Ikuti Blog ini

Mahkamah bebas 10 aktivis Bersih

KUALA LUMPUR, 4 April: Mahkamah Sesyen Jenayah 3 Jalan Duta di sini membebaskan 10 aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan di pekarangan bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007 lepas.

Hakim Fathiyah Idris semasa membuat keputusan itu kira-kira jam 10.30 pagi tadi menyatakan pihak pendakwa gagal membuktikan wujudnya perhimpunan pada hari itu dan tangkapan terhadap 10 tertuduh adalah tidak sah.

Antara mereka yang ditahan kerana dituduh menyertai perhimpunan itu ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Nasrudin Hassan dan Ustazah Nuridah Salleh, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali dan Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim.

Mereka mendesak kerajaan supaya tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu.

Bersih dalam satu kenyataan sebelum 11 Disember 2007 itu, membantah usaha kerajaan meminda perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan kakitangan SPR.

Kerajaan dikatakan akan meminda Perlembagaan untuk melanjutkan umur persaraan anggota-anggota SPR dari usia 65 ke 66 bagi membolehkan Rashid terus berkhidmat.

Usul tersebut buat kali pertamanya dibentang secara tergesa-gesa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 20 November 2007 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz yang dibacakan untuk kali kedua pada 11 Disember tahun berkenaan.

BN ketika itu dikatakan amat memerlukan khidmat Rashid yang licik bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum 2008. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .