Ikuti Blog ini

Kedudukan MB Nizar : Kenapa Mahkamah Sukar Tetapkan Tarikh?


KUALA LUMPUR : Kedudukan Mahkamah Rayuan yang sehingga kini tidak menetapkan tarikh sebenar untuk mendengar perbicaraan kes berhubung siapakah Menteri Besar (MB) Perak yang sah, besar kemungkinan disebabkan kerana, keputusan itu akan memenangkan MB Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Hj. Nizar Jamaluddin.

Menurut Nizar, tindakan melengah-lengahkan itu menunjukan pihak BN berkemungkinan akan kalah dalam kes itu seterusnya memberikan kemenangan kepada PR.

“Saya tidak menyatakan yang keputusan itu akan memihak kepada saya, tetapi saya percaya bahawa tindakan melengah-lengahkan kes itu berkemungkinan untuk BN kalah amat cerah," katanya ketika dihubungi Era Pakatan baru-baru ini.

"Jika tidak," tambah beliau, "mengapa lima hakim mahkamah rayuan terlalu sukar untuk menetapkan tarikh?”

Kata Nizar, kes tersebut telah tertangguh sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, pada 9 Disember tahun lalu, beliau dijemput memberi ucap utama dalam forum bertajuk "Ke arah mana Perlembagaan? Natijah dari Krisis Perak".

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, forum itu turut dihadiri oleh peguam-peguam yang pakar dalam Perlembagaan di negara-negara Komanwel termasuk di Malaysia seperti Tommy Thomas, Shad Saleem Faruqi dan Kevin Tan.

Nizar yang juga Adun Pasir Panjang berkata, peguam Tommy Thomas pada malam itu memberi jaminan kepada hadirin bahawa seandainya kes beliau dibicarakan di mahkamah di enam buah negara komanwel termasuk di negara Eropah, pihaknya pasti menang.

“Tapi, hal ini berlaku di Malaysia. Kalau ia berlaku di negara-negara seperti Britain, Kanada, Australia, New Zealand, India, dan Afrika Selatan, keputusannya secara total akan menyebelahi kerajaan Pakatan Rakyat,” kata Nizar.

Tambah beliau, forum malam itu juga terganggu apabila peguam terkemuka Singapura, Kevin Tan gagal tampil sebagai panelis pada saat-saat akhir apabila polis mengenakan syarat terhadap beliau untuk mendapatkan Pas Ikhtisas sebelum hadir sebagai panelis.

Mengulas kenyataan Menteri Besar, Zambry Abdul Kadir yang didakwa keluar negara bersama Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), beliau berkata, jika benar beliau ke sana kononnya atas nama MB Perak, ia sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan sekali gus membazirkan wang rakyat.

Nizar berkata, selagi tiada keputusan sah dan rasmi daripada mahkamah, tindakan beliau atas nama MB adalah haram dan semua yang dilakukannya juga adalah haram kerana kedudukan siapakah MB Perak yang sah sehingga kini belum diputuskan di mahkamah.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .