Ikuti Blog ini

Kenyataan Noh Omar salah dari segi fakta




Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dengan tegas menyangkal kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berhubung pilih kasih, amalan mencurigakan dan diskaun terpilih yang diberikan kepada syarikat tertentu.

Pengerusi Abdul Shukor Nagor berkata kenyataan Noh Omar salah dari segi fakta, bahkan menunjukkan menteri berkenaan tidak memahami amalan perdagangan biasa yang turut terpakai untuk industri pelombongan pasir.

"Berhubung isu polisi harga KSSB, kadar diskaun ditawarkan kepada semua pelanggan yang membeli secara pukal. Pemberian diskaun bagi pembelian dalam jumlah banyak (volume discount) ini merupakan amalan perniagaan biasa untuk menaikkan jualan bagi syarikat," katanya.

"Berhubung isu kredit, sebarang hutang tertunggak terhadap KSSB daripada mana-mana pelanggan juga dikutip dalam perjalanan urusan perniagaan biasa," tambah Shukor.

Beliau menambah KSSB mengumumkan harga di media, prosedur tender terbuka dan polisi harga sesuai dengan prinsip ketelusan.

Shukor menambah semua tuduhan yang dibangkitkan akan ditangani ketika sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) kelak.

"Kami berharap agensi yang berkenaan, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri akan turut serta bersama dalam pendengaran Selcat supaya mereka boleh membentangkan dakwaan mereka tanpa rasa gentar dan mengharapkan balasan," kata Shukor.

Selain sesi pendengaran Selcat, KSSB turut mengalu-alukan pihak berkuasa termasuklah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan.

Malah, sebelum ini SPRM sudah pun beberapa kali datang ke Ibu pejabat KSSB di Seksyen 7 di Shah Alam berhubung beberapa dakwaan dan menurut Shukor KSSB telah memberi kerjasama penuh.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .