Ikuti Blog ini

Konsep At-Ta'awun dalam Kerajaan Perpaduan dan PAS tidak akan khianati Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan mengkhianati Pakatan Rakyat, bahkan PAS akan perkukuhkan gabungan kerjasama ini menjadi alternatif bagi rakyat seluruhnya. Sebagai ahli parti, idea dan gagasan yang dikemukakan oleh Presiden PAS mesti dilihat dengan bersangka baik disamping mendapatkan penjelasannya.

"Saya suka jelaskan bahawa Dato’ Seri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan."

Menurut Naib Presiden PAS yang baru, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam satu artikel yang diapungkan pada blognya, beliau berkata, apabila Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan ahli dan penyokong PAS membuat pelbagai tafsiran dan andaian.

Tegasnya, idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan Pakatan Rakyat. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya.

Bagi mengurangkan sedikit polemik yang sengaja dibesar-besarkan oleh media arus perdana, Ustaz Tuan Ibrahim menjelaskan beberapa prinsip yang wujud dalam gagasan ini. Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah; "...dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong Bantu dalam perkara dosa dan permusuhan".

Katanya, konsep At-Ta'awun yang melahirkan muafakat disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan negara perpaduan. Membina negara mestilah berasaskan kepada al-bir (kebaikan) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat.

Asas yang lain, hurainya, negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang diurus bukan hanya selamat melalui al-bir (kebaikan sistem negara) tetapi mestilah ujud elemen taqwa.

Tuan Ibrahim menegaskan lagi, PAS tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini yang ke arah derhaka kepada Allah. Katanya, Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan dan sebagai pimpinan, ia mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat.

Asas yang keempat jelas Pesuruhjaya PAS Pahang itu, ialah menolak al U'dwan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah. PAS tidak akan berkerjasama ke arah permusuhan dan akan menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini.

Kerajaan perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen ke arah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan negara.

"Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian," tegas bekas Adun Jengka itu.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .