Ikuti Blog ini

Tengku Abdul Halim Sah Dilantik Pengerusi MPN Yang Baru…

Pemangku Raja yang menjalankan tugas-tugas Sultan mempunyai kuasa untuk melantik atau sebaliknya.Mengikut perlembagaan, Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik dan memecat, dan sekarang ini Pemangku Raja masih menjalankan tugas-tugas Sultan yang mana pelantikannya berdasarkan perlembagaan.Maka dari prinsip undang-undang Pemangku Raja mempunyai kuasa mutlak - Exco Kerajaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan

Krisis Istana: Tengku Abdul Halim sah dilantik Pengerusi MPN


KOTA BARU, 26 Mac — Tengku Abdul Halim Alhaj Sultan Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang baru bagi menggantikan Tengku Abdul Aziz Hamzah.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha MPN Datuk Mohd Aiseri Alias di sini sebentar tadi.

Perkembangan terbaru di sebalik krisis Istana Kelantan ini diumumkan ketika polis masih menahan Setiausaha Sulit Sultan Kelantan untuk siasatan di bawah Kanun Keseksaan.

Semalam Wan Hashim, yang minggu lalu mendakwa dilantik sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, membuat pengumuman mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja manakala Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai pengerusi majlis itu.

Difahamkan ia hasil mesyuarat khas MPN yang diadakan tengah malam tadi.

Pelantikan Tengku Abdul Halim,yang juga Tengku Laksamana Kelantan, berkuat kuasa mulai semalam.

“Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan, dengan ini saya memaklumkan bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd HAmzah (Tengku Sri Utama Raja) dibatalkan pelantikan dan dilepaskan daripada menjadi Yang di-Pertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa pada 25 Mac 2010.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan telah mengampuni perkenan dan melantik Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-haj Sultan Ibrahim (Tengku Laksamana Kelantan) sebagai Yang di-Pertua Majlis Perajaan Negeri Kelantan berkuat kuasa pada 25 Mac 2010,” katanya.

Tengku Abdul Halim adalah datuk sedara kepada Pemangku Raja.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan ketika memberi reaksi terhadap pelucutan dan pelantikan pengerusi berkenaan tidak bertentangan dengan perlembagaan dan ia adalah sah.

“Pemangku Raja yang menjalankan tugas-tugas Sultan mempunyai kuasa untuk melantik atau sebaliknya.

“Mengikut perlembagaan, Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik dan memecat, dan sekarang ini Pemangku Raja masih menjalankan tugas-tugas Sultan yang mana pelantikannya berdasarkan perlembagaan.

“Maka dari prinsip undang-undang Pemangku Raja mempunyai kuasa mutlak,” katanya.

Oleh itu kata beliau, jelas menunjukkan tidak ada ruang pertikaian dalam tindakan tersebut.

Menyentuh penahanan Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Wan Hashim Wan Daud oleh polis malam tadi, beliau tidak berminat untuk memberi komen.

Namun hanya dengan ringkas beliau berkata “polis hanya menjalankan tugas dan bertanggungjawab bila ada laporan diterimanya.”

Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi enggan mengulas berhubung penahanan Wan Hashim.

“Tak boleh, saya tak boleh komen. Minta maaf,” katanya ketika ditemui di hadapan pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pagi ini. Malaysian insider

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .