Ikuti Blog ini

Bagan Pinang Bakal Betukar Tangan



Meskipun ditohmah dengan pelbagai isu dan tekanan daripada pelbagai sudut, calon PAS Zulkefly Mohd Omar melihat perkembangan positif dan optimis dengan arus perubahan yang berlaku di serata tempat termasuk di Bagan Pinang sekarang ini.

Ketika ditanya pemberita sewaktu aktiviti kempen di Bengkel Servis Motor percuma dan Sukan Rakyat di perkarangan Rumah Pak Din semalam beliau sedikit pun tidak memperlihatkan kebimbangan.


"Kita sentiasa optimis dan melihat perkembangan perubahan yang positif berlaku setiap masa khususnya kepada pengundi di Bagan Pinang," ujarnya.

Beliau yang turut sama menyantuni peserta program Bengkel Servis Motor Percuma meluangkan masa bersama-sama dengan mereka sambil berkesempatan bermain sukan rakyat seperti karom dan congkak.


Kanak-kanak yang sedang khusyuk bermain begitu teruja dengan keramahan Zulkefly yang tidak kekok bersama mereka.Mereka sempat merakamkan gambar kenangan bersama mereka selain peserta bengkel motor yang berpusu-pusu mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran di perkarangan Rumah Pak Din.Rombongan calon kemudian bergerak menuju ke Estet PD Lukut untuk menemui penduduk estet di sana yang rata-ratanya merupakan pengundi berbangsa india.


Ketibaan beliau disambut mesra penduduk estet yang terus mengadu beberapa janji pembangunan Adun Bagan Pinang sebelum ini.Seorang penduduk yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati terhadap janji bahawa mereka akan diberikan kemudahan rumah kos rendah di kawasan tersebut.

Rata-rata penduduk di kawasan tersebut kelihatan tenang dan gembira apabila menerima beberapa risalah penerangan selain berpeluang berkongsi masalah dengan orang yang dianggap bakal wakil rakyat mereka yang baru.

Zulkefly terus menapak ke beberapa buah rumah lagi di estet berkenaan walaupun ianya agak jauh dengan diiringi beberapa anggota Kelab Penyokong PAS Taman PD Utama. -prkn31

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .