Ikuti Blog ini

15 Ribu Hadir Ceramah Nizar Di Maran



Lebih 15,000 orang penyokong Pakatan rakyat telah hadir beramai-ramai bagi mendengar ceramah umum yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak yang sah dan juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, YAB Dato' Seri Ir.Nizar Jamaluddin di Markas PAS, Kg.Embun dekat sini malam tadi. rakyat yang hadir berbondong-bondong tanpa mengira kaum telah datang serta sanggup bersusah payah untuk hadir biarpun tidak diberikan sebarang imbuhan oleh pihak penganjur.

Inilah bukti bahawa rakyat Pahang juga sudah menerima satu "anjakan paradigma" untuk melakukan perubahan besar dalam pilihanraya umum akan datang pastinya. Tinjauan krew kami mendapati, kehadiran rakyat yang ramai itu telah mencipta satu sejarah baru buat Pakatan Rakyat di parlimen Maran dan negeri Pahang khasnya. Kelihatan deretan kenderaan yang diletakkan ditepi jalan Temerloh-Maran sejauh satu hingga dua kilometer jaraknya.

Suasana program ceramah Pakatan Rakyat malam tadi sungguh meriah dan berjaya memecahkan rekod kehadiran rakyat semasa kunjungan Ketua Umum PKR ke Kuantan baru-baru ini. Malah, kutipan derma orang ramai yang mencecah RM13,000 jelas sekali menggambarkan bahawa rakyat sanggup memberi sokongan dana sebanyak mana sekali pun demi sebuah perjuangan.

Turut berceramah malam tadi ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, YB Teng Chang Kim dan ADUN Tras iaitu YB Choong Siew On. Pengerusi majlis ceramah malam tadi telah dikendalikan oleh Peguam PAS Pahang iaitu saudara Abdullah Abdul Karim.

Dato' Seri Ir.Nizar memulakan ceramahnya sekitar jam 11.05 malam. Lampu beberapa kali terpadam seolah-olah mengambarkan "hari gelap buat demokrasi" di Malaysia sudah bermula kembali. Dalam ucapan yang penuh bersemangat itu Nizar banyak menyentuh tentang perkembangan kes rampasan kuasa yang berlaku di negeri Perak.

"Segala yang berlaku di Perak adalah kerja durjana Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Najib Razak. Beliaulah yang telah merencana segalanya ini dan akhirnya menyusahkan seluruh rakyat Perak" katanya.

Beliau turut memperjelaskan secara terperinci rentetan perjalanan kes insiden rampasan kuasa itu. Bermula dengan isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku kepada dua Exco Perak iaitu Osman Jailu dan Jamaluddin Razi.

"Sesuatu yang agak aneh bila Jamaluddin dan Osman dikatakan telah meluluskan satu projek perumahan, sedangkan mereka bukanlah exco yang berkaitan dengan hal tersebut" tambah beliau lagi.

Dalam nada yang sebak dan tegas, Nizar menceritakan satu persatu segala apa yang berlaku di Perak. Beliau kemudian menceritakan perkembangan terkini isu Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu.

Dalam ucapannya beliau secara jelas menyatakan bahawa amalan demokrasi berpelembagaan dan keluhuran undang-undang sudah tidak mahu lagi diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Kes yang berlaku dalam Sidang DUN Perak merupakan satu sejarah hitam yang amat meninggalkan kesan kepada rakyat Perak dan Malaysia amnya.

"Saya yakin, bahawa politik Perak tidak akan stabil selagi DUN tidak dibubarkan dan rakyat diberi kuasa untuk memilih kerajaan yang mereka mahukan. Saya juga amatlah berharap dan menyeru semua hadirin yang hadir untuk mendoakan kemenangan saya dalam keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah" kata Nizar lagi.

Difahamkan keputusan kes tersebut akan diumumkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 2.00 petang hari Isnin 11 Mei ini.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .