Ikuti Blog ini

Mahkamah Rayuan Ketepi Perintah Arah Khalid Bayar BIMB

Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Tan Sri Khalid Ibrahim melunaskan pinjaman berjumlah RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia Berhad berhubung pembelian saham Guthrie, sembilan tahun lalu.

Pembayaran itu berhubung pinjaman yang dibuat beliau untuk membeli saham Guthrie pada 2001 ketika beliau menjadi Ketua Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Zainun Ali.

Hakim lain ialah hakim Jeffrey Tan Kok Hwa dan Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.

"Mahkamah berpendapat di bawah prinsip perbankan Islam, pandangan perlu diambil dari juri Islam berhubung kesahihan urusniaga itu," katanya.

"Justeru, perkara berkenaan perlu melalui perbicaraan penuh," katanya.

"Sehubungan dengan itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang bertarikh 21 Ogos, 2009."

Mahkamah Tinggi semalam, menetapkan perbicaraan empat hari, bermula 15 Mac ini untuk mendengar saman difailkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap BIMB, yang mendakwa bahawa terdapat penjualan yang salah saham-saham miliknya dalam Kumpulan Guthrie Berhad.

Pada penghakiman 21 Ogos lalu, Abdul Khalid juga diperintahkan bagi membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam itu berhubung pinjaman yang diambilnya bagi membeli saham Guthrie.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata dia amat berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Katanya, peguamnya telah memaklumkan bahawa peluangnya memenangi kes berkenaan adalah tinggi.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .