Ikuti Blog ini

Nizar tambat hati pengundi Bukit Gantang

amanat-tok-guru


"Woi, Nizar ada kat sini!" jerit seorang pemuda Cina dalam bahasa Mandarin kepada kawan-kawannya di sebuah pasar malam di Kota Jaya, Simpang, dekat Taiping baru-baru ini.


Dengan pantas, para peniaga dan juga pengunjung pasar malam tersebut memanjangkan leher meninjau-ninjau kelibat Adun Pasir Panjang yang popular itu.


Ramai yang meluru ke hadapan untuk bersalaman dengannya sewaktu beliau bergerak dari satu gerai ke satu gerai yang lain, tersenyum sambil memberi salam, menegur sapa setiap peniaga persis berjumpa kawan lama, berbisik sesuatu di telinga mereka, menepuk bahu, dan bersalam erat.


Tindakannya mendapat reaksi mesra para peniaga sehingga ada yang menawarkannya agar membalikkan murtabak yang sedang dicanai dan merasai juadah yang mereka jual.


"Ini bukan kali pertama dia datang ke sini," kata seorang penjual makanan Melayu. "Ini kali ketiga," tambahnya seraya menjelaskan bahawa kehadiran Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang masih dianggap Menteri Besar Perak itu, bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduk di situ.


Lelaki Melayu itu terpaku melihatkan peniaga-peniaga lain, terutama yang berbangsa Cina yang agak tergamam apabila pertama kali bertemu muka dengan Nizar.


Jika bukan kerana jurugambar yang asyik merakamkan setiap aksinya bersama pemimpin Pakatan Rakyat yang lain dari DAP dan KeADILan yang berjalan bersamanya, Nizar tentunya sudah dilihat sebati dengan suasana pasar malam itu.


Malam itu Nizar mengenakan kemeja lengan pendek berwarna hijau muda, berseluar hitam dan memakai kasut kulit hitam berkilat.


Sebuah keluarga Cina yang menjual pakaian begitu teruja apabila Nizar berhenti di gerai mereka dan menegur mereka dalam bahasa Mandarin. Mereka tidak melepas peluang lalu bergambar dengan Nizar.


Apabila Nizar berlalu, terdengar keluarga Cina itu bercakap sesama mereka dalam bahasa Hokien. "Dia nampak segak betul kan?"


"Ya lah ... nampak masih muda," sahut anak perempuannya dengan gembira.


Tetapi sambutan yang paling mesra dan hangat datangnya dari sebuah kedai kopi, Mei Shi, di pinggir jalan tersebut.


Sebelum Nizar sampai di muka pintu kedai tersebut, beliau telah dikerumuni oleh sekumpulan lelaki Cina, yang bertepuk tangan dengan hangat sambil menariknya ke dalam kedai, untuk menyertai teman-teman mereka yang bermain mahjong.


Mereka meminta Nizar dengan hormat mengocok buah mahjong yang mereka main dan Nizar tidak menolak permintaan mereka.


Nizar merumuskan lawatannya ke pasar malam itu dengan memberikan ucapan pendek daripada belakang sebuah lori dengan meminta orang ramai memberikan sokongan kepadanya pada hari pengundian 7 April nanti, supaya "perubahan ini dapat memerikan perubahan yang lebih besar di peringkat Persekutuan". Ia sedikit sebanyak merujuk kepada pergelutan undang-undang berhubung krisis menteri besar Perak itu.


Beliau mengakhiri ucapannya dengan melaungkan slogan Pakatan Rakyat: "Hidup, hidup! Makkal Sakthi! Reformasi" dan diikuti oleh orang ramai dengan penuh bersemangat.


Nizar kelihatannya telah berjaya menawan hati pengundi-pengundi di situ.


Seorang peniaga makanan Melayu yang pro-PAS memberitahu Malaysian Insider bahawa dia pasti akan memangkah Nizar pada hari pengundian nanti.


Dengan mengungkapkan slogan yang sering disebut oleh pakatan pembangkang bahawa keadilan mesti ditegakkan, lelaki tersebut kelihatannya begitu teruja dengan kempen Nizar.


Dia amat marah dengan wakil rakyatnya Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering, salah satu kerusi negeri di bawah parlimen Bukit Gantang) yang melompat parti dan mengakibatkan tumbangnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat.


"Kita mengundi dia kerana parti, bukan kerana dirinya. Dia mesti diajar," jelasnya.


Menilai kepada tindak balas orang ramai di pasar malam tersebut, ramai yang memihak kepada Nizar. Bagaimanapun dengan beberapa hali lagi tibanya hari mengundi, apapun boleh berlaku.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .