Ikuti Blog ini

SPR: P'raya Batang Ai perlu diadakan

Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kawasan Batang Ai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting hari ini.


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini kerana penggal DUN itu baru berusia lebih dua tahun dan mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, penggal akhir DUN itu ialah pada Julai 2011.


"Maknanya, ada dua tahun lebih. Jadi, pilihanraya kecil perlu diadakan," katanya kepada Bernama di Putrajaya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu selepas Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dublin, 53, meninggal dunia di Normah Medical Centre di Kuching pada pukul 1.25 pagi ini akibat serangan angin ahmar.


Mendiang juga Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak.


Ditanya mengenai tarikh pilihan raya kecil itu akan diadakan, Abdul Aziz berkata perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu.


Beliau berkata Speaker DUN Sarawak belum memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN berkenaan dan menjangka akan menerima surat daripada Speaker berkenaan dalam tempoh sehari dua lagi.


Dalam pilihanraya negeri 2006, Unting menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap). Batang Ai merupakan kawasan majoriti pengundi Iban.


Unting menang dengan majoriti 806 undi, apabila mendapat 3,295 undi manakala Bawin mendapat 2,489 undi.


Bawin telah menyertai PKR dan dilantik sebagai naib pengerusi parti tersebut.


Jika pilihanraya kecil diadakan, ia merupakan ujian pertama bagi Pakatan Rakyat di Sarawak sejak pilihanraya umum pada Mac 2008.


Tidak seperti negeri-negeri lain, Sarawak tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya umum.


Pilihanraya negeri Sarawak diadakan pada Mei 2006 di mana parti pembangkang DAP berjaya memenangi beberapa kerusi dalam kawasan kubu kuat BN, yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari PBB.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .