Ikuti Blog ini

(Terbaru Dan Wajib Baca) Kenyataan Media Orang Asli oleh Jaringan Kampung Orang Asli Malaysia




Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia
JKOASM
No.39 jalan 1 Taman Batang Padang
35500 Bidor Perak
Fax/contact no: 05-4348160; coordinator; 013-5219826

---------------------------------------------------------------------------------

Salam sejahtera.

Kami ingin merujuk kepada kenyataan PM dalam pembentangan Belanjawan 2011 berkenaan dengan perkara di dalam perenggan 93 dan 96 berhubung peruntukan bagi OA dan juga berkenaan kenyataan PM semasa perhimpunan UMNO di PWTC yang menghiris hati masyarakat OA;

1. Kenaikan elaun Tok Batin/Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli sebanyak RM800 sebulan berbanding RM450 sebulan sebelum ini.

Sesungguhnya kami menegaskan bahawa kenyataan PM dalam perkara ini adalah amat bercanggah daripada kebenarannya. Tok-tok Batin atau Ketua Kampung OA selama ini cuma mendapat elaun sebanyak RM200 saja sebulan dan diberikan dalam tempoh setahun atau 3 bulan sekali. Mengikut sumber yang diperolehi dari Batin-batin, ada masanya tempoh pembayaran elaun tersebut ditunda kepada beberapa bulan berikutnya tanpa sebarang sebab yang jelas. Jika benar bahawa elaun yang sepatutnya diberikan itu berjumlah RM450.00 sebulan sedangkan Tok-tok Batin cuma menerima RM200 sebulan, persoalan yang timbul ialah kemanakah perginya perbezaan baki RM250 itu?.

Kenyataan mengatakan pembayaran elaun kepada Pengerusi JKKK OA sebanyak RM450 setiap bulan adalah juga tidak pernah wujud. Bagaimana PM mengatakan Pengerusi JKK ada terima bayaran sebanyak itu dan sekarang nak dinaikan ke RM800 pula? Jika benar ada peruntukan sebelum ini dan Pengerusi JKKK tidak menerimanya kemanakah duit-duit tersebut telah pergi dan bagaimanakah ianya digunakan...?

2. Sejumlah RM100 juta diperuntukan bagi melaksanakan pelbagai program termasuk menyelesaikan isu pegangan hakmilik tanah dan persempadanan penempatan OA serta perlaksanaan model baru pembangunan OA. Selaras dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Berkenaan perkara ini, PM nampaknya langsung tidak mengendahkan apa yang kami suarakan dalam memorandum bantahan Orang Asli terhadap Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli yang kami hantar kepada beliau pada 17 Mac 2010 yang lepas di Putrajaya.

Tindakan PM ini jelas menunjukan bahawa beliau lansung tidak menghormati hak asasi OA sebagai manusia, rakyat Malaysia dan sebagai Orang Asal di negara ini untuk menentu dan memutuskan apakah corak kehidupan, pengiktirafan dan pembangunan yang kami mahukan.

Belanjawan yang diluluskan oleh Kerajaan tersebut bukanlah `durian runtuh’ untuk kami tetapi ia adalah bala yang akan menyebabkan kami kehilangan wilayah adat kami lantaran itu adat budaya, jatidiri, sejarah, lagenda dan kehidupan kami sebagai satu komuniti yang unik.

Meskipun Kerajaan telah memperuntukan berjuta-juta Ringgit untuk pembangunan OA di mana JHEOA telah diamanahkan untuk melaksanakanya, namun sehingga saat ini masih banyak kampung Orang Asli yang tidak mempunyai sebarang kemudahan asas, sehinggakan masih terdapat beratus-ratus kampung Orang Asli yang tidak mempunyai bekalan air yang bersih. Malah OA terpaksa berjalan berbatu-batu untuk dapatkan air minuman yang bersih. Begitu juga, masih banyak kampung OA yang masih tidak mempunyai bekalan letrik dan jalan tar.

Pada hakikatnya, projek-projek pembangunan yang diberi kepada OA selama ini seperti RPS, TSK dan sebagainya hanya memburukan lagi masalah kemiskinan OA serta menyebabkan kemudaratan dalam kehidupan mereka. Disamping itu, mereka juga diselubungi kebimbangan, hilang punca sehingga saling menyalahkan dan bergaduh sesama sendiri. Kes-kes seperti yang dialami oleh OA di Kampung Buluh Nipis, RPS Pos Betau dan Bukit Lanjan atau nama glamournya Damansara Perdana menunjukan bahawa ide, perancangan dan perlaksanaan pembangunan yang Kerajaan perkenalkan kepada OA bukan sahaja gagal tetapi membawa kemusnahan kepada OA.


3. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) kepada Badan Kemajuan Orang Asli (BKOA)

Kami tidak faham kenapa Kerajaan masih tidak nampak atau sengaja buat-buat tidak nampak bahawa selama ini OA hidup dengan cukup harmoni di dalam wilayah Tanah Adat kami masing-masing. Makan minun kami dan sakit pening kami, kami sendiri yang usahakan untuk selesaikannya. Dari sudut mana pula Kerajaan lihat bahawa semua kejayaan yang kami dapat/capai sekarang ini diberi oleh JHEOA sehinggakan Kerajaan nak iktiraf dan naikkan status JHEOA sebagai badan kemajuan OA. Dari pengalaman kebanyakan OA selama ini, JHEOA adalah satu badan yang menyusahkan OA dan mempermudahkan pengambilan wilayah Tanah Adat OA. JHEOA juga berperanan sebagai badan yang menipu dan menindas OA samada semasa wilayah Tanah Adat kami dicerobohi atau semasa perlaksanaan projek pembangunan untuk OA. JHEOA sering membiarkan dan bersekongkol untuk membiarkan agensi-agensi seperti RISDA, FELCRA dan Polis menindas dan menipu OA sebagaimana yang berlaku di Buluh Nipis Muadzam Shah. Apakah BKOA akan mengamalkan polisi yang sama berhubung dengan wilayah adat OA? Inikah yang PM kata sebagai Badan Kemajuan Orang Asli?..


4. Kenyataan PM sempena perhimpunan UMNO di PWTC baru-baru ini: “Sakai, Jakun juga dalam Melayu”

Kami menggangap penggunaan istilah `Sakai’ oleh PM dalam ucapannya sempena perhimpunan Umno adalah satu penghinaan dan sikap tidak ada rasa hormat dan perihatin kepada OA. Pengunaan istilah tersebut amat mengguris hati seluruh Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Jika kaum-kaum lain begitu mudah merasa tersinggung dan marah apabila ada sebarang kenyataan yang berkaitan kaum digunakan, begitu juga OA. Kami juga ada perasaan dan kami tidak suka dengan pengunaan istilah tersebut sebagai rujukan kepada OA. Sebagai Perdana Menteri yang melaung-laungkan konsep 1 Malaysia, adalah tidak wajar bagi beliau mengungkapkan istilah yang menyentuh sensitiviti sesuatu kaum meskipun ianya hanya sekadar kutipan baris-baris sajak atau puisi. Kami menegaskan bahawa tindakan ini adalah tindakan yang tidak wajar dan kurang sensitiviti.

Tuntutan kami sekarang:

1) Kami menuntut Kerajaan memberhentikan kepuraannya dan kembalikan apa yang menjadi hak kami OA. Beri kami senarai terperinci bagaimana peruntukan berjuta-juta untuk kemudahan-kemudahan asas digunakan dan senarai kampung-kampung yang telah mendapat kemudahan-kemudahan tersebut.

2) Kembalikan projek TSK kepada penduduk kampung dan tunjukan maklumat pengurusan jualan, untung rugi yang terperinci kepada penduduk kampung terlibat sepanjang ianya dikelola oleh pihak-pihak yang terbabit.

3) Kami menyeru kepada Kerajaan agar satu siasatan awam yang telus dan bebas dijalankan untuk menentukan samada terdapat apa-apa penyelewangan berhubung dengan tuntutan-tuntutan 1 dan 2 di atas dan elaun Tok Batin dan Pengerusi JKKK Orang Asli.

Biar kami tentukan sendiri jenis pembangunan yang kami mahu.

4) Wilayah Tanah Adat kami adalah nyawa dan hidup kami bukan hanya ekonomi semata-mata. Maka pengiktirafan mengikut tuntutan kami hendaklah menjadi fokus Kerajaan sekarang.

5) Kami perlu dihormati dan dihargai. Kami bukan perlu simpati kerana kami bukan peminta sedekah. Kami telah mempunyai wilayah tanah adat, sumber-sumber semulajadi, sistem pengurusan tradisi yang lebih menjamin keseimbangan alam semulajadi manusia, kemahiran dan nilai-nilai hidup yang murni cuma semua ini telah dan sedang dirampas pemerintah dan di sini kami menuntut semuanya yang telah dirampas dari kami dikembalikan kepada kami.

6) Tunjukkan juga kepada kami draf sah dasar pemberimilikan dan pembangunan tanah yang nak jadikan rang undang baru untuk OA menggantikan Akta 134 yang kononnya adalah lebih baik untuk masa depan ekonomi dan survival OA. Ini perlu ditunjukan kepada kami sebelum dibentang dan diluluskan oleh parlimen. Kami berhak tahu dan berunding mengenai isi kandungan dasar tersebut secara terperinci kerana ianya membabitkan Hak asasi kami dan masa depan kami.

7) Kami tidak mahu dasar yang diwar-warkan ini akan menjadi seperti rang Undang-undang Perhilitan 2010 baru-baru ini dimana kerajaan dan Parlimen sewenang-wenangnya memutuskan apa yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh OA tanpa sebarang perbincangan dengan OA.

8) Bagi kesemua tujuan ini, kami menyeru agar Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat dengan terperinci semua perkara berhubung dengan hal-ehwal dan masalah OA.

Tuntutan diatas adalah termaktub dalam perkara 8 (5) (c) Perlembagan Persekutuan iaitu hak-hak kami harus dihormati sebagaimana pemerintah menghormati hak seluruh rakyat Malaysia demi mencapai kesamarataan dan kesejahteraan di negara yang kita cintai ini.

Terima kasih.

Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia
25 Oktober 2010
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .