Ikuti Blog ini

[Video & Bergambar] Sekitar Penamaan Calon Galas

Gua Musang: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 November ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusof, 47, dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad, 44.

Hanya mereka berdua tampil mengemukakan kertas pencalonan masing-masing di pusat penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sebelum proses pencalonan selama sejam tamat pada 10 pagi tadi.

Satu bantahan diterima tetapi tiada pencalonan ditolak.

Pegawai Pengurus PRK DUN Galas, Wan Mustapha Wan Ab Hamid, mengumumkan kelayakan mereka bertanding pada jam 11.30 tadi.

Abdul Aziz Yusof tiba di pusat penamaan calon pada jam 9.05 pagi dan menyerahkan kertas pencalonannya dua minit kemudian.

Beliau diiringi Setiausaha Agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Mustapa Mohamed; dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Turut sama mengiringi ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Naib Presiden MCA, Datuk Dr Ng Yen Yen, dan pemimpin BN lain.
Calon Pas Dr Zulkefli Mohamad pula menyerahkan kertas pencalonan pada 9.33 pagi.

Beliau diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Turut sama mengiringi calon PAS ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Abdul Khalid Ibrahim, dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali.

Laluan masuk ke pusat penamaan calon itu mula dibanjiri lebih 6,000 penyokong kedua-dua parti seawal 7.30 pagi tadi.

Kumpulan penyokong yang membawa sepanduk dan bendera parti masing-masing, diasingkan pada jarak 100 meter antara satu sama lain di luar pagar Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Selain petugas pilihan raya, pasukan polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di sekitar pusat penamaan calon itu untuk memastikan ketenteraman awam.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, PAS merampas kerusi DUN Galas dengan majoriti kecil 646 undi apabila calonnya, Chek Hashim mengalahkan penyandang dan calon BN, Mohamad Saufi Deraman.

DUN Galas adalah satu daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Gua Musang, Kelantan, selain Nenggiri dan Paloh. -BH

Gambar dan Video: Pelbagai sumber.. syukran jazilan kepada pemilik-pemiliknya. -GB













Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .