Ikuti Blog ini

Anak RPK Bebas Tanpa Dipanggil Bela Diri

Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melepaskan dan membebaskan Raja Azman, anak lelaki penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin, daripada tuduhan mencuri sebuah motosikal milik seorang operator pengeluaran dan memecah masuk rumah lelaki itu pada Mac tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Majistret Norkamilah Aziz membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap anak kedua editor laman web 'Malaysia Today' itu.

Timbalan Pendakwa Raya Sharon anak Jikin hadir bagi pihak pendakwaan sementara Raja Azman diwakili peguam J. Chandra dan Amarjit Singh Sidhu.

Raja Azman, 34, dibebaskan daripada tuduhan mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ milik Mohd Syaiful Setapa, 24, seorang operator pengeluaran, membabitkan kerugian RM8,000 di No 65, Jalan Batas 2, 19/6B, Seksyen 19 di sini pada pukul 9.30 pagi, 20 Mac tahun lepas.

Raja Azman yang ditangkap pada 6 Mei tahun lepas, juga dibebaskan daripada tuduhan memecah masuk rumah Mohd Syaiful dan mencuri beg duit mengandungi kad pengenalan, wang tunai RM20, cukai jalan, kad ATM Maybank dan BSN serta lesen memandu milik mangsa di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Raja Azman bagaimanapun mempunyai dua lagi pertuduhan yang masih belum dibicarakan.

Pertuduhan itu ialah mencuri telefon bimbit dan seutas jam tangan bernilai RM3,850 milik seorang pelajar, Saipul Adli Mohamed Yunus, 21, di rumah mangsa di No 16, Jalan Sastera, U2/1K Seksyen U2 di sini, pada 10 pagi 24 April tahun lepas.

Dia juga didakwa memiliki sebuah motosikal curi kepunyaan seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, bernilai RM6,000 di depan rumah No 3, Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong pada 10.40 malam, 5 Mei tahun lepas.

Mahkamah menetapkan 25 Nov depan untuk sebutan bagi kedua-dua kes itu.

Sejurus prosiding berakhir, Raja Azman yang kelihatan sangat gembira terus memeluk kedua-dua peguamnya.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Raja Azman yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan putih bercorak kotak mengucapkan kesyukuran kerana dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tersebut.

Dia yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM10,500 berkata pembebasan itu secara tidak langsung turut membantu membersihkan nama bapanya. -Bernama
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .