Ikuti Blog ini

Penanti : SPR Berdegil Mahu Terus Larang Pondok Panas



Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tetap berdegil menyatakan bahawa mereka tetap dengan keputusan untuk melaksanakan larangan kepada parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi dan mahu semua parti politik dan penyokong parti pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mematuhi larangan berkempen pada hari mengundi mengikut Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Pakatan Rakyat bahawa pondok panas parti politik perlu diadakan bagi memudahkan para pengundi menyemak status mengundi, Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak mahu pondok panas dijadikan medan untuk berkempen di saat-saat akhir.

Jelasnya, isu semakan status mengundi sepatutnya tidak timbul kerapa para pengundi sepatutnya menyemak nama mereka sebelum hari mengundi dengan menggunakan pelbagai saluran yang disediakan pihaknya.

"Pengundi sepatutnya tak semak di saat-saat akhir, mereka boleh semak dengan SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) ataupun di pondok panas SPR sendiri.

"Tapi apa yang kita lihat dari pengalaman-pengalaman lalu, pondok panas bukan berfungsi sebagai tempat semakan pun, tapi lebih kepada tempat berkempen... itu yang kita tak mahu.

"Kita tak mahu isu pondok panas dijadikan alasan untuk mana-mana pihak berkempen di saat-saat akhir," katanya.

Sementara itu di dalam perkembangan berkaitan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang kecewa dengan pendirian Pakatan Rakyat menolak syor pendekatan baru proses pengendalian pilihan raya.

Justeru, Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd, Akin berkata, pihaknya menolak 'kekecewaan' Wan Ahmad yang sepatutnya bersikap neutral dalam menjalankan amanah SPR.

Kini SPR bercadang menguatkuasakan beberapa pendekatan baru iaitu mengehadkan bilangan penyokong parti politik yang bertanding pada hari penamaan calon, menguatkuasakan 'hari bertenang' menjelang proses pengundian dan melarang berkempen memancing undi semasa proses pengundian berlangsung.

"Apa yang sedang dirangka oleh SPR ini, sangat jelas bertentangan dengan amalan demokrasi di mana-mana negara demokratik.

"AMK percaya bahawa pendekatan ini diilhamkan dalam keadaan lima pilihan raya kecil yang berlangsung, sebermula di Permatang Pauh sehinggalah yang terkini di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, menyaksikan BN ditenggelami dengan ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir sewaktu penamaan calon," kata beliau dalam kenyataannya semalam.

Sehubungan itu, kata beliau, harus diingat bahawa seramai manapun bilangan penyokong yang hadir, ia bukan satu masalah sekiranya pihak keselamatan bersikap profesional untuk mengawal provokasi melampau daripada mana-mana pihak.

"Malah terbukti dalam siri-siri pilihan raya kecil sebelum ini, penyokong Pakatan Rakyatlah yang terpaksa berhadapan dengan ugutan dan provokasi melampau oleh samseng upahan yang 'jelas kelihatan' menyokong BN.

"Demikian juga dengan penguatkuasaan larangan memancing undi dan juga pondok panas.

"AMK tidak lupa bagaimana pada pilihan raya Umum 2004, larangan yang sama dikenakan ke atas semua parti politik, tetapi BN dengan angkuh tetap membina pondok-pondok panas di kawasan pusat pengundian," kata Shamsul.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan menerima alasan kononnya untuk mengelakkan ketegangan dan ketakutan di kalangan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengundi memang akan sukar dan takut untuk mengundi jika dua perkara dihalalkan oleh SPR iaitu kebanjiran pihak polis dan juga hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja, katanya lagi.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .