solat Zohor berjemaah.
Orang ramai bersalaman dengan MB Nizar.

MB Nizar bersama ibu tercinta.

MB Nizar menjawab soalan para wartawan yang hadir.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .