Ikuti Blog ini

TG Nik Aziz Tempelak Pemuda UMNO

Menteri Besar, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menempelak sikap ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian yang tidak dapat berfikir dengan baik ketika mengulas isu sebuah syarikat yang dikatakan mahu menderma RM4 Bilion kepada Kerajaan Negeri.

Mursyidul Am Pas itu berkata, Anuar Safian seharusnya menyedari sumbangan yang dibuat oleh I’da World Group itu hanya berbentuk replika yang tiada nilai.

“Ketua Pemuda UMNO nak cabar saya, cabar apa bendanya, dia tak fikir orang (syarikat) itu bukan bagi duit, bagi replika (cek), nak kata saya terima duit apa,” katanya kepada pemberita rumahnya di Pulau Melaka, semalam.

Anuar dalam satu kenyataan kelmarin, meminta TG Nik Aziz menyaman malu atau apa jua saman yang bersesuaian dengan fakta yang ada berkaitan isu derma RM4 bilion.

Menurutnya, saman itu penting untuk membuktikan bahawa TG Nik Aziz tidak tahu menahu dan tiada dimaklumkan mengenai pelaburan dan wang yang didakwa diberikan kepada Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, TG Nik Aziz dalam nada sinis meminta Anuar supaya menghadiri khusus berkaitan undang-undang Islam yang ingin dianjurkan oleh Dewan Himpunan Penyokong Pas.

“Saya nak ketua pemuda supaya buat permohonan dalam khusus ini, faham mengenai undang-undang Islam supaya beliau faham dan malu sikit kepada mereka (orang bukan Islam),” katanya sambil tersenyum.

Sebelum ini, TG Nik Aziz berkata, pihaknya belum merancang untuk menyaman Ida World Group yang menimbulkan kontroversi kerana mahu memberikan RM4 bilion yang dikatakan menjejaskan imej Kerajaan Pas Kelantan. -SK
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .