Ikuti Blog ini

Pemuda PAS Persoal RM 16 juta untuk 19 atlet mengejar 1 pingat emas Olimpik


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mempersoalkan keperluan Kerajaan Malaysia yang membelanjakan RM 16 Juta bagi tempoh 2009 hingga 2012 untuk menjayakan program "Road to London 2012" yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia daripada Sukan Olimpik di London pada 2012.


Dalam tempoh berkenaan, secara puratanya Kerajaan akan membelanjakan RM 5.3 juta setahun bagi 19 atlet yang dipilih dari empat acara sukan iaitu badminton, memanah, berbasikal dan terjun.

DPPP tidak menolak jika perbelanjaan itu mempunyai asas yang kuat untuk kebaikkan rakyat diseluruh negara. Tapi berbaloikah RM 16 juta demi seketul pingat emas olimpik yang berharga kurang dari RM 1 ribu.

Menurut laman web WikiAnswer, seketul pingat emas secara puratanya mempunyai berat sekitar 250 gram dengan kandungan sebenarnya adalah 244 gram perak dan 6 gram emas yang disadur dipermukaannya. Harga antarabangsa pada akhir 2008 hanyalah sekitar USD 300 sahaja.

Mungkin Kerajaan Malaysia tidak memandang kepada nilai pingat emas itu, tetapi lebih terdorong oleh semangat 'Malaysia Boleh' di mana Kerajaan mengharapkan kemahsyuran negara diperingkat antarabangsa dalam dunia sukan olimpik.

Tetapi berbaloikah kemahsyuran yang dikejar itu, walhal ianya hanyalah satu catatan sejarah yang belum pasti memberikan impak politik dan moral yang besar kepada negara dan dunia sukan. Malah kemahsyuran itu juga pastinya tidak lama, sama seperti misi-misi 'Malaysia Boleh' sebelum ini.

Sewajarnya Kerajaan melihat kembali proses pembinaan atlit negara dulu dan sekarang. Dimana pada era Allahyarham Moktar Dahari seluruh negara melihat atlit kita sanggup berkorban masa dan wang ringgit untuk negara walaupun mereka tidak diberikan ganjaran yang besar seperti hari ini.

Berdasarkan pengalaman itu, DPPP menyedari bahawa kejayaan atlit kita dahulu banyak didorong oleh motivatisi diri sendiri dan bukannya dengan pembaziran yang melampau. Mereka juga menghabiskan masa berlatih dalam negara dan hanya keluar negara jika ada pertandingan.

Sewajarnya budget sebesar itu dipergunakan untuk atlit negara menyertai lebih banyak pertandingan diluar negara, dan bukannya sekadar berlatih sahaja. Dengan lebih banyak pertandingan yang disertai maka mereka akan merasai lebih banyak pengalaman dan motivasi diri akan meningkat. Dalam masa yang sama, kita juga boleh memecahkan anggapan rakyat bahawa atlit kita hanyalah sekadar 'jaguh kampung'

DPPP tidak menolak dunia sukan, kerana ianya adalah keperluan jasmaniah yang penting, khususnya dalam memupuk generasi yang cergas dan sihat tetapi, Kerajaan harus beringat demi kebaikan semua pihak terutamanya dalam suasana kegawatan ekonomi ini.

DPPP mengucapkan tahniah dan terima kasih pada semua atlit yang berusaha keras bagi mengharumkan nama negara selama ini. Sama ada mereka mendapat pingat atau tidak, DPPP yakin bahawa mereka sudah berusaha sebaiknya ke arah itu.

Ust. Nasaruddin Hassan Tantawi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .