KUALA LUMPUR,  24 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar)  menyuarakan rasa yakin bahawa Majlis Mesyuarat Raja-Raja Malaysia mampu  mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi bola sempena Piala  Dunia 2010.
"Kami (Ahli Parlimen PAS) berkeyakinan bahawa Majlis  Raja-Raja Melayu mengambil tindakan yang wajar mempengaruhi kerajaan  supaya isu pemberian lesen judi ini dibatalkan segera," jelas beliau  tengah hari tadi, mewakili Ahli Parlimen PAS.
Beliau yang juga  Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Majlis Raja-Raja Melayu pada era  1960-an dahulu pernah menunjukkan teladan kepada rakyat dengan mendesak  kerajaan Umno BN membatalkan Loteri Kebajikan.
Tambahnya lagi,  almarhum Tuanku Sultan Perlis merupakan Raja yang paling menonjol  menegur pemimpin Umno pada ketika itu.
Sempena mesyuarat Majlis  Raja-Raja Malaysia pada 26 Jun depan yang kebetulan dipengerusikan oleh  Tuanku Raja Perlis sekarang, beliau berharap majlis berkenaan mampu  mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi tersebut.Bercakap pada sidang  media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menempelak  Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dan Presiden  Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mencabar PAS menutup premis judi di  negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat terlebih dahulu.
Beliau  menyifatkan cabaran Mohd Khir dan Ibrahim itu sebagai mencipta alasan  untuk menutup pekung Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan lesen  judi itu.
Sebelum pada itu, suatu memorandum bantahan diserahkan  kepada Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja  Malaysia sambil disaksikan oleh Penolong Setiausahanya, Datuk Sabtu  Awwab.
Manakala Ahli Parlimen PAS yang menyertai Mahfuz pula  adalah Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Yusoff (Rantau  Panjang) dan Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Syed Azman Syed  Ahmad Nawawi (Adun Batu Burok). -Hrkh
 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
