Ikuti Blog ini

Penanti : Konvoi Motorsikal PAS dan KeADILan - UMNO BN Ternganga



Dua tokoh Ketua Pemuda akan dipertemukan dalam program 'minum teh' di padang awam Taman Guar Perahu dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti petang ini.

Majlis anjuran PAS Cawangan Taman berkenaan turut mengadakan konvoi bermotorsikal bersama Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Bahagian Permatang Pauh dari Pekan Penanti ke padang tersebut sekitar pukul 5.00 petang.

Harakahdily dimaklumkan, kehadiran Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub dan Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin membuktikan bahawa kedua-dua parti itu tetap mementingkan perpaduan dalaman daripada mencari keretakan sebagaimana yang diinginkan oleh beberapa orang individu.

Fenomena itu sekali gus melenyapkan desas-desus mengatakan ada perebutan kerusi di Dun N12 Penanti sebagaimana yang dimainkan oleh akhbar arus perdana.

Kegiatan bersama hari ini menimbulkan keyakinan pengundi di Dun Penanti terutamanya ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang mahu melihat kemenangan calonnya, Dr Mansor Othman yang pasti dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang dikosongkan oleh penyandangnya sebelum ini Mohamad Fairus Khairudin.

Kedua-dua Ketua Pemuda tersebut akan diarak bersama konvoi bermotor sebelum berucap untuk mengembalikan semangat juang sebahagian ahli dan penyokong yang terpedaya dengan hasutan yang tidak bertanggungjawab.

'Boikot pilihan raya kecil Penanti' atau 'jangan bagi kerjasama' akan hilang daripada benak sebahagian ahli dan penyokong PAS apabila mendengar amanah yang akan disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub nanti.

Sebelum ini Harakahdaily yang melakukan tinjauan mendapati tidak timbul soal perebutan kerusi di kalangan petugas di peringkat akar umbi sebagaimana yang diwar-warkan oleh media pro Barisan Nasional (BN) malahan terdapat jalinan kerjasama yang jitu antara kedua-dua jentera parti sejak kedengaran ura-ura perletakan jawatan Fairus lagi.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .