Ikuti Blog ini

Isu ADUN Kubang Rotan, BN tewas 1-3


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Sebagai pembangkang di Kedah, BN nampaknya tidak pernah belajar dari kesilapan iaitu ‘main hentam keromo’ dalam menangani isu. Tanpa kajian, mereka tangkap borong semua isu yang terlintas di depan mata dan cuba melonjak diri menjadi juara, walhal isu yang dikendong akhirnya menikam diri sendiri.

Tahun lalu Pemuda BN telah mengeksploit isu kononnya seorang Exco Kerajaan Negeri telah menghina Tuanku Sultan dengan perkataan “Bila raja hangpa nak mati?”. Mereka membuat laporan polis dan demonstasi di sana sini, tetapi akhirnya malu sendiri apabila sumber dakwaan yang dibuat hanyalah dari sehelai surat layang. Pihak polis tidak dapat mengiktiraf surat layang.


Pukulan lebih hebat terhadap BN ialah apabila Tuanku Sultan sendiri tidak mempercayai cerita karut itu, sebaliknya menganugerahkan pingat-pingat terhadap Exco kerajaan negeri, termasuk Exco yang didakwa terbabit itu.

Terbaru beberapa bulan lalu, Umno menjadi dalang terhadap demonstrasi mempertahankan tindakan penduduk Taman Wira Mergong enggan bayar hutang kepada Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Kedah. Tindakan sumbang mereka mendapat kemarahan dan kutukan dari majoriti rakyat negeri Kedah setelah pihak kerajaan mendedahkan bahawa punca Pusat tidak meluluskan permohonan untuk membina rumah kos rendah yang baru adalah kerana hutang tertunggak kira-kira RM23 juta akibat penghuni tersebut liat bayar hutang.

Untuk kali ketiga BN terperangkap lagi apabila bermain dengan isu kononnya ADUN Kubang Rotan ‘mempertikaikan bidang kuasa Sultan Kedah’ dalam soalan ADUN tersebut di Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Macam biasa BN membuat laporan polis (sebenarnya ‘laporan polis politik’), mengadakan perhimpunan haram di sana sini dan mempamerkan banner haram di merata tempat atas dakwaan kononnya ADUN PAS pertikai bidang kuasa Sultan.

Hari ini, tidak semacam 20 tahun lalu, rakyat akan telan bulat-bulat apa yang BN dakwa. Kini rakyat makin cerdik, lebih kritikal dan analatikal. Mereka bertanya balik “Apa YB Nasir dari Kubang Rotan soal dalam Dewan?”. Pihak yang membela YB Nasir mencetak semula soalan asal beliau dan mengedarkannya kepada ke seluruh rakyat jelata.

Rakaman kekecohan sidang DUN juga dirakam dengan banyak diedarkan ke seluruh negeri di samping diedarkan dengan pantas melalui media-media kedua di saluran maya. Apabila rakyat membaca atau mendengar soalan asal, mereka tahu rupanya tiada langsung frasa ‘mempertikaikan bidang kuasa Sultan’ seperti didakwa BN dan konco-konconya. Pihak yang cuba jadi juara iaitu BN dan NGO yang mereka jadikan lembu tunggangan seperti Perkasa dan sebuah persatuan yang mendakwa kerabat di raja, jadi termonyeh (malu sendiri) rakyat kembali menempelak kebodohan mereka memahami bahasa Melayu dengan baik.

Akibat tertekan, BN cuba bersandar kepada tindakan Speaker yang kononnya menarik balik soalan tersebut di sidang DUN tempohari. “Sudah tentu ada benda tak kena apabila Speaker minta soalan ditarik balik,” hujah mereka untuk menutup malu.

Apa yang berlaku dalam sidang DUN sebenarnya, Speaker bukan menarik balik soalan tersebut tetapi meminta Exco hanya menjawab soalan (c) dan (d). Berikut adalah soalan asalnya:

a) Sejauh manakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat?

b) Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan pekara tidak boleh tersebut.

c) Apakah sikap Kerajaan Negeri terhadap beberapa tindakan pihak-pihak tertentu yang campur tangan dalam isu perlantikan imam dan pegawai masjid serta pengagihan zakat.

d) Nyatakan tindakan yang akan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi pentadbiran hal ehwal agama Islam untuk kepentingan politik kepartian.

Speaker meminta hanya soalan (c) dan (d) dijawab setelah menerima hujah Suraya Yaakob (BN Sungai Tiang) yang berpendapat, kedua soalan tersebut (c dan d)sudah memadai untuk menjawab soalan (a) dan (b) yang dipertikaikan. Bukan kerana soalan tersebut menyalahi Peraturan Persidangan Dewan. Sebagai Speaker, amat penting bagi beliau mewujudkan keharmonian persidangan DUN. Pihak pembangkang kelihatan sudah tidak dapat dikawal, meracau macam orang hilang pertimbangan. Sudah tentu Speaker perlu mencari jalan alternatif untuk mengelak sidang DUN jadi sarkas politik badut-badut BN.

“Tidak timbul isu Speaker mengaku salah apabila soalan tersebut ditarik balik oleh YB beliau, Speaker tidak timbul ketegangan dan dewan dihormati dan berjalan dengan elok, jadi kita hormati tindakan Dato’ Speaker,” ujar Ketua Kelab Penyokong Kerajaan yang juga ADUN Bandar Baharu, Ustaz Yaakub Hussin.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang berada dalam dewan semasa sidang berlangsung perlu bersikap ‘gentlemen’ menerima sebarang soalan yang diutarakan selagi ianya tidak melanggar peraturan dewan.

“Dewan ini dewan yang dihormati, YAB Menteri Besar atau mana-mana Exco yang beri jawapan tak akan cakap sembarangan, semuanya adalah berdasarkan fakta, bukan sahaja ahli dewan dapat maklumat, tetapi dapat memberi kesedaran kepada semua bahawa kuasa KDYMM Tuanku Sultan perlu dihormati,” ujar beliau.

Sebenarnya isu kononnya ADUN Kubang Rotan ‘pertikai bidang kuasa Sultan’ ini dicetuskan oleh BN. Mereka memula dan melancarkan serangan. Kini mereka pula yang menerima serangan balas. YB Nasir turun membuat road show ke seluruh negeri menjelaskan tiga perkara besar. Pertama, mendedahkan soalan asal yang langsung tidak mempertikaikan bidang kuasa Sultan dan BN sebenarnya pembohong. Kedua, mendedahkan BNlah yang menggangu kuasa Sultan dengan mempertikaikan tindakan yang diambil terhadap pegawai masjid serta tindakan Jakim memanggil imam mengadap mereka tanpa memohon restu Tuanku Sultan. Ketiga, mendedahkan sejarah pengkhianatan panjang Umno terhadap pihak istana. Semua apa yang dilakukan Umno diungkit satu persatu.

Nampaknya, dalam isu yang hangat dimainkan di Kedah ini BN hanya menjaringkan satu gol tetapi menerima tiga jaringan balas. BN kalah lagi.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .