Ikuti Blog ini

Kelantan, Selangor wujud kerjasama pelancongan

KOTA BHARU, 28 Mei: Kerajaan Negeri Kelantan melalui agensi Penerangan Pelancongan Negeri (TIC) akan menjalinkan kerjasama lebih erat dalam aspek pelancongan dengan Selangor.

Perkara itu dipersetujui antara Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri dan Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor pada pertemuan di pejabat TIC di sini, semalam.

Turut serta dalam perjumpaan itu ialah Adun Rawang, Gan Pei Nei yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor.

Elizabeth Wong yang menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di sini mengambil peluang mengadakan pertemuan dengan Takiyuddin.

"Kita amat-amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri yang ingin bekerjasama dengan kita, terutama negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, hasil daripada persidangan pelancongan yang diadakan di Langkawi sebelum daripada ini," kata Takiyuddin.

Elizabeth pula menyatakan hasrat untuk menjalinkan suatu projek usahasama berupa pakej pelancongan antara kedua-dua negeri yang turut melibatkan sebuah syarikat penerbangan tambang murah.

"Adalah dicadangkan pelancong sama ada dalam atau luar negara akan menikmati pakej ini dengan berada di kedua-dua buah negeri ini selama beberapa hari yang dipersetujui bersama," ujarnya.

Beliau juga memohon pihak kerajaan negeri menghantar suatu kontinjen sempena pesta muzik kebudayaan yang akan dilangsungkan di Selangor pada Jun ini.

Selain itu, persetujuan juga dicapai bersama untuk mempromosi pelancongan agama (ibadah tourism) yang terdapat di Kelantan seperti Ihya Ramadhan, Qurban Aidil Adha dan sebagainya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .