Ikuti Blog ini

PKR perketat pilih calon, elak lompat

KOTA BHARU : Ekoran beberapa episod melompat parti oleh wakil rakyat PKR, pemilihan calon bagi pilihan raya umum ke-13 akan diperketatkan.

Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kriteria pemilihan diperketatkan bagi mengelak berlakunya lompat parti setelah memenangi pilihan raya.

“Mereka yang mempunyai hasrat untuk melompat parti seharusnya dipecat atau disingkirkan sekiranya dapat dikesan lebih awal.

"Jika demikian watak wakil rakyat, bukankah lebih baik mereka disingkir.

Langkah itu akan diambil bagi memperkukuhkan lagi parti,” katanya pada ucapan dasar Kongres Nasional PKR Tahunan ke-6 2009 di Dewan Konvensyen KTC hari ini.

Ucapan dasar itu bertema Harapan Baru Selamatkan Malaysia mengambil masa lebih sejam.

Dewan Konvesnyen penuh sesak dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati.

Wakil kedutaan yang kelihatan dari Singapura, United Kingdom, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat.

Manakala pemimpin utama Pakatan Rakyat yang hadir Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali.

Perasmian yang bermula jam 9 pagi dimulakan dengan persembahan dikir barat.

Pada perasmian serentak Wanita dan Angkatan Muda PKR pula dipersembahkan paluan rebana.

Wan Azizah berkata, bakal calon juga perlu mengikuti program tarbiah atau latihan sebagai pelapis kepada pemimpin yang sedia ada.

"Apakah mampu dipertahankan tokoh lama yang kurang wibawa? Atau mestikah kita sekadar memilih pemimpin yang telah kenal aspirasi perjuangan parti," katanya.

Beliau juga menyifatkan wakil rakyat yang bertindak melompat parti dijangkiti amalan yang sudah lama menjadi budaya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

PKR katanya sudah mengenal pasti beberapa punca masalah lompat antaranya fakta berhubung umpan sebanyak RM2 juta ringgit dan imbuhan kontrak kerajaan sebagai upah bagi ahli parlimen yang yang melompat.

Katanya, perkara itu tidak lama lagi akan dijelaskan kepada rakyat.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .