Ikuti Blog ini

Dedah bukti "ganjaran 2 juta" Anwar masih tunggu masa

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim masih menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkan bukti bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang melompat menerima ganjaran sekurang-kurangnya RM 2 juta daripada UMNO-Barisan Nasional.

"Saya ada keterangan yang cukup untuk mengesahkan orang-orang yang khianat ini terima dari agen UMNO dua juta ringgit," demikianlah kata-katanya kepada hampir 10 ribu orang yang menghadiri Ceramah Umum yang diadakan di Padang Perdana, Kota Bahru, semalam.

Biarpun diminta pemimpin PAS, Husam Musa yang berucap sebelumnya untuk mendedahkan bukti pada malam tersebut, setelah Anwar Ibrahim (gambar kiri) membuat tuduhan ini dalam satu kenyataan media pada 28 Mei, namun Anwar tetap enggan berbuat demikian, sebaliknya meminta agar orang umum menunggu.

"Pertama saya nak Najib dan orang-orang UMNO tuduh saya bohong... dan saya nak dengar ahli-ahli parlimen yang lompat, yang khianat ini, nafi. Kemudian saya bagi (bukti) macam drama Hindustan tiga babak...," kata Anwar Ibrahim.

Malah, Anwar berseloroh bahawa dirinya terlupa di mana buktinya disimpan, kerana takut seandainya dimaklumkan maka "bukti" tersebut akan hilang dirampas. "(kalau) Ambo kata ada di rumah, habis dicuri.."

Fenomena "lompat parti" paling ketara berlaku di PKR, menjadi salah satu isu yang hangat dibincangkan dalam PKR, dalam Kongres Nasional Tahunan ke-6 yang berlangsung dari 27 hingga 30 Mei 2010. Tuduhan-tuduhan seperti "pelacur politik", "sampah-sarap" dilemparkan kepada mereka yang berpaling tadah.

Sambil meminta maaf kerana tersilap pilih calon pada PRU ke-12, Anwar Ibrahim sekali lagi berjanji untuk mewujudkan mekanisme yang lebih sempurna dalam perlantikan calon pilihan raya partinya.

Selain Anwar Ibrahim, Ceramah Umum yang dijadualkan semalam membariskan Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebagai penceramah. Exco kerajaan negeri Kelantan, Husam Musa akhirnya menggantikan Nik Aziz yang keletihan untuk berucap.

Subsidi itu wang rakyat, Khalid

Selain itu, kenyataan bahawa Malaysia bakal mengalami bankrap seandainya subsidi kerajaan tidak dibatalkan oleh Ketua Eksekutif PEMANDU Jabatan Perdana Menteri Idris Jala (gambar kiri), turut disanggah oleh penceramah. MB Selangor Khalid Ibrahim mendedahkan penyelewengan bekas kerajaan negeri BN yang ditemuinya setelah PR mengambil alih kerajaan Selangor, dan membuktikan bagaimana Malaysia boleh "diselamatkan" berdasarkan pengalaman PR di Selangor.

Khalid Ibrahim yang sebelum ini berkecimpung dalam dunia korporat, mendedahkan bagaimana bekas kerajaan Selangor BN menswastakan sesetengah syarikat kerajaan, kemudian syarikat tersebut mengalami kerugian, dan akhirnya dibeli semula oleh kerajaan dengan harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

Beliau menyindir cara perniagaan yang tak masuk akal ini, lantas mendakwa pemimpin BN telah memanfaatkan diri daripada "kerugian" ini dengan wang rakyat. Malah, Khalid menyelar kerajaan BN sengaja memusingkan konsep "wang rakyat" itu dengan istilah "subsidi", semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

Bankrap kerana rasuah

Anwar Ibrahim juga tidak melepaskan kesempatan untuk mengulas pandangan Malaysia bakal menyusul jejak Greece menuju ke arah bankrap seandainya subsidi dibatalkan. Beliau mempersendakan propaganda BN sebelum ini yang mendakwa bahawa ekonomi negara kini "bergerak dengan pantas dan sungguh meyakinkan", "banyak pelabur datang setelah Najib menjadi PM", tetapi tiba-tiba keluar pula kenyataan bahawa negara bakal bankrap kalau subsidi tidak ditarik.

"Greece ini bankrap, kerana satu, rasuah. Kedua, tipu angka ekonomi. Nombor tiga, urus tadbir ekonominya cukup lemah sekali...," jelas Anwar. Beliau seterusnya membidas bagaimana kerajaan sanggup menarik balik bantuan kepada rakyat, tetapi terus menyalurkan subsidi kepada IPP (Penjana Tenaga Bebas) yang dimiliki syarikat besar kerana mereka turut dimanfaatkan daripadanya.

Bekas Menteri Kewangan yang mempunyai lapan tahun pengalaman ini mempersoalkan, "Berapa kerajaan bayar subsidi? 20 ribu juta ringgit (20 bilion). Mengapa tak tarik dari taukeh besar? Mengapa menarik hak orang kampung ni?"

UMNO dimanfaatkan daripada lesen judi

Anwar Ibrahim juga mempertahankan kerjasama antara parti komponen dalam PR, juga Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Sekarang ni, orang Cina, orang India, Iban, Kadazan, berkawan dengan kita. Kita tak halang budayanya, kita tak halang agamanya. Tapi ada titik persamaannya, dalam soal moral, soal keluarga, soal rumah tangga, soal kehidupan rakyat, dan susah deritanya rakyat..."

"Judi dah banyak dah, 12 cabutan. Tambah lagi, siapa tambah? UMNO tambah. Bagi kepada siapa? Syarikat kroninya. Siapa untung? Saya nak sebut di Kelantan, bukan sahaja taukeh judi untung, orang-orang UMNO pun untung daripada syarikat judi ini. Ini (sebab) dia tak sanggup batalkan."

Lim Guan Eng yang berucap sebelum Anwar Ibrahim, menerima tepukan daripada hadirin yang kebanyakannya Melayu-Islam, apabila menyatakan pendiriannya untuk membantah judi sukan dengan jenaka, "makan bola, minum bola, tidur bola boleh, tapi jangan judi bola."

Guan Eng: Takkan nak belajar dari UMNO?

Dalam ucapannya, Ketua Menteri Pulau Pinang ini membersihkan nama diri dan partinya bahawa DAP anti-Islam dan Melayu yang dilontarkan UMNO. Sebaliknya, DAP juga berdepan dengan tuduhan anti-bukan Melayu dari Gerakan-BN. Beliau menyatakan bagaimana beliau sanggup berdepan dengan sebarang tindakan lantaran pengumumannya untuk mengharamkan perjudian sukan di negeri Pulau Pinang.

Daripada reaksi penonton, Lim Guan Eng (gambar kanan) agak berjaya untuk menawan hati penduduk di Kota Bahru, apabila menceritakan bagaimana beliau cuba dipertikai dan dilarang pemimpin UMNO untuk menjalankan pemerintahan mengikut pendekatan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Lim Guan Eng mengakui bahawa dirinya yang belajar Islam hanya daripada Mohamad Sabu (pemimpin PAS), teragak-agak untuk mencabar,"...ayat surah mana, hadis mana yang menyatakan bahawa seseorang bukan Islam tak boleh belajar daripada contoh amalan baik daripada pemimpin tersohor dan ulong pemimpin Islam?"

Tetapi dalam hatinya, beliau yakin tiada ayat tersebut dalam hadis, kerana "agama Islam tentu akan ajar kita buat baik...," sebelum beliau menggelakkan satu padang, "Kalau kita tak boleh belajar daripada Khalifah Umar Abdul Aziz, kita nak belajar daripada siapa? Pemimpin UMNO kah? Mohd Khir Toyo kah?"

PRK Sibu: PAS bukan lagi beban

Setiausaha Agung DAP ini turut merakamkan penghargaannya kepada parti komponen PR kerana menyumbangkan kemenangan di PRK Sibu, pada 16 Mei lalu. Beliau menyimpulkan kejayaan PR menembusi kubu BN di Sarawak ini sebagai, "Manusia yang rancang, Tuhan yang takdirkan!"

Husam Musa, pemimpin PAS yang berucap selepas itu, juga menyatakan bahawa PAS berjaya mengubah persepsi penduduk Malaysia Timur menerusi PRK Sibu, apabila PAS bukan lagi beban kepada rakan parti di situ.

"Moral ceritanya ialah, kalau tiga parti tunggak dalam Pakatan Rakyat tidak dapat dipecahkan, kita mengimbangi antara satu sama lain, kita membantu rakan kita, mana yang kurang dan kita compliment each other, kita sudah mempunyai satu keseimbangan untuk disampaikan kepada masyarakat Malaysia sebagai pilihan kepada Barisan Nasional."

Husam Musa menjelaskan, seandainya PR berhenti langkah dengan pemerintahan di empat negeri, maka BN yang menguasai di peringkat persekutuan akan terus memecah belahkan PR dengan media yang dikuasainya.

Bankrap setahun sebelum 2020

"Yang lebih penting ialah, dari segi keseluruhan sistem politik, pentabiran dan ekonomi kita, menuju ke satu tahap yang lebih mundur. Dari segi kebebasan kehakiman, dia lebih merosot. Dari segi polis, polis sampai boleh ugut rakyat, polis tak nak lagi jaga jalan raya semata-mata bila rakyat menegur mereka membunuh seorang budak yang masih muda sesuka hati."

"Dari segi ekonomi, Alhamdulillah Barisan Nasional sudah mengumumkan Malaysia akan bankrap satu tahun sebelum Malaysia menjadi maju ikut Wawasan 2020, iaitu pada tahun 2019," kata Husam Musa (gambar kanan).

"Kalau Barisan Nasional dengan berani mengatakan Malaysia akan bankrap, pilihan rakyat Malaysia hanya dua," Sambungnya, "Sama ada nak bankrap sekali dengan Barisan Nasional (pada tahun) 2019, di mana kita tak mahu, atau kita tumbangkan mereka dan kita betulkan semula steering perjalanan masa depan Malaysia."

Husam Musa menyimpulkan, "Dan cara kita nak betulkan ini, mestilah dalam pilihan raya ke-13. Kalau kita tunggu 2019 ada lagi tiga pilihan raya sebelum kita betul-betul bankrap, baik kita betulkan sebelum kita bankrap melalui pilihan raya ke-13."

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .