Ikuti Blog ini

Ujian DNA Dilakukan Ke Atas Waris Mangsa

Kes Sosilawati: Waris empat mangsa jalani ujian DNA

Gambar: Ibu Allahyarham Noorhisham Mohamad, pegawai bank yang mati dibunuh bersama jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya, Satinah Mokhtar, meninggalkan perkarangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah menjalani ujian DNA di HKL di sini, hari ini. Foto: Bernama

Waris keempat-empat mangsa bunuh dan bakar di Banting, Selangor menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu mengenalpasti identiti mangsa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Kesemua mereka termasuk ibu pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, Satinah Mokhtar, 50-an dilihat berada di HKL sejak pukul 1 tengah hari sebelum meninggalkan hospital itu satu setengah jam kemudian ditemani anak bongsunya, Azlan Shah Aziz, yang merupakan adik tiri Noorhisham berlainan bapa, serta seorang anggota keluarga mangsa yang tidak dikenali.

Turut kelihatan salah seorang anak perempuan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.

Kesemua mereka sebelum itu dilihat memasuki Balai Polis Dang Wangi dengan disertai isteri Noorhisham, Suzana Radim Pangat, 38, kira-kira tiga jam untuk memberi keterangan berkaitan hal peribadi mereka bagi membantu siasatan.

Sementara itu malam ini difahamkan merupakan malam terakhir kenduri tahlil diadakan di rumah Noorhisham di Taman Seraya, Ampang sejak Ahad lepas.

Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. – Reuters

DNA masih boleh dikenalpasti

SHAH ALAM - Proses pengecaman asid Deoksiribonukleik (DNA) melalui bukti biologi yang ditemui anggota forensik berhubung kes kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain mampu melancarkan lagi siasatan dan membantu pendakwaan.

Penganalisis Jenayah, Kamal Efendi Hashim berkata, DNA adalah proses saintifik untuk mengenal pasti pertalian genetik yang boleh didapati di bahagian tertentu di tubuh manusia.

“Sekiranya berlaku kematian, ada bahagian dalam badan manusia yang masih mempunyai DNA dan boleh dikenal pasti seperti tulang, tisu badan, rambut dan bulu yang mempunyai akar, air liur dan peluh.

“Dalam kes ini, setakat ini bukti biologi atau fizikal membolehkan DNA milik keempat-empat mangsa dianalisis dengan tepat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Sapora Sipon berkata, setakat ini pembunuhan mereka dipercayai disebabkan sifat tamak selain faktor sampingan lain.

“Walaupun kes ini masih samar dan belum dibawa ke mahkamah, saya percaya ia berlaku disebabkan kepentingan peribadi sehingga bertindak tidak rasional,” katanya.

Mengulas mengenai kesanggupan penjenayah melakukan pembunuhan kejam, Sapora berkata setiap pembunuhan dipengaruhi faktor berlainan.

“Terdapat kes-kes tekanan mental yang mendorong seseorang melakukan pembunuhan kejam, seperti dialami penghidap skizofrenia, atau dikenali sebagai penyakit mental.

“Malah, jika seseorang mengalami penyakit seperti ini, nasib akan menyebelahi mereka kerana kebanyakan pesalah yang mengalami penyakit ini sering terlepas daripada menerima hukuman,” katanya.

Sapora berkata, natijah daripada kes pembunuhan kejam seperti ini kadang kala berjaya mengheret penjenayah kepada penderitaan mental akibat rasa bersalah, sementara ada yang tidak merasa kesal. -SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .